TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


Tips Untuk Ibu Ayah Bila Anak Demam, Batuk & Selsema

Baru-baru ini, Balqis demam 4 hari selepas balik berhari raya di Alor Setar. Mungkin factor cuaca yang menyebabkan dengan tiba-tiba Balqis demam, batuk dan selsema. Bila anak demam dan suami terpaksa meninggalkan saya sendirian menjaga anak yang sakit, saya agak tertekan. Susah hati bertambah lagi bila si kecil ini susah sangat untuk makan ubat berbanding abangnya. Mujur kali ini, adik sahaja yang demam, kalau abang juga berjangkit boleh tumbang saya dibuatnya.

Bila anak demam, perkara yang saya paling takut jika anak itu mendapat sawan panas (Febrile fit). Saya rasa ia satu keadaan yang boleh menjadi mimpi ngeri jika saya sendirian menghadapinya. Sebab itu sangat penting ibu atau bapa menjaga anak demam supaya suhu badan tidak terlampau tinggi.

Bila anak demam, ibu gundah gulana

SAWAN PANAS "FEBRILE FIT"


selalunya ia berlaku kepada anak yang berumur linkungan 6 bulan hingga 6 tahun yang demam tinggi - suhu badan mencecah 38.5 dan ke atas. Suhu badan Balqis tempohari dalam 38-40 ^C, sangat menakutkan.

semasa sawan berlaku, selalunya tangan dan kaki anak menjadi kejang, mata terbeliak ke atas (uprolling eye ball) ataupun gigi diketap. Adakala anak boleh terkencing atau terberak semasa sawan.

selalunya sawan panas adalah singkat dan ada yang lama sehingga mengambil masa dalam 15minit sebelum berhenti sendiri. Anak akan menjadi mengantuk selepas sawan.


APA YANG IBU PERLU BUAT JIKA ANAK DEMAM?


1- Pastikan anak yang demam diberikan ubat mengikut dos dan masa yang ditetapkan oleh doktor. Kalau anak susah makan ubat macam Balqis, pastikan di rumah ada menyimpan ubat dalam bentuk suppository - ubat demam yang boleh disumbat ke dalam punggung anak sekiranya demam terlalu tinggi. Dan itu yang terpaksa saya lakukan untuk turunkan suhu badan Balqis dengan cepat.

NOTA: ubat suppository perlu disimpan di dalam peti ais untuk mengelakkan ia cair.

2- Lapkan badan anak dengan tuala basah untuk menurunkan suhu badan - tepid sponging. Selepas memberikan ubat kepada anak, adakala ia mengambil masa untuk menurunkan suhu badan. Dengan mengelap badan anak, ia akan menyejukkan dan mengurangkan risiko untuk mendapat sawan panas.

3- Bab pemakanan anak semasa demam juga perlu diambil berat oleh ibu. Air sangat penting untuk mengurangkan demam. Jika anak masih menyusu, berikan susu dengan kerap. Makanan sihat yang senang dihadam dan diberikan dalam jumlah yang kecil juga elok untuk anak yang demam. Ini termasuklah nasi, bijirin, pisang, biskut atau roti.

4- Mandian span boleh melegakan anak dan mengurangkan demam. Selalu mandikan anak dengan air suam kerana air sejuk boleh menaikkan suhu badan dan menyebabkannya menggigil.

5- Si kecil yang demam perlukan rehat yang banyak tapi tidak bermaksud dia perlu tidur sepanjang masa tetapi cuba hadkan aktiviti fizikalnya.

6- Bila anak demam, pakaikan anak dengan baju yang nipis dan menggunakan cadar dan selimut yang nipis. Jika anak memakai baju yang tebal atau memakai beberapa lapis baju, ia boleh membebaskan haba badan dan menyebabkan demamnya meningkat. Masa Balqis demam, saya membiarkan dia tidur dengan memakai pampers sahaja bagi memudahkan saya untuk mengelap badannya jika suhu badannya panas. Pastikan suhu bilik tidak terlalu sejuk atau panas.

7- Jika bole , ibu bapa boleh beli penyukat suhu badan "Termometer" untuk memantau suhu badan anak di rumah. Saya nasihatkan perkara ini terutama kepada yang baru bergelar ibu bapa kerana situasi anak kecil yang demam perlu perhatian rapi.

