TExt

Assalamualaikum W.B.T

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.

Hubungi saya jika terdapat sebarang persoalan. Insya Allah saya akan cuba menjawab.

Soalan 23: Mengandung Lepas Kontraseptif Kekal

SOALAN:

Assalam dr. saya nak tanya sikit. Pasal kawan saya. Umur dia ni dah masuk 40 dah. Ibu tunggal tapi baru je kahwin balik ahad lepas. Dia lepas bersalin anak dia yang no 4 tu dia ikat. sekarang ni lepas kahwin baru dia plan naj mengandung lagi. Yang jadi masalah dia dah ikat tu la. Boleh bukak ke dr?

JAWAPAN:

waalaikumsalam. Terima kasih kerana bertanya. saya mahu agar semua yang membaca tulisan ini faham tentang kaedah merancang keluarga yang sedia ada di fasiliti kesihatan terlebih dahulu.

Kaedah merancang kehamilan boleh digunakan oleh pasangan sama ada lelaki atau wanita tapi kebanyakan kaedah adalah melibatkan wanita.

kontraseptif sementara:
1- pil kontraseptif - pil pil ini mengandungi hormon estrogen dan progesteron, perlu diambil setiap hari selama 21 hari tanpa henti
2- suntikan progestin dan progesteron - suntikan setiap 3 bulan
3- implan - alat kecil yang mengandungi hormon yang di tanam di bawah kulit legan bahagian atas.
4- alat dalam rahim - alat berbentuk T yang dimasukkan ke dalam rahim.

Kontraseptif kekal
pembedahan "tubal ligation" - ikat pada tiub fallopio



selalunya dipilih bila pasangan bersetuju untuk tidak mahu hamil dan mempunyai anak lagi. pembedahan ini bersifat kekal dan sangat berkesan mencegah kehamilan.

untuk menjawab soalan di atas, bila pesakit telah melakukan pembedahan tersebut, memang tidak boleh dibuka kembali.

jika pesakit ingin juga mengandung, mungkin dia memerlukan bantuan dari teknologi yang ada sekarang seperti In Vitro Fertilisation (IVF). ini mungkin perlu berjumpa dengan pakar untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Perlu diingat juga, pada usia 40 tahun banyak risiko yang boleh dihadapi oleh beliau jika beliau mengandung dan semua perkara perlu dipertimbangkan.

Harap jawapan saya membantu.



Soalan 22 : Kencing Tidak Lawas

SOALAN:

salam dr Shima. saya eila saya nak tanya kenapa saya kerap kencing erk kencing jadi tak puas.

JAWAPAN:

waalaikum salam

simptom kerap kencing dan kencing tidak lawas berkemungkinan besar puan mengalami masalah jangkitan kuman pada saluran kencing.



antara simptom-simptom lain yang boleh dialami adalah
- sakit semasa membuang air kencing
- kerap kencing pada waktu malam
- muntah
-demam
- sakit pada bahagian bawah abdomen

jangkitan pada saluran kencing sangat kerap berlaku kepada golongan wanita kerana saluran kencing wanita sangat pendek dan dekat dengan kawasan anus. untuk wanita menopause, paras hormon eostrogen yang rendah menyebabkan kehilangan perlindungan flora-flora yang normal di bahagian tersebut.

untuk memastikan masalah ini berlaku, pesakit perlu ke klinik untuk pemeriksaan air kencing.

Jika doktor membuat diagnosis jangkitan air kencing, puan akan dirawat dengan antibiotik dan ubat untuk melawaskan kencing.

Antara yang boleh dilakukan adalah untuk mengurangkan masalah ini:
1- membuang air kencing selepas bersama pasangan
2- jaga kebersihan kawasan alat sulit semasa datang bulan
3- jangan tahan bila rasa hendak membuang air kencing
4- minum air banyak
5- boleh cuba jus cranberry
6- boleh cuba air barli

semoga masalah puan dapat diselesaikan



10 Sebab Ibu Perlu Menyusu Anak

Salam sejahtera untuk semua. Terima kasih kerana masih sudi membaca tulisan saya. Walaupun masih mencuba untuk menulis dengan baik, harapan saya agar setiap tulisan saya mendapat manfaat dan kebaikan untuk diguna pakai bersama. Saya sendiri akan cuba memperbaiki segala kekurangan dari semasa ke semasa.

Saya sangat bersemangat untuk membicarakan tentang penyusuan susu ibu. Kalau boleh saya mahu ibu-ibu di luar sana sedar tentang kebaikan susu ibu yang tiada tolok bandingnya dan cuba untuk memberi yang terbaik untuk anak mereka. Di kala kos sara hidup makin meningkat, susu-susu formula yang ada di pasaran turut terkena tempiasnya tapi susu ibu tetap sama tidak pernah berubah harga walaupun khasiatnya jauh lebih baik dari susu formula. Cuma ibu perlu sedikit kekuatan dalam merealisasikan matlamat penyusuan.

Kali ini saya nak kupas bersama anda kebaikan menyusu anak yang sepatutnya menjadi "push factor" untuk anda menyusukan anak terutama jika anda seorang yang sedang menanti kelahiran si kecil anda ataupun tengah menyusukan anak.

Semua sebab-sebab yang saya tulis adalah berdasarkan pengalaman saya menyusukan anak saya yang kini hampir mencecah 2 tahun.



10 Sebab Ibu Perlu Menyusu anak

1- HAK SEORANG ANAK


 "Push factor" yang pertama kenapa ibu perlu menyusu kerana sebagai seorang yang beragama Islam ia adalah untuk memenuhi salah satu hak seorang anak yang baru lahir ke dunia.

Satu firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 233 yang membawa maksud " Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu..."

2- MENGERATKAN HUBUNGAN IBU & ANAK


Saya rasa setiap kali menyusu anak rasa anak itu dekat sangat kita. Dia sendiri akan rasa hangatnya kasih sayang kita bila kita peluk dia. Rasa selamat dalam pelukan ibunya. Setiap kali menyusu saya sentiasa ambil peluang cium dan membelai rambutnya sambil memberikan kata-kata positif untuknya.

Ibu-ibu patut ambil peluang yang sama supaya anak-anak akan sentiasa menghormati kita dan mendengar nasihat kita. Anak-anak yang diberikan kata-kata positif akan menbesar dengan jiwa yang positif.



3- KHASIAT SUSU IBU YANG TIADA TOLOK BANDINGNYA


Allah ciptakan susu ibu sebaik-baik ciptaanNya. Lengkap dengan nutrisi yang tidak mampu ditandingi oleh susu formula.

Kajian menunjukkan DHA dalam susu ibu sangat tinggi. DHA dalam susu ibu mempengaruhi perkembangan otak dan mata anak-anak dan memberi daya tumpuan belajar yang lebih baik.

Susu ibu boleh melindungi si manja dari sebarang masalah kesihatan seperti kolik, lelah, penyakit kulit, telinga, dan alahan.



4- SUSU IBU SANGAT MUDAH



Saya rasa memberi susu badan sendiri sangat mudah berbanding memberi susu formula berdasarkan dua pengalaman yang berbeza untuk anak sulung dan yang kedua.

Mudah dari segi penyediaannya. Jika anak mahu menyusu hanya perlu menyelak baju dan terus sedia untuk diberi kepada si kecil pada bila-bila masa. Tidak perlu risau susu sejuk atau panas kerana susu badan sentiasa berada pada suhu yang terbaik untuk anak kita.

Berbeza dengan susu formula. Ibu atau ayah kena bersihkan botol susu, kena ada air panas dan air suam, kena pastikan suhu sesuai sebelum diberikan kepada si kecil. Kalau waktu malam lagi terasa kesusahanbya sebab kena bangun dan bancuh susu. Kalau keluar berjalan memang lagi terasa kerana perlu membawa segala perkakas yang diperlukan.

Jadi ibu-ibu nak pilih yang mana yer?



5- SUSU PALING MURAH TAPI SANGAT BERKUALITI!



Kos sara hidup makin meningkat dan saya pasti tahun depan bila GST berkuatkuasa beban itu akan lagi terasa.

Kos untuk beli susu rasanya boleh dikurangkan jika ibu-ibu memilih untuk memberi susu sendiri. Para suami sepatutnya memberi galakkan untuk isteri mereka. Susu ibu tak perlukan sebarang kos cuma hanya berbekalkan sekeping hati yang cekal dan penuh dengan kasih sayang.

Susu paling murah dengan harga sebuah kasih sayang dan paling berkualiti untuk anak anda!!



6- SUSU IBU ANTIBIOTIK SEMULAJADI



salah satu kandungan susu ibu adalah antibodi yang tidak mampu dicipta oleh mana-mana syarikat susu formula. Susu yang paling kaya dengan antibodi adalah susu awal ibu iaitu kolustrum.

Antibodi yang dibekalkan oleh susu ibu dapat melindungi anak dari sebarang masalah kesihatan. Balqis sendiri hanya mula demam selepas usianya 1 tahun berbeza dengan abangnya. Dengan adanya antibodi dari ibu yang dihantar melalui susu ibu dengan harapan dapat melawan sebarang jangkitan yang boleh membahayakan kesihatannya.


7- MENYUSU BADAN MENJAGA KESIHATAN IBU



Siapa kata menyusu badan kebaikannya untuk anak sahaja. Menyusu badan turut memberi kebaikan kepada ibu. Pada awal-awal kelahiran bila anak menyusu, anda boleh rasa sedikit sakit di bahagian bawah perut kerana setiap kali anak menyusu, hormon oxytosin akn dirembes dan menolong proses pengecutan rahim.

Dengan menyusu, ibu -ibu boleh mengurangkan berat badan selepas bersalin supaya dapat mengekalkan berat badan asal sebelum mengandung! Menyusu badan juga dapat menjadi ubat perancang semulajadi untuk menjarakkan kehamilan terutama dalam masa 6 bulan pertama jika ibu menyusu anak sepenuhnya.

Yang paling penting dengan memberi susu, wanita dapat mengurangkan risiko kanser payudara yang menjadi salah satu punca utama kematian di Malaysia!

Hebatnya susu ibu! Dua dalam satu!



8- SUSU IBU MENGURANGKAN RISIKO SIDS



Semua ibu-ibu sedar kebelakangan ini banyak kes-kes kematian melibatkan anak-anak kecil disebabkan tersedak susu. dengan memberi susu ibu, risiko kematian yang disebabkan oleh "sudden infant death syndrome" boleh dikurangkan.

Anak yang menyusu ibu kurang berisiko mendapat reflux berbanding anak yang menyusu botol. gastroesophageal reflux telah dikaitkan menjadi salah satu punca yang menyebabkan kematian mengejut anak-anak kecil.

Dengan menyusu ibu, anak-anak ini boleh mengawal pernafasan dan menelan (swallowing). Anak-anak yang menyusu ibu akan menyusu lebih kerap berbanding anak yang menyusu formula. Ini akan memberi peluang kepada anak-anak ini berlatih mengawal otot pernafasan dan untuk menelan. sebarang senaman yang melibatkan otot mulut dan tekak  membantu membuka ruang pernafasan.


