TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


Persediaan Untuk Breastfeeding Semasa Mengandung

Salam sejahtera semua. Harap semua sudah membaca cerita saya bersama anak sulung dan sudah tahu di mana kesilapan yang saya lakukan. Jika kita gagal kali pertama tidak bererti kita akan gagal seterusnya. Yang penting kita sedar di mana kesilapan kita dan bangun balik setelah itu. Jangan kita terus beri alasan dan berada pada takuk yang lama.

Saya mengandung kali ketiga pada awal Mei 2012 setelah mengalami keguguran pada 2011. Sejak itu saya mula mencari ilmu untuk merealisasikan impian penyusuan dengan anak dalam kandungan ini.


USAHA MENCARI ILMU SEMASA MENGANDUNG


Bila mengetahui diri ini mengandung, saya mula bertanya kepada rakan-rakan di klinik yang berjaya menyusu anak secara eksklusif pada 6 bulan pertama. Ini sangat penting bagi saya untuk mencontohi kejayaan rakan saya tersebut. Kalau dia boleh, saya pun mesti boleh!

Dalam bulan Julai, ketika mengandung 3 bulan, saya mendapat tawaran untuk mengikuti kursus penyusuan 20 jam di Hospital Putrajaya. Teruja untuk mengikuti kursus tersebut walaupun kursus tersebut mengambil masa yang panjang.


KURSUS PENYUSUAN 20 JAM


Kursus penyusuan ini banyak diberikan kepada staff perubatan secara percuma. Peringkat yang lebih mendalam adalah kursus penyusuan selama 40jam yang dilakukan oleh persatuan penyusuan seperti Pusat Laktasi Kebangsaan yang melayakkan individu yang mengikuti kursus tersebut diiktiraf sebagai kaunselor penyusuan.


Antara topik menarik yang dibincangkan dalam kursus penyusuan 20 jam ini adalah
1- masalah payudara dan puting
2- apa yang perlu dibuat jika bayi tidak menyusu pada payudara
3- bagaimana susu dari payudara sampai kepada bayi
4- bekalan susu ibu.

Bukan sahaja teori yang saya belajar tapi turut melibatkan praktikal bagaimana memegang bayi dengan betul untuk menyusu. Saya turut berkesempatan pergi ke wad postnatal bertemu ibu-ibu yang baru melahirkan anak dalam usaha membantu mereka menyusukan si kecil.

Menghadiri kursus ini menguatkan niat saya untuk memberi yang terbaik buat si kecil ini. Saya juga cuba untuk memberi ilmu kepada en suami agar dia turut sama faham kebaikan menyusu badan dan memberi sokongan penuh usaha saya ini.

Bila mengadiri dan belajar ilmu ini, baru saya sedar tentang kesilapan yang banyak saya lakukan semasa bersama Hadif dulu. Aduh, sedihnya hati. Saya harap saya dapat pusing balik masa untuk betulkan balik kesilapan saya.

Kalau tidak dapat menghadiri kursus 20 jam ni sekali pun, banyak seminar-seminar menyusu yang dibuat oleh pakar atau kaunselor laktasi sekarang. Di klinik kesihatan juga ada membuat kelas menyusu untuk ibu-ibu bagi mempromosikan penyusuan susu ibu sejak ibu mula mendapatkan rawatan semasa mengandung lagi. Jadi ambil kesempatan tersebut untuk mendapatkan ilmu sebanyak mungkin


PERSEDIAAN ROHANI SEMASA MENGANDUNG


Semasa mengandung, selain dari menambah ilmu, saya turut lakukan amalan-amalan rohani  seperti ibu-ibu lain yang mengandung. Saya berdoa agar usaha saya dipermudahkan dan berjaya untuk memberi susu badan secara eksklusif kepada anak yang bakal lahir ini.

Antara amalan yang saya lakukan adalah;



Saya berdoa anak dalam kandungan sentiasa sihat dan dapat melahirkannya kelak.


PERSEDIAAN LAIN UNTUK MENJAYAKAN PENYUSUAN SECARA EKSKLUSIF


Dari segi barang-barang keperluan untuk penyusuan, saya membeli barang-barang penting sahaja. Saya berfikir jika ada yang belum cukup, kemudian nanti baru dibeli. Kita menyusu sambil belajar. Saya hanya membeli barang-barang tersebut di ekspo maternity di Kuala Lumpur kerana harga yang ditawarkan di ekspo agak murah berbanding di kedai.

Antara barang-barang yang saya rasa penting adalah;

1- Pam susu

Pam susu memang satu keperluan terutama untuk ibu yang bekerja. Ini akan memudahkan ibu memerah susu untuk disimpan untuk kegunaan anak. Pelbagai jenis pam susu ada di pasaran jadi terpulang kepada ibu-ibu untuk memilih yang mana berkenan di hati. Cuma nasihat saya cuba kaji dulu setiap pam susu agar menang memakai dan berbaloi dari segi pelaburan jangka masa panjang.



