TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


Persediaan Untuk Breastfeeding Semasa Mengandung

Salam sejahtera semua. Harap semua sudah membaca cerita saya bersama anak sulung dan sudah tahu di mana kesilapan yang saya lakukan. Jika kita gagal kali pertama tidak bererti kita akan gagal seterusnya. Yang penting kita sedar di mana kesilapan kita dan bangun balik setelah itu. Jangan kita terus beri alasan dan berada pada takuk yang lama.

Saya mengandung kali ketiga pada awal Mei 2012 setelah mengalami keguguran pada 2011. Sejak itu saya mula mencari ilmu untuk merealisasikan impian penyusuan dengan anak dalam kandungan ini.


USAHA MENCARI ILMU SEMASA MENGANDUNG


Bila mengetahui diri ini mengandung, saya mula bertanya kepada rakan-rakan di klinik yang berjaya menyusu anak secara eksklusif pada 6 bulan pertama. Ini sangat penting bagi saya untuk mencontohi kejayaan rakan saya tersebut. Kalau dia boleh, saya pun mesti boleh!

Dalam bulan Julai, ketika mengandung 3 bulan, saya mendapat tawaran untuk mengikuti kursus penyusuan 20 jam di Hospital Putrajaya. Teruja untuk mengikuti kursus tersebut walaupun kursus tersebut mengambil masa yang panjang.


KURSUS PENYUSUAN 20 JAM


Kursus penyusuan ini banyak diberikan kepada staff perubatan secara percuma. Peringkat yang lebih mendalam adalah kursus penyusuan selama 40jam yang dilakukan oleh persatuan penyusuan seperti Pusat Laktasi Kebangsaan yang melayakkan individu yang mengikuti kursus tersebut diiktiraf sebagai kaunselor penyusuan.


Antara topik menarik yang dibincangkan dalam kursus penyusuan 20 jam ini adalah
1- masalah payudara dan puting
2- apa yang perlu dibuat jika bayi tidak menyusu pada payudara
3- bagaimana susu dari payudara sampai kepada bayi
4- bekalan susu ibu.

Bukan sahaja teori yang saya belajar tapi turut melibatkan praktikal bagaimana memegang bayi dengan betul untuk menyusu. Saya turut berkesempatan pergi ke wad postnatal bertemu ibu-ibu yang baru melahirkan anak dalam usaha membantu mereka menyusukan si kecil.

Menghadiri kursus ini menguatkan niat saya untuk memberi yang terbaik buat si kecil ini. Saya juga cuba untuk memberi ilmu kepada en suami agar dia turut sama faham kebaikan menyusu badan dan memberi sokongan penuh usaha saya ini.

Bila mengadiri dan belajar ilmu ini, baru saya sedar tentang kesilapan yang banyak saya lakukan semasa bersama Hadif dulu. Aduh, sedihnya hati. Saya harap saya dapat pusing balik masa untuk betulkan balik kesilapan saya.

Kalau tidak dapat menghadiri kursus 20 jam ni sekali pun, banyak seminar-seminar menyusu yang dibuat oleh pakar atau kaunselor laktasi sekarang. Di klinik kesihatan juga ada membuat kelas menyusu untuk ibu-ibu bagi mempromosikan penyusuan susu ibu sejak ibu mula mendapatkan rawatan semasa mengandung lagi. Jadi ambil kesempatan tersebut untuk mendapatkan ilmu sebanyak mungkin


PERSEDIAAN ROHANI SEMASA MENGANDUNG


Semasa mengandung, selain dari menambah ilmu, saya turut lakukan amalan-amalan rohani  seperti ibu-ibu lain yang mengandung. Saya berdoa agar usaha saya dipermudahkan dan berjaya untuk memberi susu badan secara eksklusif kepada anak yang bakal lahir ini.

Antara amalan yang saya lakukan adalah;



Saya berdoa anak dalam kandungan sentiasa sihat dan dapat melahirkannya kelak.


PERSEDIAAN LAIN UNTUK MENJAYAKAN PENYUSUAN SECARA EKSKLUSIF


Dari segi barang-barang keperluan untuk penyusuan, saya membeli barang-barang penting sahaja. Saya berfikir jika ada yang belum cukup, kemudian nanti baru dibeli. Kita menyusu sambil belajar. Saya hanya membeli barang-barang tersebut di ekspo maternity di Kuala Lumpur kerana harga yang ditawarkan di ekspo agak murah berbanding di kedai.

Antara barang-barang yang saya rasa penting adalah;

1- Pam susu

Pam susu memang satu keperluan terutama untuk ibu yang bekerja. Ini akan memudahkan ibu memerah susu untuk disimpan untuk kegunaan anak. Pelbagai jenis pam susu ada di pasaran jadi terpulang kepada ibu-ibu untuk memilih yang mana berkenan di hati. Cuma nasihat saya cuba kaji dulu setiap pam susu agar menang memakai dan berbaloi dari segi pelaburan jangka masa panjang.