9- SUSU IBU TIDAK TERCEMAR



Susu ibu memang tiada risiko pencemaran kerana ia datang terus dari ibu berbanding dengan susu formula. Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Susu ibu mengandungi sel darah putih hidup yang membunuh bakteria. Antibodi yang dihasilkan oleh susu ibu mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi boleh berupaya membentuk antibodinya sendiri.


10- PAHALA MUDAH BUAT IBU



Saya rasa sebagai seorang yang beragama Islam salah satu matlamat hidup saya untuk mengumpul pahala yang banyak sebelum berangkat ke dunia Sana.

Percayalah ibu-ibu salah satu cara yang paling mudah mendapatkan pahala adalah dengan menyusukan anak sendiri.

Diberitakan wanita yang memberi minum air susu kepada anaknya dari dirinya sendiri akan mendapat 1 pahala pada tiap-tiap titis susu yang diberikannya.

Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh 2 tahun maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

Jika wanita memberi susu dirinya pada anaknya yang menangis, Allah SWT akan memberi pahala 1 tahun solat dan berpuasa.




Subhanallah hebat sungguh ciptaan Allah buat wanita bergelar ibu. Kenapa anda mahu lagi memberi susu formula buat anak anda sedangkan anda sedar susu anda lebih hebat dari susu yang dicipta oleh manusia.

Semua sebab-sebab yang saya utarakan di atas sepatutnya menjadi push factor untuk ibu-ibu memberi susu badan sendiri untuk anak anda.

Semoga ia menjadi semangat untuk ibu-ibu yang masih berjuang memberikan yang terbaik!




Kalau ada apa apa persoalan tentang penyusuan susu ibu, saya sangat alu alukan untuk kita sama sama belajar. Saya sangat besar hati untuk membantu anda. 
Hubungi saya untuk dapatkan tips tips penyusuan susu ibu.
      

Soalan 21: Kulit Sopak

SOALAN:

salam shima, nak minta shima citer sikit macam mana nak rawat vitiligo/sopak. Anak saya umur setahun setengah.

JAWAPAN:

waalaikumsalam

sebelum saya terang tentang rawatan vitiligo, saya akan cuba beri beberapa info tentang masalah ini.

VITILIGO adalah depigmentasi sebahagian dari kulit. Ia terjadi apabila pigment pada kulit mati atau gagal berfungsi.


Punca masalah ini adalah

- kulit terdedah kepada bahan kimia
- autoimmune
- genetik
- tekanan oksidasi
- jangkitan virus

Kulit yang menghadapi masalah vitiligo akan kelihatan bertompok-tompok dengan warna yang berbeza dari kulit biasa. selalunya berlaku di bahagian muka, tangan dan pergelangan tangan. Vitiligo pada mulanya kecil tapi boleh membesar dan berubah bentuk.

Matlamat rawatan untuk masalah vitiligo adalah untuk membantu pemulihan kulit. Rawatan ini mengambil masa yang panjang antara 6-18 bulan. Rawatan yang diberi bergantung kepada luas kulit yang menghadapi vitiligo, kawasan mana dan sejauh mana ia telah merebak. Rawatan antara individu mungkin berbeza.

Antara rawatan yang diberi adalah krim sapu yang mempunyai kandungan steroid. krim steroid boleh membantu memulihkan pigmentasi kulit terutama jika disapu pada peringkat mula. doktor akan memberi krim steroid ringan kepada kanak-kanak dibawah umur 10 tahun dan lebih kuat untuk golongan dewasa. Anda perlu sapu krim tersebut sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum ia memberikan sebarang kesan. krim steroid adalah rawatan yang paling mudah dan selamat untuk merawat vitiligo.

Rawatan lain yang mungkin membantu adalah
1- phototherapy
2- skin grafting

Rawatan-rawatan ini memerlukan indikasi tertentu sebelum diberikan.

Semoga jawapan saya membantu puan yang bertanya.


Soalan 20: Ketumbuhan di Otak

SOALAN:

Assalam.. Doktor tolong terangkan saya apa makna ayat ni. 
"right cerebellopontine angle cystic lesion shows features suggestive of epidermoid cyst"
conclusion daripada result MRI saya.

tolong yer doktor.

JAWAPAN:

waalaikumsalam

saya cuma akan bagi gambaran tentang "right cerebellopontine angle" dan "epidermoid cyst" tapi saya pasti neurosurgical adalah orang yang paling layak memberi penerangan ini

Cerebelopontine angle adalah satu kawasan di bahagian belakang otak yang menghubungkan cerebellum dan pons. Ia mengandungi saraf pada muka (facial nerve), saraf telinga (vestibulocochlea nerve) dan bahagian pada cerebellum dan ventricle



Epidermoid cyst adalah satu ketumbuhan di otak yang berlaku disebabkan sel-sel yang tidak normal tertinggal semasa pembentukan saraf-saraf semasa perkembangan dalam rahim ibu lagi. Ini bermakna epidermoid cyst mungkin telah ada sewaktu lahir lagi tapi ia hanya membesar dan memberi simptom ketika pesakit berumur 20-40 tahun kerana ia mengambil masa untuk besar. Ia bukan kanser.

Rawatan selanjutnya saya rasa puan perlu berbincang dengan neurosurgical yang lebih arif tentang masalah ini.

saya doakan kesihatan yang terbaik untuk puan.



DENGGI; Adakah Saya Perlu Berhenti Menyusu?

Salam sejahtera semua. Semoga semua diberikan kesihatan yang terbaik untuk menjalankan tugas seharian.

Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman dan dugaan paling berat sepanjang menyusukan Balqis. Menyusu si kecil tidak pernah sunyi dari cabaran sebab susu ibu adalah yang terbaik. Bukan anak saja dapat manfaat malah ibu diberi pahala yang cukup besar jika memberi susunya. Untuk dapat yang terbaik, Allah duga si ibu untuk tahu sekuat mana ibu, setabah mana ibu dalam usahanya memberi titisan-titisan emas itu.

DENGGI OH DENGGI


Semua sudah sedia maklum, wabak denggi pada tahun ini telah meningkat berkali ganda dari tahun lepas. Umpama ikan todak menyerang Singapura. Kes-kes kematian melibatkan denggi juga meningkat! Kerajaan terpaksa membuat pelbagai inisiatif untuk mengawal masalah ini hingga parlimen juga bersidang membincangkan masalah Denggi.

Saya berharap tiada siapa antara kita yang akan kena Denggi. Sakitnya Allah sahaja yang tahu. Berdasarkan pengalaman melaluinya sangat memeritkan tapi mungkin itu juga sebagai kafarah dosa-dosa saya.




Kalau diingat kembali, masa itu Balqis baru 5 bulan. Hari-hari terakhir untuk mencukupkan penyusuan eksklusif 6 bulan.  Kisah bermula bila ayah dan adik saya mula demam. Saya mula rasa tidak sihat. Sekejap panas sekejap baik. Masa tu saya masih bercuti tanpa gaji dan tinggal di rumah mak. Suami pula bekerja di Johor. Mujur mak saya tidak demam. Dia yang membawa kami ke klinik. Bermula dengan adik terpaksa dimasukkan ke hospital dan diikuti dengan ayah. Mak terpaksa berulang alik.

Walaupun sakit, saya kuatkan diri untuk menjaga anak-anak. Allahuakbar, sakit demam denggi memang tak boleh nak digambarkan dengan kata-kata. Badan tak bermaya, selera makan kurang, sendi-sendi rasa nak pecah masa tu. Saya hanya banyak berbaring bersama anak-anak di dalam bilik. Suami saya hanya pulang selepas 4 hari saya demam kerana ada kerja yang perlu dihabiskan. Bila suami ada, barulah saya boleh berehat sedikit kerana dia boleh menjaga anak-anak.

Pagi 26/5/13, saya ke hospital untuk kali ke empat untuk pemantauan denggi. Sebelum itu di rumah, saya mula rasa pelik bila tiba-tiba saja bila hendak menggosok gigi, gusi saya berdarah tanpa henti, tangan saya dipenuhi bintil-bintik merah. Saya mula tidak sedap hati tapi cuba untuk tidak memikirkan yang bukan-bukan. Saya cuba melihat kembali kad pemantauan denggi saya, darah saya tidak begitu teruk, darah beku (platelet) masih atas seratus pada hari sebelumnya.

Kadang-kadang walaupun ada ilmu perubatan, bila diri sendiri jatuh sakit, tidak boleh hendak befikir dengan baik. Sebenarnya apa yang saya alami itu adalah tanda-tanda bahaya demam denggi!

Bila darah diperiksa semula pagi itu, rupanya platelet saya sudah menjunam ke 79. Dengan adanya tanda-tanda bahaya denggi,  dengan tekanan darah yang rendah pada masa itu, terus saja saya ditolak ke zon merah di wad kecemasan. Doktor mahu saya dirawat di wad untuk pemantauan lebih rapi.





Allahuakbar! Masa itu saya cuma teringatkan anak-anak saya saja. Banyak perkara yang bermain di kepala. Teringat kes kematian yang disebabkan oleh Denggi semasa bertugas di HUSM yang melibatkan wanita muda yang masih mempunyai anak-anak kecil. Saya begitu takut andaikata suami datang membawa balik jenazah saya. Air mata tak henti-henti menitis memohon Allah panjangkan usia saya untuk bertemu semula dengan anak-anak. Andaikata ajal menjemput, saya tinggalkan Balqis dengan stok-stok susu saya agar dia membesar dengan air susu ibunya sendiri.

Rawatan di dalam wad untuk kes denggi adalah dimasukkan air secara terus ke dalam badan melalui branula yang dipasang di tangan. Memang tiada rawatan khusus untuk demam denggi. Ketika ini lah saya rasa sedikit segar dan bila mengepam susu tiada masalah susu berkurang kerana badan cukup air.


BAHAYAKAH MENYUSU SEMASA DENGGI?


Saya mengambil kesempatan di dalam untuk mengepam susu saya setiap 4-6 jam. Masa itu, susu saya sentiasa penuh. Rezeki Balqis sentiasa murah. Ada yang menegur "tak bahaya ka bagi susu bila kena Denggi?". Jawapan saya mudah bila kita faham bagaimana Denggi merebak.





Denggi adalah masalah yang disebabkan oleh nyamuk Aedes. Bila nyamuk menggigit tubuh manusia ia akan mengeluarkan virus dengue. Virus denggi akan memberi mesej kepada sistem pertahanan badan kita untuk mengeluarkan antibodi untuk melawan jangkitan ini. Denggi tidak berjangkit antara manusia jadi menyusukan Balqis bukan sesuatu yang membahayakannya malah akan memberi manfaat kepada anak tersebut. Ini kerana antibodi yang dihasilkan dapat diberi kepada anak melalui susu ibu. Alangkah bertuahnya Balqis ketika itu.



BILA IBU TIDAK BOLEH MENYUSUKAN ANAK


Ada beberapa keadaan yang tidak membenarkan ibu menyusukan si anak. Alasan ini adalah berdasarkan status kesihatan kedua-duanya. Garis panduan ini telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2009.

