TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


Kemudahan Kesihatan Di Malaysia Yang Patut Anda Ambil Tahu

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua

Entri kali ini saya ingin memberi pendedahan sedikit tentang kemudahan kesihatan yang terdapat di Negara kita. Ini kerana masih ramai yang tidak tahu menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Sebagai salah seorang kakitangan Kementerian Kesihatan ingin menggunakan saluran ini supaya orang awam tahu ke mana harus dituju untuk mendapatkan rawatan. Adakala kemudahan ini di salah guna dan menimbulkan masalah kepada staff kesihatan.

Di Malaysia, kita ada klinik desa, klinik kesihatan, klinik ibu dan anak dan juga hospital. Yang paling terbaru adalah kewujudan klinik 1 Malaysia. Banyak perbezaan antara semua fasiliti ini dalam usaha memberi rawatan yang terbaik kepada pesakit. Saya mahu anda yang membaca tahu ke mana perlu dituju bila ada masalah kesihatan. Bukan semua masalah kita perlu serbu hospital.

KLINIK DESA



Klinik desa adalah klinik kecil yang beroperasi untuk pemeriksaan ibu dan kanak-kanak. Klinik ini hanya diuruskan oleh jururawat masyarakat dan jururawat terlatih. Rawatan pesakit luar yang ringan mungkin boleh diberi tetapi bergantung kepada keadaan di klinik tersebut. Jika pesakit mempunyai masalah yang rumit, jururawat akan merujuk klinik ibu dan anak atau klinik kesihatan terdekat.


KLINIK 1 MALAYSIA




Klinik 1 Malaysia baru saja diwujudkan beberapa tahun lepas. Klinik ini ada 2 atau 3 buah sahaja di setiap daerah. Selalunya lokasinya adalah di kawasan penduduk yang padat. Ia berfungsi untuk memberi rawatan pesakit luar bagi mengurangkan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan ataupun hospital. Ia memulakan operasi bermula 10 pagi hingga 10 mlm dan dibuka setiap hari.

Klinik 1 Malaysia diuruskan oleh pembantu perubatan, jururawat masyrakat, jururawat terlatih dan pembantu perawatan kesihatan. Ada sesetengah klinik 1 Malaysia yang terpilih mempunyai pegawai perubatan yang bertugas. Di sini, tiada makmal ataupun kemudahan x ray. Ia merawat sakit-sakit ringan sahaja. Sekiranya pembantu perubatan mendapati pesakit agak kritikal ataupun perlu pemeriksaaan lanjut, dia akan merujuk  pesakit ke klinik kesihatan terdekat ataupun hospital.


KLINIK KESIHATAN ATAU KLINIK KESIHATAN IBU DAN ANAK



Klinik Kesihatan adalah klinik besar yang mempunyai kemudahan makmal, x ray dan farmasi. Di sini ada pegawai perubatan yang bertugas dan dibantu oleh staf-staf kesihatan yang lain. Ada sesetengah klinik kesihatan, mempunyai pakar kesihatan keluarga yang menjadi rujukan pegawai perubatan sekiranya terdapat masalah dalam merawat pesakit. Klinik kesihatan beroperasi dari pukul 8pg hingga 5 petang, mengikut jadual waktu pejabat. ada beberapa klinik kesihatan yang terpilih di Malaysia beroperasi hingga 930 mlm dan pada hari Sabtu 8pg hingga 1230 tghari.

Klinik kesihatan berfungsi untuk memberi rawatan pesakit luar dan juga rawatan untuk penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Klinik kesihatan diwujudkan di setiap kawasan terpilih. Contohnya di daerah Kuala Muda, Kedah, klinik kesihatan terdapat di Merbok, Bedong, Bakar Arang, Bukit Selambau, Kota Kuala Muda dan di Bandar Sungai Petani. Kepada semua, dapatkan rawatan di klinik kesihatan terdekat dengan anda.

Tidak ada beza tentang kemudahan kesihatan di Malaysia. Tidak wujud pun sana lebih sini kurang di klinik kesihatan kerana semua klinik kesihatan mempunyai pegawai perubatan yang sedia berkhidmat untuk memberikan rawatan yang terbaik kepada semua pesakit.

Bila seorang ibu mengandung dan telah mempunyai buku rekod rawatan ibu mengandung, anda boleh dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak. Buku rekod kesihatan ibu mengandung perlu dibawa ke mana sahaja anda pergi dan menjadi rujukan kepada pegawai perubatan yang bertugas.

HOSPITAL





Hospital adalah tempat rujukan dari semua klinik sama ada untuk kemasukan ke wad ataupun untuk mendapat temujanji pakar. Di sini ada klinik-klinik pakar, wad kecemasan, wad bersalin, bilik-bilik pembedahan dan wad-wad pesakit.

Untuk masuk ke wad, anda perlu melalui sama ada rujukan dari dari bahagian kecemasan ataupun melalui rujukan dari klinik kesihatan. Wad kecemasan beroperasi 24 jam, 7 hari seminggu tanpa henti. Ada pegawai perubatan, pembantu perubatan yang bertugas mengikut shift. Kes-kes dilihat mengikut klasifikasi triage warna

Merah untuk kes emergency yang mengancam nyawa yang akan dilihat segera
Kuning untuk kes semiemergency
Hijau untuk kes-kes ringan, pesakit luar

Saya berharap kalau anda sakit demam batuk selsema yang tidak teruk boleh ke klinik kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan awal. Ada klinik kesihatan yang beroperasi semasa waktu pejabat dan klinik 1 Malaysia yang buka hingga 10 mlm. Jika kemudahan-kemudahan ini tutup barulah ke hospital. Ini akan mengurangkan lambakan pesakit zon hijau di wad kecemasan dan mengurangkan aduan "tunggu 5jam dapat panadol sahaja".

Untuk berjumpa dengan doctor di klinik pakar, anda perlu ke klinik kesihatan terdekat dahulu untuk mendapatkan penilaian dan rawatan awal. Bukan semua kes perlu dirujuk kepada pakar. Jika ada kes-kes rumit yang tidak dapat dirawat di klinik kesihatan barulah pesakit akan dirujuk ke klinik pakar. Klinik pakar akan memberi tarikh temujanji kepada pesakit mengikut kes yang dirujuk.


Entri ini adalah untuk memberikan penjelasan bagaimana menggunakan sistem kemudahan kesihatan yang ada di sekeliling kita. 

Saya sebagai staff kesihatan sudah berjumpa dengan 
pelbagai kerenah pesakit dan saya sudah cuba memberikan 
yang terbaik untuk pesakit saya. Saya berharap penjelasan ini
 boleh merubah cara anda menggunakan kemudahan kemudahan kesihatan 
yang ada di tempat anda. 



1 comments:

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in