Saya memilih untuk membeli pam susu Medela freestyle yang mempunyai dua pam payudara yang boleh menjimatkan masa. Memang agak mahal tapi bagi saya duit bukan ukuran jika ia boleh menolong saya di masa akan datang.
     

Sedikit panduan untuk membeli pam yang berkualiti:

  • Berbelanja dalam membeli pam haruslah mengikut kemampuan diri sendiri. Pam yang mahal tidak semestinya memberi stok susu yang banyak.
  • Pilih pam yang mudah digunakan
  • Pilih pam yang ringan dan kecil untuk memudahkan anda membawanya ke lokasi tempat kerja ataupun ke luar kawasan.
  • Pam yang berkualiti adalah pam yang tidak mengeluarkan bunyi yang kuat bagi memudahkan mommies untuk mengepam semasa dalam bilik mesyuarat atau pun ketika berdekatan dengan anak
  • supaya pelaburan berbaloi, pilih pam yang mempunyai daya ketahanan yang panjang supaya boleh digunakan untuk jangka masa panjang.
  • cuba pilih pam yang ada aras kelajuan untuk menghisap supaya boleh menukar kelajuan pam sekiranya berasa sakit pada payudara

saya lebih suka memilih pam yang boleh mengepam kedua-dua payudara serentak kerana ia menjimatkan masa.
Terpulang kepada anda untuk memilih.

2- Bekas menyimpan susu 

Untuk menyimpan susu perahan saya membeli beberapa botol susu tambahan dan selebihnya saya membeli plastik penyimpan susu. Memang ada ibu-ibu yang suka membeli banyak botol susu untuk menyimpan susu perahan yang boleh diguna semula. Bagi saya penggunaan plastik simpanan susu lebih praktikal kerana ia murah dan menjimatkan ruang walaupun hanya boleh digunakan sekali sahaja.


Pastikan bekas penyimpan susu perahan adalah bebas BPA supaya selamat untuk si kecil.



3- Pemanas dan bekas pensterilan botol susu

Ini merupakan bukan barang wajib dibeli kepada ibu yang menyusu. Ibu-ibu masih boleh menggunakan pelbagai cara untuk memanaskan susu perahan yang disimpan di dalam peti sejuk. Sama juga dengan untuk pensterilan.

Ibu-ibu boleh menggunakan air suam untuk panaskan susu. Untuk proses pensterilan, cara lama yang saya gunakan adalah dengan merebus botol susu di dalam air panas seminggu sekali. Itu cara yang diajar oleh ibu saya.


Tujuan saya membeli kedua-dua barang ini adalah untuk membantu ibu saya menjaga anak saya sewaktu saya bekerja nanti.

4- Beg menyimpan susu dan Pek Ais

Jika membeli set medela Freestyle anda tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan tentang dua perkara ini. Beg penyimpan susu dan pek ais sangat penting jika anda berada jauh dari si kecil seperti menghadiri mesyuarat atau bertugas di luar kawasan. saya sentiasa memastikan pek ais sentiasa sejuk sebelum keluar ke mana-mana yang memerlukan saya mengepam susu bila sampai waktunya.

5- Bra menyusu


Ini juga bukan barang wajib. Ini terpulang kepada ibu. Bagi saya memakai bra menyusu sangat mudah kerana saya boleh berasa yakin dan selesa semasa menyusukan anak. Untuk yang masih belum tahu, bra menyusu mempunyai penyangkut di bahagian coli yang boleh dibuka dan ditutup bila perlu. Anda tidak perlu melonggarkan bra jika memahu menyusu.


6- Baju menyusu


Baju menyusu merupakan baju yang direka khas bagi memudahkan ibu-ibu menyusu walaupun berada di luar rumah. Dengan memakai baju menyusu, mommies tak perlu menyelak baju dari bawah yang boleh menampakkan bahagian badan. Rekaan khas menyusu ada bahagian hadapan baju yang boleh dibuka/diselak bila anak mahu menyusu. Saya suka baju rekaan Adrini's dan Mumsluv. Kedua-dua jenis rekaan ini sangat selesa. Saya masih boleh bergaya walaupun menyusu Balqis. Ada baju yang beli sesuai dipakai semasa mengandung dan boleh menyusukan bayi selepas bersalin. 2 in 1. Jimat belanja.



Ini antara coretan pengalaman saya antara persediaan-persediaan awal yang saya lakukan sebelum kelahiran Balqis. Ini bagi menolong saya menguatkan semangat saya untuk memberikan yang terbaik untuk anak saya.