Antara masalah ibu yang tidak membolehkan menyusu anaknya sama sekali adalah ibu yang mengidap HIV positif. Ini adalah satu cara untuk mengurangkan penyebaran virus tersebut kepada bayi melalui susu ibu itu.


 Ada juga keadaan di mana ibu mempunyai masalah kesihatan tetapi perlu mengelak memberi susu ibu sementara waktu. Antaranya jika ibu menghadapi jangkitan Herpes Virus Simplex 1 yang lebih dikenali sebagai cacar air/chickenpox, ataupun jika ibu mempunyai masalah  kesihatan yang memnyebabkan dia tidak mampu untuk memegang anaknya. Ibu-ibu yang sendang mengambil ubat seperti ubat sawan, ubat penenang untuk masalah psychiatri, ataupun ubat-ubat kimoterapi adalah dinasihatkan untuk berhenti sementara dari menyusukan si kecil.




Keadaan bayi yang tidak membenarkannya menerima susu ibu atau susu formula adalah bayi yang didiagnos mengidap "classic galactosaemia" keadaan di mana anak ini memerlukan susu yang tidak mengandungi galaktos, ataupun bayi yang menghidapi penyakit metabolic seperti "maple syrup urine" atau "phenylkonuria".

Ada juga bayi yang memerlukan tambahan susu selain dari susu ibu untuk sementara waktu contohnya bayi yang lahir tidak cukup berat (< 1500gm), bayi yang lahir kurang dari 32 minggu atau bayi yang berisiko mengalami masalah kurang gula dalam darah (hypoglycaemia).

Jadi selain dari masalah-masalah yang saya ceritakan di atas tiada sebab untuk tidak menyusu si kecil anda.

 Semoga ibu-ibu di luar sana sentiasa berusaha walau dalam keadaan apa sekalipun. Sesungguh susu ibu adalah yang terbaik! Penawar buat si kecil =) Semoga pengalaman ini menjadi inspirasi buat ibu-ibu yang masih menyusu. 



ADA APA DENGAN ANTIBIOTIK?

Apa yang saya bakal kongsikan adalah pengalaman saya sebagai Pegawai Perubatan. Saya mahu semua yang membaca mengambil sedikit ilmu yang penting dari kisah ini.

Pagi ini saya dikunjungi oleh seorang pesakit wanita yang datang mengadu demam, batuk dan selsema yang baru bermula kelmarin. Setelah membuat pemeriksaan, suhu badannya tidak tinggi dan paru-parunya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahaya.  Beliau mengalami jangkitan virus pada ruang  atas system pernafasannya dan saya memberikan ubat untuk mengurangkan symptom-simptom yang beliau alami. Setelah beliau keluar ke farmasi, tiba-tiba telefon bilik saya berdering.

Pegawai Farmasi memberitahu pesakit tersebut tidak mahu berganjak selagi beliau tidak mendapat antibiotic walaupun sudah diterangkan dengan jelas sebab antibiotic tidak perlu dalam kes beliau. Saya meminta pesakit datang semula ke bilik saya untuk saya memberi sedikit penerangan. Pesakit datang semula dan saya memberi sebab yang kukuh berpandukan ilmu perubatan yang saya pelajari. Pesakit memberitahu VIRUS itu memerlukan antibiotic jika tidak symptom-simptom itu akan menganggunya untuk mengambil peperiksaan pada keesokkan hari.

Pesakit sangat berkehendakan antibiotic. Beliau memberikan alasan, setiap kali ke klinik, antibiotic adalah satu ubat yang akan diberikan oleh doctor. Malah beliau pernah ke hospital dan doctor juga memberikan antibiotic untuk merawat masalah yang beliau hadapi.

Saya mahu semua tahu tentang antibiotic sebelum bertindak arif dengan memintanya sebagai satu keperluan bila datang ke klinik. Banyak kesan jangka masa panjang yang pesakit perlu tahu tentang antibiotic. Antibiotik bukan ubat magik yang perlu diberi oleh doktor untuk menghilangkan demam batuk selsema.




ANTIBIOTIK dan VIRUS


Antibiotik adalah perkataan dalam bahasa Latin yang membawa maksud berlawanan hidupan. Antibiotik dicipta untuk memberikan kesan toksik kepada organisma yang yang menjangkiti tubuh tanpa memberi sebarang kesan buruk kepada tubuh itu sendiri. Ia dijumpai kali pertama oleh saintis perancis Alexander Fleming pada tahun 1928 dan Penicillin merupakan antibiotik pertama yang dijumpai. Sehingga kini berpuluh-puluh antibiotik digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Antibiotik dicipta untuk melawan jangkitan BAKTERIA dan ia tidak memberi sebarang kesan jika masalah itu disebabkan oleh jangkitan VIRUS. 80% kes demam batuk selsema adalah disebabkan oleh virus. Symptom-symptom yang disebabkan oleh virus biasanya akan hilang dengan sendiri tanpa penggunaan antibiotic dan selalunya mengambil masa 7 hingga 14 hari.

Virus adalah organisma yang hidup dan membiak di dalam badan manusia. Bila virus menyerang tubuh manusia, system pertahanan badan kita akan memberi maklum balas dengan mengeluarkan antibody bagi melawannya. Antibiotik tidak akan memberi apa-apa kesan jika diambil. Apa yang perlu dilakukan adalah mengambil ubat untuk mengurangkan symptom, berehat dan mengambil air secukupnya.

Bagaimana doctor membuat justifikasi pesakit mengalami jangkitan virus bergantung kepada informasi yang diberi oleh pesakit, pemeriksaan fizikal pesakit dan juga pemeriksaan darah jika dibuat. Saya pasti setiap doctor yang merawat pesakit menggunakan ilmu perubatan yang dipelajarinya sebaik mungkin.


10 PERKARA TENTANG ANTIBIOTIK YANG ANDA PERLU TAHU


1- Antibiotik memerlukan preskripsi dari doctor kerana ubat ini perlu diberi mengikut keperluan pesakit.


2- Antibiotik perlu diambil untuk tempoh yang disarankan sehingga habis walaupun pesakit sudah sembuh. Ini adalah kerana bakteria mempunyai keupayaan menjadi "kebal" (resistant) jika tidak dihapuskan sepenuhnya dengan antibiotic yang diberi. walaupun pesakit semakin sembuh, ia tidak bermakna jangkitan bakteria sudah terhapus. Pesakit perlu mengambil dos antibiotic dalam tempoh yang diberi untuk menghapuskan sepenuhnya bakteria tersebut. Jika resistant berlaku, ia akan menyebabkan antibiotic yang sama tidak akan dapat berfungsi lagi dan memerlukan antibiotic yang lebih kuat untuk merawat kes yang ringan.


2- Kesan resistant antibiotic ini boleh menyebabkan kitaran yang tidak putus hingga memberi kesan buruk kepada pesakit dan juga pihak kerajaan. Jika setiap pesakit memerlukan ubat antibiotic yang kuat disebabkan terdapatnya resistant, kosnya sangat mahal akan menyebabkan perbelanjaan di hospital meningkat. Bayangkan jika tiada lagi antibiotic yang kuat untuk jangkitan yang bakteria yang ringan, hanya dengan luka yang sedikit boleh menyebabkan kematian! menakutkan bukan? Kita akan kembali ke zaman Perang Dunia Kedua semula.


3- Cara mengambil antibiotic yang betul adalah:
    ambil ubat 1/2 jam sebelum mengambil makanan atau 1 jam selepas makan
    mengambil mengikut kekerapan yang diarahkan.
    ini kerana tindakan antibiotic terhad kepada tempoh tertentu sahaja.


4- Antibiotik boleh menyebabkan alahan kepada sesetengah individu. Alahan kepada antibiotic boleh menyebabkan kulit mendapat ruam yang gatal di seluruh badan hingga kepada keadaan yang paling teruk kulit menjadi seperti melecur, mata dan mulut menjadi bengkak ataupun sesak nafas.


5- Antara kesan sampingan lain yang mungkin pesakit boleh alami adalah gangguan pada system penghadaman seperti loya, muntah, cirit birit, pening dan ada antibiotic yang boleh menganggu system buah pinggang, menyebabkan pekak, kerosakan hati. Ini boleh terjadi sekiranya antibiotic yang digunakan tidak mendapat konsultasi dari doctor dan penggunaannya melebihi dos yang disarankan. Perlu diingat, kesan sampingan ini adalah tidak sama antara individu. Sesetengah orang sahaja yang mungkin mendapat kesan sampingan ini.


6- Untuk pengetahuan semua, antibiotic tidak membunuh virus, ia hanya berkesan untuk jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Antibiotik bertindak ke atas organisma hidup dengan menghentikan pembahagian dan pertumbuhan sel bakteria. Virus adalah bukan benda hidup. Ia tidak boleh hidup sendiri. Ia cuma satu partikel yang mempunyai bahan genetic dan diselaputi kot protein. Virus menggunakan manusia dan haiwan sebagai perumah dan membiak di dalamnya. Jangkitan virus menyebabkan manusia mengeluarkan antibody untuk  melawannya. Ubat hanya perlu untuk mengurangkan symptom sahaja.


7- Antibiotik tidak boleh diberikan kepada individu lain walaupun pesakit tersebut mengalami masalah kesihatan yang lebih kurang sama. Ia boleh memperlahankan rawatan dan membenarkan bakteria membiak di dalam badan.


8- Penggunaan antibiotic selalu diberikan antibiotic barisan pertama terlebih dahulu. Antibiotik yang kuat disimpan sebagai senjata akhir melawan bakteria yang paling kuat. Seperti yang telah diterangkan bakteria mudah menjadi kebal, sekiranya diberi senjata terakhir melawan bakteria biasa, bila diperlukan melawan bakteria kuat, senjata terakhir itu tidak lagi berkesan.



9- Jangan simpan baki antibiotic lama untuk merawat symptom yang sama sekiranya berlaku di kemudian hari. pesakit boleh buang antibiotic yang lebih.


10- Amalkan kebersihan diri dengan mencuci tangan untuk mengelakkan penyebaran jangkitan bakteria dan virus.



Sebagai pegawai perubatan, saya rasa antibiotik bukan ubat magik yang sentiasa perlu diberi kepada pesakit setiap kali datang mendapatkan rawatan. Setiap penyakit memerlukan pemeriksaan dan justifikasi dari doctor yang merawat sama ada perlu atau tidak antibiotic diberikan. Antibiotik bukan ubat yang boleh diminta oleh pesakit.

Kadang kala masalah dari masyarakat yang tidak tahu langsung kesan jangka masa panjang pemberian dan penggunaan antibiotic secara meluas memberi tekanan kepada staff kesihatan. Ada saja aduan yang diberikan jika tidak ikut kehendak pesakit. Ada kala membuatkan saya pening untuk membuat keputusan dalam memberikan rawatan terbaik buat pesakit saya.


Ini satu perkongsian yang saya harap dapat dikongsi bersama semua yang membaca.