Saya memilih untuk membeli pam susu Medela freestyle yang mempunyai dua pam payudara yang boleh menjimatkan masa. Memang agak mahal tapi bagi saya duit bukan ukuran jika ia boleh menolong saya di masa akan datang.
     

Sedikit panduan untuk membeli pam yang berkualiti:

  • Berbelanja dalam membeli pam haruslah mengikut kemampuan diri sendiri. Pam yang mahal tidak semestinya memberi stok susu yang banyak.
  • Pilih pam yang mudah digunakan
  • Pilih pam yang ringan dan kecil untuk memudahkan anda membawanya ke lokasi tempat kerja ataupun ke luar kawasan.
  • Pam yang berkualiti adalah pam yang tidak mengeluarkan bunyi yang kuat bagi memudahkan mommies untuk mengepam semasa dalam bilik mesyuarat atau pun ketika berdekatan dengan anak
  • supaya pelaburan berbaloi, pilih pam yang mempunyai daya ketahanan yang panjang supaya boleh digunakan untuk jangka masa panjang.
  • cuba pilih pam yang ada aras kelajuan untuk menghisap supaya boleh menukar kelajuan pam sekiranya berasa sakit pada payudara

saya lebih suka memilih pam yang boleh mengepam kedua-dua payudara serentak kerana ia menjimatkan masa.
Terpulang kepada anda untuk memilih.

2- Bekas menyimpan susu 

Untuk menyimpan susu perahan saya membeli beberapa botol susu tambahan dan selebihnya saya membeli plastik penyimpan susu. Memang ada ibu-ibu yang suka membeli banyak botol susu untuk menyimpan susu perahan yang boleh diguna semula. Bagi saya penggunaan plastik simpanan susu lebih praktikal kerana ia murah dan menjimatkan ruang walaupun hanya boleh digunakan sekali sahaja.


Pastikan bekas penyimpan susu perahan adalah bebas BPA supaya selamat untuk si kecil.



3- Pemanas dan bekas pensterilan botol susu

Ini merupakan bukan barang wajib dibeli kepada ibu yang menyusu. Ibu-ibu masih boleh menggunakan pelbagai cara untuk memanaskan susu perahan yang disimpan di dalam peti sejuk. Sama juga dengan untuk pensterilan.

Ibu-ibu boleh menggunakan air suam untuk panaskan susu. Untuk proses pensterilan, cara lama yang saya gunakan adalah dengan merebus botol susu di dalam air panas seminggu sekali. Itu cara yang diajar oleh ibu saya.


Tujuan saya membeli kedua-dua barang ini adalah untuk membantu ibu saya menjaga anak saya sewaktu saya bekerja nanti.

4- Beg menyimpan susu dan Pek Ais

Jika membeli set medela Freestyle anda tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan tentang dua perkara ini. Beg penyimpan susu dan pek ais sangat penting jika anda berada jauh dari si kecil seperti menghadiri mesyuarat atau bertugas di luar kawasan. saya sentiasa memastikan pek ais sentiasa sejuk sebelum keluar ke mana-mana yang memerlukan saya mengepam susu bila sampai waktunya.

5- Bra menyusu


Ini juga bukan barang wajib. Ini terpulang kepada ibu. Bagi saya memakai bra menyusu sangat mudah kerana saya boleh berasa yakin dan selesa semasa menyusukan anak. Untuk yang masih belum tahu, bra menyusu mempunyai penyangkut di bahagian coli yang boleh dibuka dan ditutup bila perlu. Anda tidak perlu melonggarkan bra jika memahu menyusu.


6- Baju menyusu


Baju menyusu merupakan baju yang direka khas bagi memudahkan ibu-ibu menyusu walaupun berada di luar rumah. Dengan memakai baju menyusu, mommies tak perlu menyelak baju dari bawah yang boleh menampakkan bahagian badan. Rekaan khas menyusu ada bahagian hadapan baju yang boleh dibuka/diselak bila anak mahu menyusu. Saya suka baju rekaan Adrini's dan Mumsluv. Kedua-dua jenis rekaan ini sangat selesa. Saya masih boleh bergaya walaupun menyusu Balqis. Ada baju yang beli sesuai dipakai semasa mengandung dan boleh menyusukan bayi selepas bersalin. 2 in 1. Jimat belanja.



Ini antara coretan pengalaman saya antara persediaan-persediaan awal yang saya lakukan sebelum kelahiran Balqis. Ini bagi menolong saya menguatkan semangat saya untuk memberikan yang terbaik untuk anak saya.




0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in