Kegagalan Menyusukan Anak Sulung

Assalamualaikum semua

Semoga dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Alhamdulillah kali ini saya ingin mengambil kesempatan untuk menulis pengalaman saya menyusukan anak anak saya. Tulisan ini adalah kerana desakan suami yang ingin pengalaman ini diabadikan di dalam blog agar teman-teman yang membaca mendapat manfaat dan sebagai ilmu yang perlu diketahui oleh ibu-ibu sekalian.


PENGALAMAN ANAK SULUNG

Sewaktu mengandung kali pertama, saya akui ilmu tentang penyusuan susu ibu sangat kurang. Apatah lagi bila kali pertama mengandung, saya melaluinya sendirian tanpa suami ataupun keluarga. Ini kerana pada ketika itu saya sedang menjalani latihan housemanship di Kubang Kerian Kelantan. Ibu dan ayah saya ketika itu menetap di Kedah. En Suami pula terpaksa meninggalkan saya atas urusan kerja di Korea Selatan. Maka tinggallah saya terkapai-kapai sendirian membawa si kecil yang makin membesar di dalam Rahim ini.

Faktor kerja dan keadaan menyebabkan saya tidak cukup masa untuk mendapatkan ilmu tentang penyusuan susu ibu. Saya pernah berkata kepada mak saya yang saya akan menyusukan anak saya dan saya berasa pada waktu itu bila bersalin nanti, susu itu akan keluar dengan sendirinya. Ceteknya ilmu penyusuan saya pada waktu itu. Saya tidak berkesempatan untuk menghadirkan diri sewaktu sesi ceramah penyusuan yang dibuat di klinik antenatal HUSM disebabkan factor kerja. Housemanship memang agak padat jadual kerjanya. Itu alasan yang saya berikan pada waktu itu.

Saya bersalin sehari selepas suami pulang dari Korea Selatan, awal seminggu dari tarikh jangka bersalin. Kontraksi yang regular menyebabkan saya dimasukkan ke wad untuk pemantauan. Saya dimasukkan ke wad bersalin 22/3/14 pada pukul 3 petang. Proses bersalin yang lama yang mengambil masa lebih 10 jam menyebabkan saya keletihan selepas bersalin. Saya tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada Hadif pada ketika itu. Saya berasa sungguh janggal untuk menyusukan si kecil. Mungkin disebabkan oleh itu juga, susu saya tidak keluar. Itu perasaan saya.

Beberapa jam selepas Hadif dilahirkan

Bila mak saya sampai, dan melihat anak saya masih menangis terus dia memberi sebab anak menangis kerana tidak cukup susu. Tambah pula disebabkan anak lelaki yang selalu dikatakan minum susu dalam kuantiti yang banyak. Mak saya juga sering berkata kali pertama bergelar ibu mungkin menyebabkan  saya tidak cukup susu. Saya pula mendapat postpartum blues ketika minggu awal kehadiran Hadif. Saya tidak dapat memberikan yang terbaik ketika itu. Saya sangat lemah ketika itu.
Kelahiran anak pertama banyak membuat saya bergantung kepada kata-kata mak. Mungkin ditambah ilmu yang tidak cukup membuatkan saya hanya menggangguk mendengar kata-kata mak. Mak kata payudara sebelah kanan adalah umpama nasi kepada anak dan payudara sebelah kiri adalah air, maka kedua-duanya perlu diberi sama banyak. Mak juga berkata pengalamannya memberikan kami adik beradik air masak semasa kecil maka Hadif pun diajar minum air masak dalam usia 6 bulan pertama kelahirannya.



Sedih saya bila ingatkan balik kisah pengalaman ini. Kesian Hadif sebab ibu yang kurang pengetahuan dan ambil mudah bab ini menyebabkan Hadif diberi susu formula. Bukan saya tidak beri susu badan tapi terpaksa campur dengan susu formula disebabkan kurang ilmu dan kurang sokongan dari keluarga.

Saya menyusu Hadif selama 9 bulan. Saya berhenti disebabkan saya mendapat jangkitan demam cacar air ( chicken pox) yang boleh berjangkit dengan Hadif. Sejak itu Hadif hanya minum susu formula.

Hadif dengan formula milk =(

Pernah awal tahun 2011 saya memang menyesal sangat-sangat kerana berhenti menyusu Hadif. Ketika itu rasa kesal itu dating apabila saya mula membaca tentang kehebatan susu ibu. Masa itu juga susu saya belum pun kering. Saya mencuba untuk "relactation" tapi tidak berjaya. Saya nekad jika saya mengandung kali kedua saya akan menyusu sepenuhnya anak tersebut dengan air susu saya.

Walaupun saya tidak dapat menyusu Hadif sepenuhnya, saya bangga kerana dia mengajar saya segala-galanya. Sebab Hadif lah saya mula mencari ilmu tentang penyusuan. Biarlah apa pun pandangan anda tentang saya, saya terima dan redha kerana memang saya bersalah kerana mengambil mudah tentang perkara ini.