Soalan 19: Masalah Sakit Kepala @ Migrain

SOALAN:

Saya ada seorang rakan wanita, umur lewat 20-an, belum berkahwin, mengalami migrain 3-4 kali dalam setahun. Bermula dari tahun lepas. Dalam serangan migrain terbaru, dia hanya mengambil panadol dan tidur untuk mengurangkan kesakitan. Setiap kali serangan, jika panadol tidak diambil, migrain boleh berterusan sepanjang hari.

Soalannya: 
1- Perlu tak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut? 
2- Bolehkah berjumpa doktor ketika bukan waktu migrain? 
3- Adakah migrain ada kaitan dengan penyakit gastrik?

JAWAPAN:

Terima kasih atas soalan tentang penyakit migrain.



Untuk pengetahuan semua, sakit kepala adalah masalah yang sering kali menyebabkan pesakit datang ke klinik tapi bukan semua sakit kepala adalah migrain.

Diagnosis pesakit migrain dibuat melalui sejarah sakit kepala, pemeriksaan dan kriteria yang dikeluarkan oleh International Headache Society (IHS). Untuk membuat diagnosis pesakit menghadapi masalah migrain ada beberapa kriteria yang perlu diketahui.

Antara ciri-ciri sakit kepala yang disebabkan oleh migrain adalah:

- Sakit kepala yang berulang
- Yang mengambil masa 4-72jam jika tidak dirawat
- Hanya melibatkan sebelah bahagian kepala sahaja
- Sakit yang berdenyut
- Selalunya ada simptom-simptom lain seperti loya, muntah, tidak boleh lihat cahaya atau tidak boleh dengar bising
- Kadang-kadang sesetengah pesakit mendapat aura yang melibatkan penglihatan

Punca masalah migrain kemungkinan besar adalah disebabkan oleh persekitaran dan faktor genetik. Perubahan hormon juga memainkan peranan yang tersendiri yang menyebabkan 2 dar 3 pesakit migrain adalah wanita.

Migrain dipercayai disebabkan masalah salur darah pada bahagian otak tetapi masalah sebenar tidak diketahui.

Pada pendapat saya, jika pesakit menghadapi sakit kepala yang kerap eloklah berjumpa dengan doktor untuk berbincang masalah ini. Jika kriteria sakit kepala tersebut tidak memenuhi kriteria migrain, mungkin penyiasatan lanjut perlu dilakukan. Mungkin pesakit memerlukan penyiasatan seperti pemeriksaan darah atau radiologi bergantung kepada doktor yang membuat pemeriksaan.

Bagi saya tiada masalah jika pesakit datang pada waktu yang tidak ada sakit untuk berbincang masalah beliau. Jika beliau datang pada waktu sakit, mungkin rawatan boleh diberikan untuk mengurangkan sakit tersebut.

Migrain dan gastrik adalah masalah yang berbeza. Migrain adalah melibatkan salur darah di otak (neurovascular) manakala gastrik adalah masalah yang melibatkan sistem penghadaman kita. Gastrik atau gastritis adalah keadaan di mana bahagian perut mengalami keradangan. Ia boleh disebabkan pelbagai perkara seperti merokok, pengambilan ubat tahan sakit, stress, pembedahan major, kebakaran, atau jangkitan kuman.

Beberapa tips untuk mengurangkan masalah sakit kepala:
1- Pesakit harus tahu faktor-faktor yang boleh mencetuskankan sakit kepala/ migrain contohnya stress, makanan yang mengandungi MSG, pengambilan ubat perancang
2- Pesakit boleh membuat senaman secara regular. Senaman mengurangkan tekanan.
3- Cuba kurangkan tahap tekanan/ stress
4- Cuba untuk tetapkan rutin harian. Dapatkan tidur yang cukup dan diet yang seimbang
5- Berhenti merokok dan kurangkan pengambilan kafein
6- Kurangkan kesan hormon estrogen terutama jika wanita mengambil pil perancang atau hormon replacement therapy

Beberapa makanan dan minuman yang boleh mencetuskan migrain:
- Keju
- Alcohol
- Pemanis tiruan
- Kafein
- Jeruk
- Coklat
- Beberapa sayur seperti avocados, bawang, kacang
- Kismis
- Peanut butter

menurut satu sumber, pengambilan vitamin B complex, calcium dan magnesium boleh membantu mengurangkan masalah ini.

Harap jawapan saya membantu saudari memberi maklumat kepada kawan yang mengalami masalah sakit kepala.

Semoga masalahnya dapat diatasi


Kenapa Susu Ibu Sikit?

Assalamualaikum semua. Semoga dalam lindungan Allah sentiasa.

Siapa cakap menyusu itu senang? Pada mulanya saya sendiri rasa penyusuan susu ibu adalah semulajadi tetapi jangkaan saya itu tidak tepat apabila mengaku kalah dengan keadaan semasa melahirkan anak kali pertama. Saya belajar semula tentang masalah yang saya hadapi. Ternyata penyusuan susu ibu tidak mudah perlu ada niat dan ilmu di dada sebelum sampai waktunya.

Permasalahan yang sering di alami oleh ibu-ibu adalah merasakan susu mereka tidak cukup untuk keperluan si kecil. Rasa anak lelaki minum susu lebih banyak dari anak perempuan. Rasa si kecil menangis tidak cukup susu. Rasa si kecil kerap menyusu sebab susu tidak cukup. Rasa amaun susu yang dipam tidak banyak disebabkan susu kurang. Sebab-sebab inilah yang menjadi punca ibu-ibu berhenti untuk menyusu atau menambah susu formula.




SUSU IBU KURANG?


Masalah ini sering dirasakan oleh ibu-ibu ketika awal-awal kelahiran si kecil. Rasa si kecil kerap minum dan menangis menyebabkan si ibu membuat jangkaan disebabkan susu. Satu lagi masa bila si ibu sudah mula bekerja. Bila dipam jumlah susu lebih kurang berbanding biasa.

Saya yang sedang bercuti ketika menyusukan Balqis turut sama mengalami masalah tersebut. Tiba-tiba sahaja, jumlah susu yang dipam tidak seperti biasa. Tekanan mula dirasa. Mencari sebab yang boleh diperbetulkan untuk mengatasi masalah yang terjadi.

Sebenarnya jumlah susu yang dipam, kekerapan anak menyusu, susu nampak cair bukanlah satu indikasi yang susu ibu berkurang. Ibu-ibu perlu tahu tanda-tanda anak sudah mendapat susu yang cukup untuknya. Antara perkara-perkara yang boleh diperhatikan adalah
pengeluaran air kencing dan najis anak - susu masuk mesti keluar melalui najis dan air kencing
       
          Air kencing - jumlah lampin yang ditukar lebih dari 6 dalam masa 24jam, air kencing yang cair
          Najis - bayi buang air besar 3-8 kali dalam 24jam

tanda-tanda lain: otot yang cergas, sentiasa berjaga-jaga, kulit yang sihat, penambahan berat badan yang konsisten (purata kenaikan berat 150gm seminggu)

Antara sebab yang boleh menganggu pengeluaran susu adalah
1- kurang memberi susu kepada anak
2- Memberi susu secara berjadual
3- menyusu dalam tempoh yang singkat
4- cara menghisap yang salah
4- Susu tidak keluar sepenuhnya
5- Lambat memulakan penyusuan
6- Pengambilan air yang kurang

Kesan psychology ibu juga boleh menganggu pengeluaran susu. Ibu yang tidak berkeyakinan, penat, risau, susah untuk memberi perhatian kepada anak menyebabkan ibu berada dalam keadaan tertekan.

Mungkin ibu-ibu perlu tahu serba sedikit bagaimana pengeluaran susu berlaku. Jika ini difahami, lagi senang penyusuan berlaku. Itu adalah pendapat saya.

BAGAIMANA PENGHASILAN SUSU IBU


Dalam menjayakan penyusuan susu ibu, ada 2 elemen yang penting iaitu payudara hasilkan susu dan bayi berjaya mengeluarkan susu melalui penghisapan yang efektif.

Ada 2 hormone penting yang mengawalselia pengeluaran susu dari payudara. Hormon tersebut adalah prolactin dan oxytoxin.

Prolaktin adalah hormone yang meransang penghasilan susu manakala oxytosin adalah hormone yang menyebabkan otot sekeliling payudara mengecut untuk mengeluarkan hormone. Kedua-dua hormone ini dikawal oleh otak.




Ibu juga perlu tahu dalam susu ibu ada satu agen yang boleh mengurangkan pengeluaran susu. Jumlah susu yang dikeluarkan oleh payudara bergantung kepada berapa banyak agen ini dikeluarkan dari payudara. Jika susu tidak dikeluarkan, dan payudara masih penuh, agen ini akan mengurangkan pengeluaran susu. Jika susu banyak dikeluarkan, paras agen ini akan kurang dan pengeluaran susu akan bertambah.

Untuk mengurangkan agen ini dari berkumpul yang boleh menyebabkan pengeluaran susu berkurang, ibu perlu:
- pastikan anak menyusu dengan betul
- menggalakan penyusuan yang kerap
- benarkan anak menyusu selama mana yang dia suka
- biarkan anak selesai menyusu sebelah payudara dahulu sebelum memberi payudara yang sebelah lagi
- jika bayi tidak menyusu, perah payudara yang penuh

Jika ibu faham keadaan ini, pasti masalah kurang susu boleh diatasi.


MAKANAN TAMBAH SUSU

Ini adalah sebahagian usaha untuk memberi khasiat kepada susu badan kita dan menambah pengeluarannya.


Antara yang saya cuba:

1- Kurma: ia boleh dimakan begitu sahaja atau dikisar bersama susu.

2- Longan kering: saya rebus longan kering bersama kurma dan gula batu untuk mendapatkan air rebusan yang enak

3- kacang soya: boleh diminum begitu sahaja

4- susu: saya suka minum susu bersama chocolate dan dijadikan milkshake

5- oren: boleh dimakan begitu sahaja atau dijadikan jus



MILK BOOSTER SAYA


Semasa mengalami masalah stok susu berkurang, selain dari menjaga pemakanan saya, saya cuba mengambil produk tambahan untuk memastikan perkara ini boleh diatasi. Ini adalah satu inisiatif saya. Mungkin saya terlepas pandang, pemakanan yang tidak cukup menjadi punca stok susu menyusut. Makanan tambahan ini juga memastikan saya terus bertenaga dalam menjalankan aktiviti seharian.

Saya tertarik untuk memberi sedikit maklumat tentang alfalfa yang menjadi rutin harian saya sebagai ibu yang menyusu.


Alfalfa adalah tumbuhan yang kaya dengan pelbagai nutrisi dan telah digunakan oleh manusia sejak lebih 2500 tahun. Ia telah dikenalpasti sebagai makanan yang paling kaya dengan pelbagai nutrisi dan zat galian. Ia kaya dengan protein, asid amino, klorofil, serat, 15 zat galian, 10 vitamin, 8 enzim dan fitokimia.

Untuk ibu menyusu badan seperti saya, ia adalah penggalak susu, melegakan keletihan dan boleh memperbaiki masalah saluran penghadaman. Ia juga membantu mengurangkan masalah alahan.

