Anak saya mengalami masalah "ketumbit" di atas dan bawah kelopak mata. Saya dah ke klinik dan dr bagi antibiotic. Dah 2 kali saya ke sana. Tapi anak saya masih tak sembuh. Dah lebih sebulan sakit mata. Tapi dia tak menangis. Apa perlu saya buat sekarang?
JAWAPAN:
Ketumbit merupakan nama yang sering digunakan oleh masyarakat dalam memberi gambaran terdapat bengkak pada bahagian kelopak mata.
Terdapat 2 jenis kemungkinan bengkak di bahagian ini yang dialami oleh anak ini:
1- CHALAZION - bengkak yang disebabkan oleh kelenjar yang di panggil Mebomian membesar atau tersumbat dengan minyak
2- STYE - bengkak disebabkan jangkitan pada salur bulu mata
Terdapat perbezaan antara kedua-dua jenis masalah ini:
CHALAZION
- lokasi bengkak ini jauh dari bulu mata
- tidak sakit
- lebih besar dari bengkak stye
- tidak disebabkan oleh jangkitan kuman
- bukan kanser
- tidak berjangkit
- boleh disebabkan stye yang tidak sembuh
STYE
- bengkak yang merah dan sakit di kawasan kelopak dekat dengan bulu mata
- disebabkan oleh jangkitan kuman
RAWATAN UNTUK CHALAZION/ STYE
Tiada rawatan spesifik, antara 1 dalam 4 orang, chalazion boleh sembuh dengan sendiri. ia boleh mengambil masa yang lama antara 2 hingga 6 bulan untuk hilang. kalau tak mengganggu mungkin boleh dibiarkan sahaja.
Tuam dengan tuala panas boleh mengurangkan sakit dan mengurangkan bengkak yang disebabkan cecair dalam kelejar mebomian. Ibu/ bapa boleh melakukannya di rumah 3-4 kali sehari.
Urutan pada bengkak menggunakan tuaman tuala panas.
Jika masih bengkak dan merisaukan ibubapa atau menyebabkan anak tidak selesa, pembedahan kecil boleh dibuat di klinik mata untuk mengeluarkan kandungan dalam bengkak itu.
Krim antibiotic akan diperlukan jika ada jangkitan kuman pada chalazion, stye yang tidak sembuh atau kes yang berulang.
Yang paling penting jangan cuba untuk picit atau keluarkan nanah pada chalazion/stye yang boleh menyebabkan jangkitan merebak ke bahagian tisu mata berhampiran.