10 PENGAJARAN DARI KISAH SAYA BERSAMA HADIF

Saya tulis dalam bentuk point supaya lebih jelas.

1- Sediakan diri dengan ilmu penyusuan dan keibubapaan ketika mengandung terutama untuk kali pertama akan bergelar ibu.

2- Walau siapa pun kita, sekalipun bergelar doktor, rasanya tidak perlu ada alasan untuk tidak memberi penyusuan susu ibu. Yang penting jangan malu menuntut ilmu.

3- Ibu yang ingin memberi susu ibu bukan saja perlu ada ilmu tapi perlu ada niat dan tekad untuk memberi yang terbaik untuk si kecil yang bakal lahir.

4- Ketahui kebaikan penyusuan susu ibu bukan sahaja untuk bayi tapi untuk ibu sendiri.

5- Susu ibu memang adalah semulajadi dan akan keluar bila wanita bersalin tapi cara untuk memberi susu kepada si kecil itu yang perlu dipelajari dan bukan semulajadi.

6- Bukan ibu sahaja yang perlu ada ilmu, orang-orang yang paling dekat dengan ibu juga perlu beri sokongan terutama dari en suami. Tanpa suami, si isteri akan mudah mengalah.

7- Abaikan mitos- mitos tentang penyusuan susu ibu. Saya pernah ceritakan tentang mitos penyusuan dalam entri sebelum ini.

8- Untuk memberikan yang terbaik untuk si kecil bukanlah senang. Pasti ada cabaran dan halangan yang akan dilalui. Ibu perlu tabah dan kuat untuk melaluinya.

9- Ibu perlu buang fikiran negatif anak nangis sebab tidak cukup susu. Banyak sebab lain yang boleh menyebabkan si kecil menangis antaranya, basah , lapar. Yang penting ibu mesti berfikiran positif dan yakin susunya mesti cukup untuk anaknya kerana itu adalah rezki dari Allah

10- Dapatkan bantuan dari klinik ibu dan anak, atau persatuan penyusuan di tempat anda atau pun kaunselor penyusuan yang berdekatan kerana melalui mereka anda boleh mengadu masalah tentang penyusuan.


Saya berharap pengajaran dari kisah saya bersama Hadif menjadi panduan berguna untuk semua terutama bagi yang pertama kali akan bergelar ibu. Sesungguhnya besar sungguh pahala yang ibu akan dapat setiap kali menyusukan anaknya dan itulah yang saya kejar. 





LASIK Untuk Bebas Cermin Mata

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Lama jugak saya tak kemas kini blog. Sibuk dengan beberapa perkara kebelakangan ini. Kali ni saya nak kongsi pengalaman yang saya lalui pada April 2014. Adik saya juga baru saja selamat menjalani Pembedahan LASIK dengan Prof Muhaya di Pusat Mata miliknya sendiri di Kajang.

Untuk yang baru kenal saya, saya ni sebenarnya pakai cermin mata sejak umur 15 tahun. Setiap tahun terpaksa melalui pemeriksaan dan power kanta cermin mata semakin tinggi setiap kali lawatan dan perlu untuk menukar kanta baru terutama sewaktu belajar perubatan. Optometrist kata kemungkinan adalah sebab faktor belajar yang memerlukan pembacaan buku yang banyak.  Power kanta cermin mata saya mencecah 600 untuk kedua-dua mata.




Masa belajar dulu sibuk tukar cermin mata  sebab power meningkat setiap tahun, tapi bila dah kerja dan dah kawin tukar kena tukar cermin mata sebab lain pula. Ada anak lagi la. Bayangkan anda terpaksa habiskan dekat seribu ringgit untuk cermin mata yang baru. Bukan bingkai tu yang mahal tapi untuk buat kanta yang power tinggi supaya nampak nipis itu yang menyebabkan harga tu melambung tinggi. Pernah sekali dalam satu bulan Hadif anak saya yang sulung patahkan cermin mata saya dua kali. Masa tu rasa duit gaji habis untuk buat cermin baru saja. Saya dan suami terpaksa buat dua cermin mata sebagai langkah berjaga-jaga kalau ada kecemasan.


Sejak tengok dan baca tentang pembedahan LASIK yang dibuat oleh Prof Muhaya, hati memang meronta-ronta untuk jadi bebas cermin mata tapi masa tu belum ada lagi alasan yang kukuk untuk diberi kepada en Suami. Akhirnya Mac 2014, Balqis dengan tidak sengaja telah merealisasikan impian saya. Sebab dia lah saya bertekad nak buat LASIK dengan Prof Muhaya kerana cermin mata saya dipatahkan oleh Balqis.  Biarlah saya habiskan RM7000 dalam sekelip mata dengan harapan pelaburan itu berbaloi. Dengan izin suami, saya dapatkan temujanji di Prince Court Medical Centre.