Menurut kajian, 10 biji alfalfa yang disarankan menyediakan nutrisi yang sama dengan segelas susu!

Sebenarnya walau apa sekalipun makanan atau milk booster yang ibu-ibu amalkan hanya akan berkesan sekiranya ibu-ibu kerap merangsang payudara mengeluarkan susu. Jika hanya mengambil berat bab pemakanan tapi payudara masih penuh, agen yang saya ceritakan di atas akan berkumpul dan memberi mesej kepada otak yang susu tidak perlu dihasilkan. Maka pengeluaran susu akan menyusut.

Jadi ibu-ibu jika berminat untuk mendapatkan milk booster yang sama seperti saya boleh hubungi saya. Insya Allah saya harap dapat membantu ibu-ibu dalam perjuangan memberikan susu terbaik buat si kecil anda!











Soalan 18: Diabetes Dan Indeks Glisemik

SOALAN:

salam.. doktor nak tanya, customer saya ada ambil vivix, esp dan lain-lain vitamin c dan e.
bacaan diabetes dia biasanya 9, tetapi meningkat kepada 13.

adakah vivix atau esp boleh menaikan paras gula?sy dah tanya apa yg dia makan, dia berpantang atau tidak, tapi dia tak memberi jawapan yg jelas,

mungkin kah faktor itu meningkatkan bsp? selain dari faktor pemakanan dan genetik?
mohon pencerahan.

sekarang dia dah takut nak mkn vivix dan esp. tapi sy minta dia stop sementara esp kerana esp bacaan gukosemik dia 39,. sesuai tak?

JAWAPAN:

Waalaikumsalam.Sebelum saya menjawab soalan ini saya ingin menerangkan secara ringkas tentang masalah diabetes atau lebih sinonim dikenali dengan kencing manis.

Diabetes adalah masalah yang berkait dengan hormon insulin. Terdapat beberapa jenis diabetes seperti DM type 1, DM type 2 ataupu gestational DM yang terjadi kepada wanita yang mengandung.

Kebanyakan pesakit yang selalu ditemui di klinik adalah mereka yang mendapat DM type 2. Secara ringkas pesakit perlu tahu, sedikit info tentang masalah mereka. DM type 2 berlaku kerana hormon insulin yang sedia ada dalam badan mereka kurang efektif berbanding dengan orang lain. DM type 2 memerlukan rawatan seumur hidup bergantung kepada tahap kawalan gula yang dilakukan di klinik.

Sebelum rawatan diberi, doktor akan melihat kepada ujian darah bukan sahaja paras gula dalam darah tetapi juga ujian darah yang dikenali sebagai HbA1c iaitu purata gula untuk 3 bulan yang lalu. Jika paras HbA1c ini lebih daripada 6.5%, bermakna diabetes pesakit tidak berada dalam kawalan yang baik.



Bacaan gula pada glucometer yang baik untuk pesakit DM adalah
Sebelum makan 4-6mmol/L
Selepas makan < 8mmol/L

Saya tidak mahu berat sebelah dalam memberikan komen terhadap sebarang produk yang ada di pasaran untuk membantu mengawal gula dalam darah. Setiap produk tidak sama tindakbalas terhadap individu. Saya selalu nasihatkan kepada pesakit saya, walau apa sekalipun produk yang pesakit ambil, jangan sesekali lupa mengambil ubat yang diberi oleh doktor di klinik. Seperti yang selalu diwar warkan, makanan tambahan hanya membantu mengawal paras gula tetapi bukan untuk merawat. Saya tidak ada hak untuk mengatakan produk itu tidak elok untuk pesakit Diabetes sedangkan ada pesakit yang mengambil produk tersebut tidak mempunyai sebarang masalah.

Saya juga tidak akan melihat kepada hanya satu bacaan glucometer kerana bacaan gula pada glucometer berubah-ubah mengikut pemakanan harian pesakit. Sebagai pegawai perubatan saya lebih banyak menggunakan bacaan HbA1c dan ujian darah dari vena untuk membuat penilaian tahap diabetes pesakit saya.

Jika HbA1c pesakit >8% bermakna kawalan gula pesakit sangat teruk barulah saya akan memberitahu kemungkinan besar boleh disebabkan oleh makanan tambahan yang pesakit ambil.

Selain dari itu faktor lain yang boleh menyumbang kepada paras gula yang tidak terkawal adalah:
1. Tidak mengawal pemakanan dan mengambil makanan berkarbohidrat lebih daripada keperluan seperti nasi, mee, roti dan lain-lain.
2. Tidak aktif.
3. Dos ubat diabetes yang tidak mencukupi.
4. Jangkitan atau sakit seperti demam panas atau demam selsema.
5. Stres.
6. Perubahan aras hormon dalam badan

Salah satu cara untuk mengawal paras gula dalam darah adalah pemilihan makanan yang mengandungi Indeks Glisemik (GI) yang rendah
• GI adalah aturan makanan mengikut kesan kenaikan gula dalam darah
• GI yang rendah : makanan yang diserap dengan perlahan dalam darah
• GI yang tinggi : makanan yang cepat diserap dalam darah
• GI yang rendah dalam makanan dapat membantu menyerap makanan berkarbohidrat dengan perlahan dan mengeluarkan gula dalam darah dengan perlahan. Seterusnya, dapat mengawal kenaikan gula dalam darah

Kebaikan GI yang rendah kepada penghidap diabetes :
i. Mengurangkan risiko penyakit lain seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung
ii. Membantu mengawal berat badan
iii. Membantu mengawal selera makan kerana anda akan rasa kenyang yang berpanjangan
iv. Membantu membaiki aras kolestrol baik (HDL)

Saya harap jawapan saya ini membantu puan memberikan maklumat kepada customer puan yang menghidap kencing manis.





Soalan 17: Hepatitis

SOALAN:

Sebenarnya ibu mertua sya.
Disahkan hep A dan B, Berumur 76 thn. Sekarang ni on ubat tidak pasti tp dr sini ckp vitamin utk hati. Skrg ni kulit dia kuning dr ckp jaundice. kami bg minum air kelapa kuningnya ada kurang sikit. cuma kami ragu2 klu bg mnm air kelapa takut efikasi ubat tu tidak brkesan.

JAWAPAN:

Hepatitis adalah masalah radang pada hati. Ia adakala tidak memberi sebarang symptom dan adakala boleh menyebabkan jaundis (kuning), kurang selera makan dan letih.



Hepatitis boleh disebabkan oleh jangkitan virus Hep A,B, C, pengambilan bahan tosik seperti alcohol atau autoimmune. Dalam kes di atas, hepatitis yang dialami pesakit adalah disebabkan oleh Hepatitis A dan B.

Pada pendapat saya, pengambilan air kelapa adalah salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh keluarga untuk membantu pesakit. Sejauh mana keberkesanannya untuk membantu masih belum dapat dipastikan. Tiada kajian yang dilakukan mengenainya. Mungkin pengambilan air kelapa ini boleh diambil pada masa yang berlainan dari masa pengambilan ubat.

Tetapi saya berharap pengambilan ubat dari hospital sentiasa diteruskan dan pesakit harus mengikuti temujanji yang ada di hospital.

Komplikasi dari hepatitis boleh menyebabkan hati menjadi parut dan menyebabkan fibrosis dan boleh menyebabkan kanser pada hati.

Semoga usaha keluarga puan dapat membantu meringankan masalah ibu mertua puan



Soalan 16: Hyperthyroid

SOALAN:

I need ur help. Customer known case of hyperthyroid. Main problem: jantung berdebar, cepat berpeluh & menggigil

Dr kata dia kena makan ubat hospital seumur hidup untuk control symptom dia. Masalah sekarang sebab bila makan ubat hospital ada side effect which is weight gain tapi sy rasa weight gain dia tak kritikal. Sekarang berat dia 58kg tinggi 160cm. Still normal bmi.

Apa komen dr?

JAWAPAN:

Saya akan cuba bagi sedikit info tentang kelenjar thyroid terlebih dahulu.


Kelenjar thyroid adalah salah satu kelenjar endokrin yang terbesar dalam tubuh manusia. Kita mempunyai 2 kelenjar thyroid (kanan & kiri) yang bersambung antara satu sama lain dan terletak di bahagian depan leher.

Kelenjar thyroid bertugas untuk mengeluarkan hormon thyroid yang dikawal selia oleh kelenjar pituitari di otak. Antara fungsi utama hormon thyroid adalah;
1- meningkatkan metabolisme badan
2- membantu pertumbuhan dan perkembangan yang normal terutama untuk kanak-kanak
3- mengawal suhu badan
4- mengawal selia sistem dalam badan seperti jantung, sistem saraf dan peranakan.

Masalah hormon thyroid
1- HYPERthyroid - hormon thyroid adalah berlebihan dalam darah
2- HYPOthyroid - hormon thyroid kurang dalam darah

Sebab berlakunya masalah hyperthyroid mungkin disebabkan oleh:
1- Penyakit Grave's
Penyakit yang disebabkan oleh autoimmune di mana antibodi badan menyerang sel kelejar thyroid sendiri
2- Goitre - bengkak pada kelenjar thyroid
3- thyroiditis - radang pada sel-sel kelenjar thyroid
4- boleh disebabkan pengambilan ubat hormon thyroid secara berlebihan untuk rawatan hypothyroid.

Untuk pengesahan masalah ini berlaku, pemeriksaan darah akan dilakukan kepada pesakit iaitu pemeriksaan fungsi thyroid (thyroid function test)

Rawatan hyperthyroid di klinik
1- ubat propanolol - untuk mengurangkan simptom berdebar, keresahan dan menggigil
2- antithyroid - carbimazole, propythiouracil
Selalunya ubat akan diberi dalam dose yang tinggi tetapi jika terlalu tinggi dan digunakan terlalu lama pesakit boleh mendapat masalah hypothyroid.

Selepas rawatan dimulakan pesakit akan dipantau melalui pemeriksaan darah secara berkala. Selalunya selepas 8 minggu dari tarikh mula rawatan, pemeriksaan dsrah berikutnya akan dibuat untuk melihat kesan ubat terhadap hormon thyroid pesakit.

Dalam kes di atas kemungkinan besar, pesakit mengalami peningkatan berat badan disebabkan oleh kesan ubat yang dimulakan yang menyebabkan hormon thyroidnya turun dan memberikan simptom hypothyroid. Dalam keadaan ini pesakit mengalami hypothyroid walaupun pada mulanya dia mengalami masalah hyperthyroid. Untuk mengesahkan masalah ini, pemeriksaan darah untuk fungsi thyroid semula perlu dibuat. Beliau perlu berbincang dengan doktor yang merawat dan perlu diingat supaya tidak berhenti ubat tanpa arahan doktor.

Untuk pengetahuan semua, tidak semua kes rawatan thyroid memerlukan rawatan seumur hidup. Ada keadaan di mana jika hormon thyroid sudah normal dan stabil dengan ubat yang rendah selama 2 tahun, pengambilan ubat boleh diberhentikan bergantung kepada doktor yang merawat.