Sekiranya demam berlarutan, atau menjadi lebih teruk, atau ada symptom lain seperti batuk, selsema yang merisaukan ibu bapa, bawa anak ke klinik dengan segera.

Tempohari Balqis demam agak lama dan memaksa saya untuk membawanya ke klinik untuk pemeriksaan darah. Alhamdulillah cuma demam virus.

Semasa demam hari tu, Balqis turut mendapat batuk dan selsema. Batuk Balqis kedengaran seperti penuh dengan kahak.


BILA ANAK BATUK 



Batuk sebenarnya adalah cara tubuh membersih dan melindungi lubang udara daripada mucus dan lain-lain rembesan. Batuk juga adalah satu petanda suatu penyakit.


Batuk yang basah TANPA tercungap-cungap atau pernafasan laju mungkin berpunca dari jangkitan virus di hidung, sinus, tekak atau salur udara besar paru-paru. Selalunya akan ada bersama symptom-symptom lain seperti bersin, selsema, mata berair ataupun demam yang sederhana. Dan itulah yang dialami Balqis.

Ibu perlu risau bila :

  • anak batuk tercungap-cungap
  • pernafasan laju
  • letih, tidak aktif seperti biasa
  • tidak lalu makan
  • bertambah teruk pada waktu malam atau selepas bersenam
  • batuk yang berlarutan lebih dari 10 hari

UBAT - UBATAN UNTUK ANAK KECIL YANG BATUK DAN SELSEMA

Sejujurnya saya tidak suka memberi ubat batuk kepada anak saya meskipun kadang-kadang terpaksa kerana desakan suami. Kepada pesakit anak-anak kecil yang datang ke klinik sekalipun saya akan sentiasa menasihati ibubapa agar menggunakan ubat tersebut bila perlu. Bila batuk anak tersebut bertambah teruk dan menyebabkan anak itu tidak boleh tidur.

Ibubapa perlu tahu batuk sebenarnya baik untuk kanak-kanak. Ia membantu menyahkan kahak daripada saluran pernafasan.

1- UBAT PEMBANTUT KAHAK - jika batuk anak anda membuatkannya terjaga di waktu malam, ubat ini boleh membantu merencatkan tindakan reflex di dalam tekak dan saluran trakea dan boleh menolongnya tidur.

2- EKSPEKTORAN - ini adalah ubat untuk mencairkan kahak. Kajian-kajian telah menunjukkan ubat ini sebenarnya tidak banyak membantu.

3- UBAT TITIS BATUK - ia berkesan untuk meningkatkan penghasilan air liur yang dapat melegakan tekak anak dan mencairkan kahak.

Di klinik saya, ada notis dari jabatan yang dikeluarkan untuk tidak memberikan ubat batuk dan selsema kepada kanak-kanak di bawah umur 2 tahun. saya harap ibubapa faham kenapa bila datang klinik, ada doktor yang hanya memberikan ubat paracetamol sahaja untuk anak yang demam, batuk dan selsema. Perlu diingat setiap ubat ada kesan sampingannya dan pihak KKM tidak mahu sebarang kesan sampingan berlaku kepada anak-anak kecil ini sedangkan penyakit tersebut boleh sembuh dengan sendirinya.



Ibubapa perlu berwaspada dengan symptom-symptom bahaya yang sudah saya jelaskan di atas untuk segera ke  hospital sekiranya ada.


REMEDI-REMEDI DI RUMAH


Galakkan anak minum air - menolong mengekalkan kelembapan tekak dan mengurangkan risiko dehidrasi

Berikan makanan sedikit sejuk - pemanis mulut yang sejuk seperti jus buah dan ais batu boleh mengebaskan tekak anak yang sakit

Berikan sup ayam - kajian menunjukkan sup ayam mengandungi bahan anti radang yang boleh meredakan symptom selsema dan hidung berair

Kumur dengan air garam - air garam ini boleh dibuat sendiri di rumah yang boleh mengurangkan radang pada tekak.

Tinggikan kedudukan kepalanya - supaya boleh menghalang mucus daripada tersumbat di saluran hidung. Jika anak lebih daripada 2 tahun, biarkan dia tidur mengiring atau meniarap


Harap entri ini membantu ibu bapa di rumah bagi menjaga anak yang demam, batuk, selsema. Jika masih susah hati, boleh bawa anak ke klinik kesihatan berhampiran untuk berjumpa doktor.


Jom kongsi maklumat ini untuk kebaikan bersama!





0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in