Kenapa Prof Muhaya? Memang tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai pusat mata lain yang dapat melakukan pembedahan LASIK ini yang mungkin jauh lebih murah. Bagi saya, saya ada cuma sepasang mata anugerah dari Allah dan saya mahu yang terbaik untuk anugerah ini. Saya berharap bila saya dapat melihat dengan jelas dengan mata yang baru ini, saya dapat menjadi hamba yang lebih bersyukur dan dekat denganNya.


PEMERIKSAAN SEBELUM LASIK

Seminggu sebelum prosedur LASIK, saya ke KL untuk pemeriksaan mata. Banyak sungguh pemeriksaan yang diperlukan sebelum boleh disahkan layak untuk menjalani prosedur LASIK. Ini kerana LASIK hanya untuk mata yang sihat. Antara pemeriksaan yang dilakukan adalah pemeriksaan tekanan dalam mata, pemeriksaan kelembapan mata, pemeriksaan tentang tahap keseriusan power kanta cermin mata dan pemeriksaan dalam mata. Pemeriksaan awal itu di buat oleh optometrist. Akhir sekali baru berpeluang berjumpa dengan Prof Muhaya. Rasa teruja sangat dapat berjumpa dengan ikon ni. Pemeriksaan saya bermula pada pukul 9 dan hanya berakhir pada pukul 2 petang. Mungkin disebabkan ramai juga pesakit yang melalui pemeriksaan tersebut pada hari itu.

Sebelum balik, jururawat di Pusat LASIK di PCMC membekalkan beberapa jenis ubat mata yang perlu untuk digunakan beberapa hari sebelum prosedur LASIK. Antara nya adalah antibiotic. Ia adalah langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko jangkitan mata selepas pembedahan.


HARI PROSEDUR 

11/4/14 saya di Prince Court sekali lagi. Prosedur LASIK menggunakan bius setempat dgn makna lain hanya mata saja yg dibius dan saya masih sedar untuk mengikut arahan Prof. Prosedur bermula pada pukul 910 dan Prof berjanji dengan saya pukul 920 saya akan dapat melihat jam di dinding tanpa cermin mata. Prof memulakan prosedur tersebut dengan mengajak saya sama-sama membaca Bismillah dan Surah Al Fatihah. Prof sentiasa positif dan memberi semangat kepada saya sepanjang prosedur berlangsung. Sejujurnya meskipun prosedur itu tidak sakit tapi rasa gerun itu sentiasa ada. Apatah lagi tiba-tiba ada bau hangit dari pancaran laser. Saya tidak sabar untuk menghabiskan prosedur tersebut 10minit terlalu lama di atas meja pembedahan. Tidak sabar menatap wajah suami yang menemani saya semasa pembedahan.








Ketika prosedur LASIK berlangsung pesakit tidak merasa sakit tapi sakit itu akan dirasai 10-20 minit selepas kesan ubat bius habis. Mata akan terasa pedih, pedih macam masa potong bawang. Rasa tidak mampu untuk membuka mata ketika itu. Sebab itu kepada yang ingin menjalani rawatan LASIK perlu datang berteman. Ubat titik yang diberikan perlu dititik setiap masa untuk mengurangkan kepedihan mata tadi. Baru kurang sedikit kepedihan itu. Saya terpaksa tidur sebentar di pejabat  suami sambil menunggu suami habis kerja sebelum pulang ke Kedah petang Jumaat itu. Rasa rindu terhadap anak-anak. Tidak sabar untuk menatap wajah anak-anak tanpa perlu bantuan cermin mata.


PENJAGAAN MATA SELEPAS PROSEDUR


  • Dalam masa 24jam mata tidak boleh disentuh, digosok 
  • perlu letak ubat titik mata yang diberi setiap 10minit
  • perlu habiskan ubat titik mata berantibiotik dan ubat mata untuk kurangkan radang selama seminggu
  • Tidak boleh buat aktiviti air selama 2 minggu 
  • kurangkan aktiviti sukan
  • Tidak boleh menyelam selama 6 minggu
  • Tidak boleh menggosok atau menyentuh mata selama 4 minggu selepas prosedur 
  • Kalau terasa gatal, hanya perlu menitikkan ubat ke dalam mata
  • Bagi pesakit wanita tidak dibenarkan menggunakan make up mata selama 2 minggu pertama.




Alhamdulillah sekarang saya tidak perlu lagi menghabiskan duit untuk membeli cermin mata. Dapat menatap wajah-wajah yang tersayang dengan jelas.  Dapat menatap wajah Balqis yang menyusu badan. Nikmat yang saya hilang 15 tahun lepas. Sekarang Allah bagi peluang kedua untuk digunakan sebaiknya. Yang kat luar sana, yang masih memakai cermin mata, kalau ada duit lebih, saya rasa ini pelaburan yang berbaloi. Anda perlu bayar RM7000 insya Allah untuk seumur hidup. Tak payah risau cermin mata patah, tak payah risau letak cermin mana kat mana selepas bangun dari tidor.