Ada juga kes yang selepas makan ubat masih tidak dapat dikawal hormon tersebut yang mungkin perlu dirujuk kepada doktor pakar untuk rawatan seterusnya seperti pembedahan atau radioactive iodine.

Harap penjelasan saya membantu



Soalan 15: Komplikasi Kencing Manis

SOALAN:

Askm.dr.sya ada bbpr soalan.suami saya penghidap kencing manis dr usia 31 kini berusia 44 tahun.soalan saya. kenapa kaki suami saya dr paras lutut hingga ke kaki dan tapak kakinya sakit
Adakah saraf2nya telah rosak. bila disentuh sakitnya ya Allah terjerit2 sakit. walhal kita cuma pegang sahaja

Bila jalan dua jalan menyeret kdg bila nak turun tangga terpaksa jalan menyenget takut jatuh.
Kenapa ye dok. Tapak kakinya begitu teruk sekali sakit. Adakah akan ada penyakit lain plk
Ayh dan ayh mertua juga penghidap kencing manis tp xade la plk sakit kaki sprt suami. ada ketika terlalu kebas. akhir2 ini bila bangun kakinya selalu jadi krem. kenapa ye dok. harap dok dpt menolong sya...terima kasih 

JAWAPAN:

Waalaikumsalam

Diabetes Mellitus atau lebih masyarakat kenal sebagai kencing manis adalah satu penyakit kronik yang jika tidak dikawal boleh memberi komplikasi kepada pelbagai system di dalam badan.

Komplikasi kencing manis terbahagi kepada 2 kategori besar sama ada melibatkan salur darah besar (macrovascular) atau salur darah kecil (microvascular).

Komplikasi yang melibatkan salur darah kecil adalah melibatkan mata ( diabetic retinopathy), saraf ( diabetic neuropathy) atau buah pinggang (diabetic nephropathy)

Komplikasi yang melibatkan salur darah besar adalah kepada organ-organ yang penting seperti jantung ( penyakit jantung koronari), otak ( stroke) atau salur darah periphery .

Berdasarkan gambaran sakit kaki dari paras lutut hingga ke kaki, ada kemungkinan suami puan menghadapi komplikasi yang melibatkan salur darah periphery.



Masalah ini disebabkan oleh salur darah di bahagian atas lutut yang dipanggil femoral mungkin menjadi sempit atau tersumbat disebabkan oleh arteriosklerosis.

Selain dari kencing manis antara faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan masalah salur darah periphery adalah
1- Merokok
2- Darah tinggi
3- Kolesterol tinggi
4- Obesity
5- Sejarah keluarga

Antara symptom-simptom masalah ini adalah

1- Sakit, lemah, kebas, kejang pada otot yang terlibat disebabkan oleh kurang peredaran darah terutama ketika melakukan aktiviti seperti berjalan.
2- Luka atau pembentukan ulcer
3- Pertukaran warna kulit pada kawasan yang terlibat sama ada menjadi kebiruan atau pucat
4- Pertukaran suhu pada kulit iaitu menjadi sejuk pada bahagian terlibat
5- Bulu atau kuku bahagian kaki yang terlibat turut berubah

Antara penyiasatan yang akan dibuat untuk membuat diagnosis masalah ini adalah pesakit akan diambil tekanan darah pada buku lali dan lengan. Ini adalah penyiasatan mudah yang boleh dilakukan di sesetengah klinik. Ada juga klinik mempunyai mesin Doppler yang boleh mengenalpasti sama ada nadi pada kaki ada atau tidak.

Antara yang puan boleh tolong buat masa ini pastikan kencing manis beliau terkawal, berhenti merokok, kawal darah tinggi jika ada, kawal kolesterol dan boleh lakukan senaman kerana ia boleh membuka salur darah alternative untuk membantu menghantar darah ke bahagian bawah lutut dan kaki.

Seharusnya masalah ini dibincangkan bersama dengan doctor yang merawat kencing manis suami puan kerana banyak maklumat lain yang diperlukan sebelum dibuat kesimpulan suami puan menghadapi masalah salur darah periphery.

Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan semoga suami puan diberi kesihatan yang baik.



Soalan 14: Cara Naikkan Berat Badan

SOALAN:

Assalamualaikum. cara paling senang nak naikkan berat badan mcm mana?

JAWAPAN:

Waalaikumsalam. Sejujurnya saya rasa soalan ini lebih bagus mendapat input dari pegawai pemakanan.


Sebelum meneruskan, rasa saya lebih elok di kira BMI encik yang bertanya. Kadang kala kita rasa kita kurus dari penampilan tapi sebenarnya berat badan kita sudah ideal, seimbang dengan ketinggian kita.

Dari segi bidang saya, saya perlu tahu kenapa masalah kurang berat badan anda berlaku dan dari situlah saya bermula. Antara punca-punca kurang berat badan adalah masalah kurang hormone thyroid, kencing manis, jangkitan kuman seperti tuberculosis, ataupun masalah mental. Selalunya masalah kurang berat badan yang berpunca dari masalah-masalah yang saya sebutkan di atas akan datang dengan symptom-simptom lain seperti berdebar-debar, haid tidak menentu, tangan menggigil (hyperthyroid), kerap kencing, kerap dahaga (kencing manis), batuk berpanjangan, kurang selera makan ( tuberculosis), sedih yang teramat sangat, tidak dapat tidur (kemurungan)

Jika tidak pasti kenapa berat badan kurang, encik boleh mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik.
Kekurangan berat badan mungkin berpunca dari pengambilan makanan yang kurang. Pengambilan makanan yang kurang menyebabkan kalori yang didapati berkurang dari yang diperlukan.
Tiada cara senang dalam usaha menaikkan berat badan. Sama sahaja keadaan dalam menurunkkan berat badan. Semuanya perlu dilakukan secara konsisten.

Beberapa tips yang saya kongsikan berdasarkan pembacaan saya dari pakar pemakanan Kevin Zahri.

CARA UNTUK NAIKKAN BERAT BADAN

1- Kira keperluan kalori harian anda
Keperluan kalori bergantung kepada umur, jantina, berat, tinggi dan kadar aktiviti seharian.
Anda boleh meminta en Google membantu mendapatkan formula untuk mengira keperluan Kalori yang anda perlukan.
Untuk menambah 1kg berat badan = 7500kcal

2- Cuba buat pelan pemakanan anda.
Anda boleh senaraikan makanan dan minumam bersama nilai kalori setiap makanan. Anda boleh dapat senarai makanan dan minuman bersama nilai kalori yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan atau merujuk kepada fakta nutrisi pada produk-produk makanan yang anda makan.
Pastikan jumlah kalori harian anda tidak kurang dari keperluan kalori anda supaya anda mempunyai kalori surplus.

3- Penggunaan supplemen penambah berat.
Ini adalah terpulang kepada anda sendiri. Mungkin dapat membantu dalam usaha anda. Untuk dapatkan supplemen ini anda boleh hubungi saya. Insya Allah saya akan cuba memberi cadangan.

4- Senaman.
Senaman yang diperlukan adalah senaman rintangan beban @ weight training dalam menggalakkan tumbesaran otot. Bukan org obese sahaja perlu senaman, orang kurus juga perlu bersenam!

5- Konsistensi
Dengan erti kata lain harus dilakukan secara berterusan kerana ia mungkin mengambil masa yang agak lama. Sama hal nya dengan usaha menurunkan berat badan.

Tiada jalan yang senang, semuanya perlukan kesabaran dan usaha yang berterusan. Perlu ditambah juga dengan doa agar diberikan kekuatan dalam usaha tersebut

Semoga Berjaya

Hubungi saya untuk cadangan pengambilan 
supplemen terbaik untuk menaikkan berat badan anda

Masalah Penyusuan dan Penyelesaiannya

Salam sejahtera semua. Semoga semua dalam kesihatan terbaik selepas menyambut hari raya.

Untuk pengetahuan semua, saya mengambil cuti 6 bulan selepas bersalin. Ini bukan sahaja untuk mendapatkan penyusuan secara eksklusif tapi juga untuk memberi peluang kepada saya untuk memberi lebih perhatian kepada anak sulung saya yang mempunyai masalah kelewatan pertuturan.

Cuti bersalin untuk kakitangan kerajaan sekarang adalah selama 90 hari. Kakitangan kerajaan juga boleh mengambil cuti tanpa gaji untuk menyusukan anak selama 5 tahun. Saya cuma mengambil tambahan 90 hari sahaja selepas melahirkan Balqis walaupun sebenarnya teringin sangat untuk berehat lebih lama sambil membesarkan anak-anak di depan mata.

Rasa macam mudah untuk memberi susu sendiri tetapi hakikatnya hanya yang betul-betul ada tekad, kesabaran dan kecekalan sahaja akan berjaya. Ada yang mengalah di tengah jalan dan terus memilih untuk memberi susu formula. Disebabkan susu ibu adalah titisan-titisan emas, Jalan untuk mendapatkan yang terbaik itu tidak semudah yang disangka. Ada pelbagai dugaan yang perlu ditempuhi. Saya sendiri merasainya tapi disebabkan tahu kehebatan susu ibu itulah membuatkan semangat itu terus membara.



JAUNDIS DAN SUSU IBU


Balqis seperti anak-anak yang baru lahir yang lain tidak dapat lari dari masalah jaundis atau kuning. Masalah kuning di awal-awal kelahiran Balqis ini telah saya ceritakan dalam entri sebelum ini. Jaundis Balqis lebih teruk berbanding Hadif hingga memerlukan dia dipantau di wad dan memerlukan rawatan fototerapi. Jaundis Balqis juga mengambil masa sebulan untuk sembuh sepenuhnya. Sebab itu ibu-ibu yang baru melahirkan perlu ada pengetahuan tentang masalah ini. Jangan terus mengalah dengan susu formula.




Yang penting teruskan menyusu sekerap mungkin kerana ia boleh membantu menurunkan paras bilirubin dalam darah. Pastikan anda mengikut arahan doktor. Dalam dua minggu pertama kelahiran si kecil cuba elakkan ubat-ubat herba ataupun jamu yang kadang-kadang boleh membuatkan keadaan anak bertambah teruk.

Pernah juga saya menerima saranan untuk menggunakan susu formula untuk merawat jaundis Balqis. Sebenarnya ibu-ibu kena tahu kenapa jaundis berlaku dan tiada rawatan yang specifik untuk merawat jaundis selain dari fototerapi di hospital.

Bila si kecil mendapat kuning yang lama. Ibu perlu membawa si kecil untuk pemeriksaan lanjut. Antara yang perlu diperiksa adalah masalah thyroid dan hati. Jika pemeriksaan darah adalah normal diagnosis utama untuk jaundis yang lama adalah breastfeeding jaundice.