TIPS PENJAGAAN MATA


Menonton TV:

• Dengan jarak lebih daripada 2 meter

• Jangan menonton TV secara berbaring

Semasa membaca:

• Memegang bahan yang dibaca pada jarak 33cm hingga 40cm

• Jangan membaca sambil berbaring

Semasa menggunakan komputer:

• Ambil masa untuk rehatkan mata anda. Alihkan pandangan dari skrin dan pandanglah objek lain selama 10 saat bagi setiap 10 minit

• Kelipkan mata anda! Kurang berkelip boleh mengurangkan air mata bagi melincirkan mata, yang mana menyebabkan mata kering dan tidak selesa. Anda digalakkan untuk menggunakan ubat titis air mata tiruan sekiranya anda menggunakan komputer dalam jangka masa yang lama

• Ubah kedudukan monitor komputer anda. Monitor perlu berada di kedudukan 20 hingga 30 inci daripada mata anda, lebih kurang ½ depa

• Ubah kedudukan papan kekunci (keyboard). Letakkan papan kekunci di hadapan monitor

Lebihkan makanan yang mengandungi vitamin A seperti lobak merah, bayam, betik dan tomato.



Saya ambil kesempatan ini untuk berkongsi pengalaman saya melalui pembedahan LASIK. Moga-moga bermanfaat untuk semua.




Jaundis di Kalangan Bayi Baru Lahir

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua

Kali ini saya nak kongsi jawapan saya kepada pertanyaan dari teman lama yang ingin tahu tentang jaundis di kalangan anak-anak yang baru lahir. Dia baru menerima anak saudara baru yang baru berusia 5 hari yang sekarang mendapat kuning yang sememangnya menjadi masalah kepada ibu-ibu yang baru menerima cahaya mata. Apatah lagi kalau bayi tersebut adalah anak sulung.

Ini Hadif anak sulung saya =)


Sememangnya jaundis atau kuning kepada bayi yang baru lahir memberi tekanan untuk ibu yang baru melahirkan. Rasa sedih untuk membiarkan tangan dan kaki kecil yang baru menatap dunia dicucuk untuk diambil sampel darah untuk melihat paras bilirubin. Tekanan bila terpaksa berulang alik ke klinik untuk pemeriksaan darah. Bertambah lagi kalau anak terpaksa dimasukkan ke wad bagi pemantauan dan untuk diletak dibawah lampu phototherapy. yang lebih merisaukan jika bilirubin yang tinggi hingga perlu untuk penukaran darah - exchange transfusion.


JAUNDIS, KENAPA IA BERLAKU?


Jaundis kepada anak yang baru lahir akan kelihatan apabila paras bilirubin dalam darah melebihi 85mmol/L (5mg/dl). Saya akan cuba terangkan seringkas dan semudah mungkin apa yang berlaku kepada bayi yang mengalami jaundis.

Semasa di dalam Rahim ibu, unconjugated bilirubin (lebih kurang macam bilirubin yang bebas) akan diproses di placenta (uri). Bila anak tersebut sudah dilahirkan, proses ini akan diambil alih oleh hati. Disebabkan hati yang belum matang, proses ini akan perlahan dan menyebabkan bilirubin yang perlu diproses "tersadai" di dalam darah. Paras bilirubin yang "tersadai" di dalam darah inilah yang menyebabkan anak tersebut mengalami jaundice atau kuning.

Bilirubin adalah bahan yang terhasil apabila sel darah merah pecah. ini berlaku mungkin disebabkan beberapa factor seperti kekurangan enzim G6PD, darah yang tidak sama antara ibu dan anak (ABO incompatibility) ataupun jika anak yang lahir mendapat jangkitan kuman.




KOMPLIKASI JAUNDIS KEPADA ANAK YANG BARU LAHIR


Tak ramai yang tahu kenapa misi-misi yang datang ke rumah begitu mengambil berat tentang anak yang mengalami jaundice. Ibu bapa yang baru pertama kali mengalami situasi ini ada kala mengambil mudah apabila diminta datang ke klinik untuk pemeriksaan darah.

Semasa bertugas di bahagian kesihatan ibu dan anak, saya pernah berjumpa dengan anak kecil yang baru berusia 3 hari dan paras bilirubin dalam darah mencapai paras 400 yang perlu segera dirawat di hospital. Bila melihat paras bilirubin yang begitu tinggi, saya sendiri cemas bagaikan merawat anak sendiri!




Paras bilirubin yang tinggi di dalam darah boleh menyebabkan "kernicterus", satu keadaan di mana bilirubin ini berkumpul di bahagian saraf otak - basal ganglia, brain stem dan cerebellum yang boleh menyebabkan kematian sel-sel. "Kernicterus" boleh menyebabkan kematian dan jika anak ini masih hidup dia mungkin menghidap masalah saraf yang teruk (cerebral palsy), pekak, ataupun lumpuh.

Paras bilirubin yang bahaya, yang boleh menyebabkan "kernicterus" tidak dapat dipastikan dan tidak spesifik kepada setiap anak.

Sebab itu saya berharap, kepada ibubapa yang baru menerima bayi, pastikan anda sedar tentang masalah ini dan hadir ke klinik untuk pemeriksaan darah seperti yang diarahkan oleh jururawat yang membuat lawatan ke rumah.


RAWATAN JAUNDIS DI HOSPITAL


Tidak semua bayi yang mengalami jaundis perlu dimasukkan ke wad. Kalau semua kena masuk wad, KKM perlu sediakan banyak lagi lampu phototherapy dan katil untuk bayi-bayi ini!





Selalunya anak-anak ini akan dipantau paras bilirubin di klinik kesihatan sahaja. kemasukkan ke wad adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti paras bilirubin, hari ke berapa kelahiran anak tersebut, berat badan semasa lahir, cukup bulan atau pun tidak.

Semakin awal anak tersebut mengalami kuning, semakin rendah paras bilirubin yang memerlukan anak tersebut mendapat rawatan lampu phototherapy di hospital. maksudnya, kalau bayi tersebut kuning pada hari kedua paras bilirubin yang perlukan lampu adalah 200mmol/L berbanding bayi yang sudah hari ke 6, paras bilirubin yang perlukan rawatan di hospital adalah >250mmol/L.


PENAWAR JAUNDIS


Setakat pengalaman saya merawat bayi-bayi jaundis di hospital dulu, tiada ubat yang paling berkesan yang dapat mengurangkan kuning anak tersebut selain SUSU IBU!





Menyusukan anak sekerap yang mungkin dapat membantu menurunkan paras bilirubin dalam darah. Dalam bahasa mudah, susu yang diterima oleh bayi akan menolong mengurangkan bilirubin dengan mengeluarkannya melalui air kencing dan najis anak tersebut.

Dan itulah jawapan yang saya beri kepada teman saya itu. nasihatkan kepada adik iparnya memberi susu ibu kepada si kecil itu secara eksklusif.

Banyak petua orang tua-tua tentang penawar anak jaundis yang mungkin boleh diguna pakai tetapi sebagai seorang yang mempunyai asas sains, secara jujur saya tidak percaya. Mungkin boleh dicuba, terpulang kepada anda sendiri. Tetapi saya berharap si kecil itu tidak diberi apa-apa yang boleh memberi bahaya kepadanya!


PENGALAMAN MENGHADAPI JAUNDIS BERSAMA BALQIS





Balqis anak kedua saya lahir pada 10/12/12 semasa genap usia kandungan 37 minggu. Semasa mengandung saya sudah bertekad untuk memberi susu badan sepenuhnya kepada anak ini.

Balqis mengalami jaundis semasa hari ketiga dan bacaan paras bilirubin semakin meningkat pada hari ke lima selepas kelahirannya. Bacaan bilirubin adalah 250mmol/L yang memerlukan dia menerima rawatan phototherapy. Bagi memudahkan saya untuk menyusukan Balqis, suami membawa saya dan Balqis ke sebuah Hospital swasta berhampiran dengan rumah kami. Walaupun dalam pantang, hari ke 5, saya cuba kuatkan diri untuk berjalan setiap 3-4jam ke bilik rawatan jaundis yang menempatkan Balqis. Ini adalah salah satu ujian yang saya terima dalam merealisasikan impian eksklusif breastfeeding untuknya. Balqis dibenarkan keluar selepas 3 malam berada di hospital.

Walaupun sudah dua minggu kelahirannya, kulit Balqis masih kelihatan kuning, dan paras bilirubin masih belum turun, masih berada dalam 150 -170mmol/L. Keadaan ini dipanggil "Prolong Jaundice". Balqis terpaksa diperiksa sekali lagi untuk mengetahui keadaan darah fungsi hati dan fungsi buah pinggang dan perlu mendapatkan rawatan lanjut di klinik pakar kanak-kanak.

Alhamdulillah, pemeriksaan darah untuk kedua-dua organ Balqis adalah normal. Balqis didiagnos oleh saya sendiri dan pakar kanak-kanak mengalami "breast feeding Jaundice". Meskipun Balqis mengalami jaundis selama sebulan, saya masih tetap menyusukan Balqis sepenuhnya walaupun ada saja cadangan-cadangan yang diberi supaya diberikan susu formula untuk Balqis.