SOLUSI: 

Teruskan menyusu badan sekerap mungkin
Cuba fikir positif terhadap penyusuan susu
Abaikan nasihat-nasihat negative yang boleh menjatuhkan semangat penyusuan anda
Minta sokongan dari suami mengenai penyusuan eksklusif s
Dapatkan nasihat pegawai perubatan ketika lawatan ke klinik

PUTING LUKA

Di awal kelahiran Balqis juga saya mendapat luka pada puting. Sakit tak terkira. Rasa tak boleh nak bagi Balqis menyusu lagi disebabkan sakit yang teramat sangat ketika Balqis menyusu.  Kemungkinan besar saya tidak perasan cara perlekapan mulut Balqis pada payudara ketika menyusu adalah salah dan menyebabkan masalah ini berlaku.



Cara perlekapan yang betul adalah:
- mulut bayi terbuka luas
- bibir bawah bayi melengkup keluar
- Dagu bayi mencecah payudara ibu
- Banyak kawasan gelap payudara (areola) masuk ke dalam mulut bayi

SOLUSI:

keluarkan sedikit susu ibu daripada payudara dengan memicitnya selepas
menyusu bayi dan sapu pada bahagian yang luka
susu ibu mengandungi Vitamin E semulajadi yang boleh membantu proses penyembuhan
teruskan menyusu
jika terlalu sakit, mungkin perlukan bantuan ubat

Ini antara dugaan-dugaan pada bulan pertama kelahiran Balqis. Alhamdulillah saya berjaya melaluinya. Yang penting niat dan doa agar dipermudahkan usaha itu.


Semoga entri in bermanfaat untuk semua yang membaca. Nanti saya bagi tips lagi yer 




Soalan 13: Jerawat

Soalan:

Assalamualaikum Dr Shima.  Nama saya Luqman. Nak tanya skit la. Kwn saya pmpuan die struggle dgn acne. Mcm2 da guna ubat acne tp still lg naik. Die mmg hati2 x picit2 acne tu and dah slalu minum air kosong. Tp still no improvement. Kenapa ye? sbb hormon x stabil ke. Kwn sye tu die ckp period ok je lancar. Bole mintak advise skit :

1. Factor2 acne naik dkt muka
2. Preventive or medication yang bole die try (mcm Preventac)? Pencuci muka ape yg elok?
Saya ade kasi advise kt die tp takut kan sbb bdan pmpuan ngn laki different.
Tlg advise k..tq

Jawapan:

Waalaikumsalam
Tentang Acne atau kita lebih senang kenal masalah kulit ini sebagai jerawat.



Acne memang masalah biasa di kalangan remaja dan mereka yang baru menginjak ke alam dewasa.

Acne berlaku disebabkan oleh

1- Peningkatan pengeluaran sebum pada kulit. Ini boleh disebabkan hormon androgen dalam badan seperti hormon testosterone yang mengawal gene yang
menjaga kelenjar sebacous dan pengeluaran sebum di kulit
2- Peningkatan bacteria pada kulit yang menyebabkan radang
3- Keratin kulit yang berubah
4- Radang pada kulit

Faktor risiko untuk mendapat acne
1- Faktor genetik
- Faktor sejarah keluarga telah dikenalpasti menjadi punca jerawat berlaku
2- Masalah Obesiti – obesiti berkait rapat dengan masalah peningkatan hormon androgen yang menyebabkan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan cenderung untuk mendapat acne

Faktor yang menyebabkan acne bertambah teruk
- Merokok
- Stress
- Terapi muka
- Urutan muka di salon

Peranan diet dan supplement

1- Makan makanan yang tinggi glycaemic load boleh meningkatkan risiko mendapat acne.
Contoh makanan yang tinggi glycaemic load adalah nasi putih, roti putih, sandwich sardin, kentang, bihun goreng, makaroni goreng, pulut
2- Susu dan produk dari susu
Dari kajian tempatan mendapati risiko untuk mendapat acne meningkat 4 kali ganda bila penggunaan susu meningkat dari seminggu sekali kepada setiap hari
3- Coklat, kacang dan bahan berminyak
Dalam kajian mendapati, tiada perbezaan ketara di antara pengambilan coklat dan kacang kepada mereka yang mendapat acne ataupun tidak.

Rawatan Acne

Rawatan acne bergantung kepada tahap keterukan masalah kulit itu. Saya sarankan teman encik tadi mendapatkan pandangan pegawai perubatan di klinik berhampiran untuk mengetahui tahap keseriusan masalah kulit beliau.

Rawatan acne bukan sahaja melibatkan rawatan luaran sahaja, jika tahap yang serius beliau mungkin memerlukan rawatan antibiotic yang perlu diambil dalam jangka masa yang agak panjang.

Ada juga rawatan yang menggunakan pil hormon untuk merawat masalah acne.
Kesemua bentuk rawatan ini perlu mendapatkan prekripsi dari doktor.

Harap jawapan ini membantu anda.

Hubungi saya untuk saya cadangkan vitamin dan produk muka terbaik buat kawan anda. 




Soalan 12: Masalah Kebas Tangan

Soalan:

Assalam dr, saya mengalami kebas-kebas di tangan kanan. saya sudah berjumpa dr di klinik dan sudah membuat pemeriksaan darah. Alhamdulillah saya tidak ada kencing manis. Dr hanya memberikan saya vitamin saraf. 

Boleh dr tolong berikan penjelasan mengenai masalah saya ini?

Jawapan:

waalaikumsalam.

Kemungkinan besar masalah encik yang bertanya ini adalah Sindrom Terowong Carpal (Carpal Tunnel Syndrom)



Sindrom Terowong Carpal adalah penyakit yang menyakitkan dan berlaku pada tangan dan pergelangan tangan.

Terowong Carpal adalah terowong yang sempit dan terbentuk daripada tulang dan tisu pada pergelangan tangan. Saraf median yang memberi deria rasa kepada ibu jari, jari tengah, jari telunjuk dan jari manis juga melalui terowong ini. Jika tisu-tisu di dalam terowong ini membengkak, ia akan member tekanan kepada saraf median tersebut dan menyebabkan rasa sakit dan kebas pada tangan.

Punca-punca sindrom terowong carpal
- Pergerakan yang menggunakan tangan yang sama seperti menaip, bermain piano, memotong daging
- Cedera pada pergelangan tangan
- Diabetes
- Rheumatoid arthritis
- Penyakit thyroid
- Pada wanita hamil terutama pada trimester ketiga

Symptom-simptom sindrom terowong carpal
- Kebas pada tangan dan jari
- Sakit pada pergelangan tangan. Lengan hadapan dan tapak tangan
- Symptom adalah lebih teruk pada waktu malam
- Lemah ibu jari
- Masalah mencengkam objek

Rawatan Sindrom Terowong Carpal
- Rehatkan pergelangan tangan yang sakit
- Menukar cara penggunaan tangan
- Pemakaian bidai pada pergelangan tangan
- Meletakkan ketulan ais pada pergelangan tangan
- Ubat tahan sakit ataupun suntikan steroid ke dalam terowong carpal untuk mengurangkan bengkak dan sakit
- Dalam sesetengah kes, memerlukan pembedahan. Memotong ligament yang menekan saraf median

Tips legakan Sindrom Terowong Carpal
- Elakan penggunaan tangan yang kerap
- Cari cara baru bagi menggantikan penggunaan tangan – guna alatan
- Gunakan tangan yang tidak sakit
- Elakkan daripada membengkokkan pergelangan tangan untuk jangka masa lama

Harap penjelasan ini membantu encik yang bertanya dan saya harap masalah encik akan bertambah baik



Soalan 11: Masalah Alahan Kulit

Soalan:

selamat pagi doctor. Sy ingin tahu. Anak sy berumur 3 bln mengalami tanda seperti eczema di pipi (kiri kanan). Semasa sy mengandung, sy mengalami alergi kulit tp sy berpantang makan seperti tidak makan sebarang kekacang, soya sbb pegalaman mengandung sebelum ini anak sy eczema sehingga berumur 4 thn( masih lagi sekarang dalam pemantauan dr segi makanan) 

soalan sy, apa yang perlu sy titik beratkan selain dr faktor2 yg doctor senaraikan di atas? perlukan ujian darah di lakukan untuk mengetahui bb sy alahan dr segi apa?

Jawapan:

Selamat sejahtera puan.

Saya berharap puan telah membaca maklumat tentang eczema yang telah saya jawab sebelum ini dan sudah faham serba sedikit tentang masalah kulit yang sering dihadapi oleh bayi dan kanak-kanak.



Selain dari factor-faktor persekitaran yang telah saya jelaskan, saya perlu terangkan sedikit lagi tentang matlamat utama rawatan eczema.
1- Menyembuhkan kulit
2- Mengelakkan masalah berulang
3- Menyembuhkan symptom bila ia terjadi

Puan perlu tahu asas yang ringkas tentang penjagaan kulit anak tersebut. Cuba gunakan satu jenis sabun dan pelembab sahaja. Menggunakan banyak jenis sabun, losyen, pewangi dan pelbagai produk kulit yang lain boleh menganggu kulit yang sensitive.

Penyembuhan kulit dan mengekalkan kesihatannya adalah sangat penting dalam mengelakkan kerosakan pada kulit yang kronik.

Antara yang boleh dititik beratkan adalah semasa mandi dan menggunakan pelembab kepada kulit selepas mandi.

Semasa mandi, cuba elakkan menggunakan air panas. Cuba kurangkan penggunaan sabun buku atau pembersih kerana ia boleh mengeringkan kulit. Mandian bijirin (oatmeal bath) juga boleh membantu.

Selepas mandi, selalu sapukan pelembap tanpa perlu lap dengan tuala. Ini akan mengekalkan kelembapan kulit, mengurangkan pengewapan air dari kulit dam meningkatkan proses penyembuhan dan memberikan penghalang kepada kulit dari terus menjadi kering dan rosak. Penggunaan losyen adalah tidak digalakkan kerana kandungan nya yang tinggi air atau alcohol yang mudah meresap ke udara.

Selain dari itu, adalah penting untuk mengurangkan jangkitan kuman pada bahagian kulit tersebut. Ibu perlu ada sedikit pengetahuan tentang jangkitan ada kulit anak dan perlu mendapatkan rawatan segera.

Perkara-perkara yang ibu boleh buat di rumah yang boleh membantu mengurangkan masalah ini adalah:

- Pilih baju yang lembut dari kain kapas yang nipis

- Pastikan kuku anak pendek untuk mengelakkan luka jika mereka menggaru

- Pastikan anak tidak panas; cuba elakkan situasi yang panas yang boleh menyebabkan mereka berpeluh

- Belajar untuk kenal masalah jangkitan kulit yang mungkin boleh berlaku

- Elakkan pemakaian emas, nickel atau metal yang boleh melukakan kulit anak

- Jauhkan anak dari binatang peliharaan seperti kucing, anjing, burung atau arnab

- Jika anak masih kecil boleh dipakaikan sarung tangan dan sarung kaki untuk mengurangkan mereka menggaru dan boleh menyebabkan luka

- Ibu boleh mempertimbangkan penggunaan ubat antihistamin untuk mengurangkan masalah gatal pada kulit yang kering. Untuk mendapatkan ubat ini, ibu perlu bawa anak ke klinik untuk mendapatkannya.