Sesungguhnya kedegilan saya untuk memberikan yang terbaik untuk si kecil ini dipermudahkan oleh Allah. Balqis sembuh sepenuhnya dari jaundis apabila usianya mencecah sebulan  dan penawarnya adalah susu saya sendiri!

Yang paling penting, dapatkan ilmu tentang keadaan anak kita dan jika ada kemusykilan boleh bertanya kepada yang lebih arif. Pastikan dapatkan rawatan awal jika anak mengalami jaundis.


"SUSU IBU PENAWAR SEBENAR ANAK KUNING"




Perkara Yang Ibu Kena Tahu Tentang Ruam Lampin

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua..

Kali ini saya nak kongsi sedikit info tentang ruam di kalangan anak-anak kecil terutama yang masih memakai lampin pakai buang. Kadang kala ruam lampin ini membuatkan ibu yang gelisah.

Saya sendiri turut ada perasaan yang sama bila kulit anak-anak yang gebu, yang licin itu ada tanda merah. walau sedikit mana pun ruam yang ada di tubuh anak-anak itu, hati ibu mula tak senang duduk, mata asyik tertumpu kepada tanda merah tersebut. Ibu mula akan mencari sebab kena apa, nak buat apa bila melihat benda ganjil di tubuh si kecil.

Antara Hadif dan Balqis, ruam lampin yang paling teruk adalah ketika menjaga Balqis. saya ingat lagi masa tu Balqis baru menginjak umur 6 bulan dan ia terjadi setelah saya mula memberikan makanan pepejal kepadanya. Ruam lampin Balqis agak teruk yang disebabkan oleh jangkitan kulat - Candida albican.

RUAM LAMPIN




Ruam lampin selalu terjadi kepada anak-anak yang berumur 18 bulan ke bawah. Ia terjadi kerana lampin pakai buang anak kecil itu mengandungi air kencing yang dipakai terlalu atau bila najis anak yang dibiarkan lama tanpa dicuci. kandungan ammonia di dalam air kencing dan najis anak ini boleh menyebabkan irritasi pada kulit si kecil yang masih lembut. Ruam lampin mungkin juga terjadi disebabkan bahan pencuci yang digunakan untuk membersihkan lampin anak.

Ruam lampin biasa dilihat sebagai tanda-tanda kemerahan ataupun bintik-bintik merah pada bahagian sekitar kemaluan, punggung, kelangkang dan paha. anak kecil akan menangis bila berada dalam keadaan tidak selesa, sakit ataupun gatal.

Adakala ruam lampin anak kecil itu menjadi agak teruk bila mendapat jangkitan kulat yang biasanya hidup di kawasan panas dan lembap. organisma yang sering dikaitkan dengan masalah ini adalah Candida albican. selalu ruam lampin yang dijangkiti kulat akan kelihatan lebih merah dan ruam tersebut tidak hilang dalam masa tiga hari. Rawatan lanjut dari doctor adalah perlu untuk mendapatkan rawatan anti kulat.


CEGAH RUAM LAMPIN


Beberapa tips untuk mengelakkan ruam lampin dari terjadi


  • pastikan kulit bayi anda kering sepenuhnya sebelum memakai lampin
  • digalakkan kerap menukar lampin sebaik sahaja lampin basah
  • elakkan menggunakan tisu basah yang mengandungi alcohol
  • bersihkan dengan air biasa atau air suam untuk mencuci punggung anak
  • elakkan menggunakan tepung jagung yang boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria dan kulat
  • boleh sapukan krim pelindung pada kawasan kemaluan dan celah paha anak setiap kali menukar lampin
  • elakkan mencuci kawasan ruam dengan sabun terlalu kerap
  • untuk membersihkan lampin kain, bilas dengan teliti setiap kali dicuci


RAWATAN RUAM LAMPIN


Ia bergantung kepada keadaan ruam tersebut. seteruk mana keadaannya dan sama ada perlu krim anti kulat. selalunya yang boleh digunakan adalah calamine cream, zinc oxide, hydrocortisone cream. jika ada jangkitan kulat, clotrimazole cream boleh digunakan

selain dari ubat-ubatan di atas, beberapa langkah boleh dibuat di rumah bagi mencepatkan proses penyembuhan.


  • elakkan memakai lampin kepada bayi untuk beberapa ketika. ini kerana kulit yang rosak lebih sensitive kepada geseran.
  • biarkan bayi tanpa lampin dengan menutup bahagian kemaluan dan punggung dengan kain lembut dan longgar
  • jika bayi mengalami ruam lampin yang kerap, perlu mendapat rujukan dr pakar kulit di hospital



Harap perkongsian maklumat ini dapat membantu ibu-ibu yang mempunyai anak kecil.

Jika ruam lampin anak anda semakin merah, dan tidak hilang dalam masa 3 hari, bawalah ke klinik yang terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut.





 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in