Pemeriksaan darah untuk mengesan masalah allergic saya tidak pasti ada dibuat di Malaysia ataupun tidak tetapi ia mungkin tidak membantu.

Ujian kulit (skin test) boleh dilakukan di klinik dermatologi di hospital. Bergantung kepada pakar sama ada perlu ataupun tidak dan sama ada ujian itu boleh membantu kepada rawatan pesakit. Ujian ini tidak perlu dilakukan secara rutin untuk setiap pesakit kerana ia mahal, tidak membantu, dan boleh memberikan keputusan yang salah. Sesetengah makanan yang dielakkan dari pemakanan anak jika mengikut ujian ini yang mungkin penting untuk pembesaran anak tersebut.

Harap jawapan saya membantu puan.

Soalan 10: Anaemia; Kurang Sel Darah Merah

Soalan:

Assalamualaikum..
umur saya 22 tahun. masa kecil saya ada asma. bila besar dah tak ada. saya cepat letih. bila saya pergi check doktor kata saya ada darah rendah. lepas tu dah lama dah, saya pergi check kesihatan di klinik kerajaan. Doktor cakap saya dah tak ada dah darah rendah.
Darah saya okey ja. Tapi saya tetap juga mudah letih, bila saya baring atau duduk. Saya boleh rasa jantung saya berdegup kuat. Bila saya lari dalam beberapa pusingan dada saya rasa macam sesak. Kenapa ya?

Jawapan:

Waalaikumsalam

Ada beberapa point penting dari sini
- Sejarah asthma
- Cepat letih
- Darah rendah
- Jantung berdegup kencang
- Dada sesak

Masyarakat umum sering menggunakan penyata darah rendah.Sebagai pegawai perubatan, pernyataan ini memberi 2 makna samaada tekanan darah yang rendah atau paras sel darah merah yang rendah.

Tekanan darah yang rendah dipanggil hypotension
Paras sel darah merah yang renda dipanggil anaemia

Symptom-simptom yang saudari alami banyak menunjukkan kemungkinan besar menghadapi masalah kurang sel darah merah atau anaemia.

ANAEMIA


Paras sel darah merah yang dipanggil haemoglobin untuk lelaki dan wanita adalah berbeza.
Paras Hb lelaki normal – 13g/dl
Paras Hb wanita normal – 12g/dl

Haemoglobin bertugas untuk mengangkut oksigen dari paru-paru ke seluruh badan. Membawa oksigen kepada sel-sel penting termasuklah jantung dan otak.

Jika paras haemoglobin yang mengangkut oksigen ini tidak cukup, ia akan memberikan symptom-simptom kurang darah merah. Antaranya
Mudah letih, susah bernafas, jantung laju, pucat dan pening.

Anaemia boleh berlaku disebabkan 3 faktor utama:
1- Kehilangan darah seperti semasa kemalangan, datang haid yang banyak
2- Pembentukan darah yang terganggu seperti kekurangan zat besi, kekurangan vitamin B12
3- Peningkatan kemusnahan darah merah seperti sickle cell anaemia, kekurangan enzim G6PD

Banyak yang anaemia yang ditemui di klinik adalah disebabkan kekurangan zat besi.

Untuk membuat diagnosis seseorang itu mangalami anaemia, ujian penting adalah melalui pemeriksaan darah Full Blood Count.

Rawatan anaemia bergantung kepada tahap anaemia dan symptom-simptom anaemia. Jika anaemia adalah teruk, rawatan untuk menyelamatkan nyawa adalah melalui pemindahan darah.

Jika paras haemoglobin tidak terlalu teruk >8g/dl, ubat tambahan seperti tablet iron akan membantu. Ini adalah selepas dipastikan anaemia berpunca dari kekurangan zat besi. Jika disebabkan oleh masalah lain seperti Thalassaemia, tablet zat besi tidak akan memberi apa-apa kesan kepada pesakit.

Selain dari itu diet yang kaya dengan zat besi sangat penting. Saya telah sertakan sekali diet tersebut untuk membantu saudari.

Saya harap penjelasan ini jelas. Jika saudari masih belum membuat pemeriksaan darah, mungkin boleh mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik dan berbincang dengan pegawai perubatan di klinik tentang masalah saudari.



Saya doakan yang terbaik dan berharap masalah saudari akan dapat diselesaikan.

Suka Duka BreastFeeding Journey

Petang 9 Disember 2012, seperti biasa saya menghabiskan masa bersama suami yang akan pulang ke Johor malam itu. En suami asyik membebel kerana terpaksa bertolak awal menggunakan bas dan akan terlepas perlawanan bola Malaysia menetang Thailand untuk Piala AFF 2012. Saya pula tiba-tiba teringin nak makan Subway dan meminta suami ke Giant Seri Kembangan bersama adik ipar yang datang melawat hari itu. Ketika itu kandungan saya sudah 37minggu. Rasa penat untuk berjalan jauh membuatkan saya hanya banyak berehat di rumah. Sebelum itu saya dan suami membawa Hadif ke taman di Putrajaya menghilangkan bosannya di rumah.

Tiba-tiba selepas solat Asar, ada air panas yang membasahi paha. Semakin banyak air itu keluar. Masanya dah tiba!! Saya sendiri tidak menyangka. Memang proses kelahiran penuh dengan kejutan. Kandungan lepas saya bersalin ketika 39 minggu tapi kali ini lebih awal. Anak ini tidak sabar untuk menjengah dunia. Jeritan saya meminta suami cepat membawa saya ke hospital mula kedengaran. Saya bersyukur kerana suami masih berada bersama saya dan kedua ibubapa saya ada di rumah untuk menjaga Hadif ketika itu.

Kami kemudian ke hospital yang agak jauh dari rumah dan terpaksa menempuh kesesakan jalan raya. Dalam perjalanan ke hospital, saya tidak henti-henti berdoa agar kelahiran ini dipermudahkan. Sampai di hospital, saya terus ditolak ke dewan bersalin. Ketika pemeriksaan, bukaan cervix ketika itu baru 3sm. Saya meminta untuk diberikan suntikan epidural untuk mengurangkan rasa sakit walaupun ketika itu sakit kontraksi masih boleh ditahan.

Selepas epidural diberikan saya dapat berehat sebentar untuk mengumpul tenaga walaupun kontraksi makin kerap. Suami masih menemani saya di bilik bersalin.

Jam menunjukkan pukul 12pg, graf jantung anak tiba-tiba memberikan bacaan yang tidak cantik. Jururawat yang menjaga saya terpaksa membuat pemeriksaan sekali lagi sambil membantu untuk mempercepatkan bukaan servik saya yang ketika itu baru 7-8cm. Saya berdoa dalam hati agar dapat melahirkan secara normal. Kemudian jururawat mendapatkan doctor pakar yang bertugas untuk memberitahu keadaan saya dan anak.

Pukul 1pg, pemeriksaan bukaan serviks telah sampai 10sm. Doktor pakar mula menyediakan saya untuk masuk ke fasa seterusnya. Kelahiran kali ini saya perlu dibantu dengan bantuan vacuum kerana jantung anak semakin perlahan. Ini disebabkan oleh tali pusat telah membelit leher anak.

Alhamdulillah, pukul 1.54pg, Balqis selamat melihat dunia.




DUGAAN PERTAMA


Selesai bersalin, rasa syukur tak terhingga kerana Balqis selamat berada dalam dakapan saya. Jururawat terus meletakkan Balqis ke atas tubuh saya. Ini adalah penting untuk memberi sentuhan pertama antara ibu dan anak. Awal-awal lagi saya sudah memberitahu jururawat, saya mahu memberikan susu badan untuk anak saya.

Selesai Balqis dibersihkan, terus jururawat berikan kepada saya untuk diberikan susu. Rasa bahagia bila melihat Balqis pandai menghisap puting. Saya berehat sejam di dewan bersalin sebelum dibawa ke wad. Jururawat terus meminta Balqis untuk dibawa ke bahagian nursery untuk memberi ruang kepada saya berehat selepas menggunakan tenaga semasa bersalin tadi.

Suami kelihatan sangat penat. Walaupun saya yang menggunakan tenaga untuk bersalin, tukang teman pun turut sama berasa penat kerana menunggu si kecil keluar. Ruang yang diberi untuk berehat sekejap selepas bersalin tanpa si kecil amat bermakna kepada kami.

Pukul 7pagi, jururawat menghantar Balqis kepada saya untuk menyusu. Jururawat memberitahu Balqis belum membuang air besar. Dia meminta saya memberitahunya sekiranya Balqis membuang air besar. Ini adalah salah satu rutin penting sebelum saya dibenarkan membawa Balqis pulang ke rumah.

Saya memberi susu Balqis setiap 2 jam. Kali ini, saya dapat rasakan setiap kali Balqis menyusu, rasa sakit teramat sangat di bahagian bawah perut saya. Sakit ini sebenarnya adalah sakit yang bagus untuk mempercepatkan proses pengecutan Rahim cuma saya yang kurang selesa. Kan bagus kalau semua orang tahu tentang kehebatan penyusuan susu ibu. Bukan untuk si anak sahaja, ibu turut mendapat manfaat.

Pukul 12 tghari, Balqis belum membuang air besar, hati saya mula gelisah. Jururawat sekali lagi datang bertanya tentang keadaan Balqis. Saya masih belum dapat dibenarkan pulang. Masih perlu memantau keadaan Balqis. Jururawat bertugas memberi cadangan supaya diberikan susu formula jika Balqis belum membuang air besar.


Aduhh.. hati saya mula gelisah. Doa tak henti-henti agar dipermudahkan usaha saya. Ini antara doa yang saya baca untuk membanyakkan susu saya. Saya cuba berfikiran positif. Tak sanggup rasanya melihat Balqis diberi susu formula semata-mata kerana tidak membuang air besar. Besar kemungkinan cuma ususnya lambat bergerak sahaja.




Saya mula berbincang dengan suami apa yang perlu dilakukan. Semestinya bukan susu formula yang akan menyelesaikan masalah. Suami meminta saya bertenang dan terus berdoa agar dipermudahkan. Saya pula semakin kerap menyusukan Balqis dan harapan susu yang diberi dapat dihadam, dicerna dan dikeluarkan sebagai najis.

Alhamdulillah, Allah itu Maha Mendengar. Doa kami diperkenankan. Balqis membuang air besar yang pertama pada pukul 8pm 10/12/12. Rasa syukur yang teramat sangat. Saya perlu lebih yakin dengan kemampuan yang saya ada untuk memberikan yang terbaik untuk si kecil yang tidak tahu apa-apa.

Keesokkan harinya kami dibenarkan pulang ke rumah. Rasa bahagia kerana dapat berehat di rumah sambil dapat melihat keletah anak sulung saya.

Ini baru dugaan pertama saya bersama Balqis. Ada banyak lagi yang kami tempuh bersama.

Menyusukan anak adalah ibadah yang diberi pahala. 
Bukan mudah untuk dapat pahala Allah, akan ada sedikit ujian 
untuk ibu dan anak. 
Ujian yang manis untuk tambah kesabaran kita. 






 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in