TExt

Assalamualaikum W.B.T
Untuk semua pembaca di blog Dr Shima,

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.


Soalan 16: Hyperthyroid

SOALAN:

I need ur help. Customer known case of hyperthyroid. Main problem: jantung berdebar, cepat berpeluh & menggigil

Dr kata dia kena makan ubat hospital seumur hidup untuk control symptom dia. Masalah sekarang sebab bila makan ubat hospital ada side effect which is weight gain tapi sy rasa weight gain dia tak kritikal. Sekarang berat dia 58kg tinggi 160cm. Still normal bmi.

Apa komen dr?


JAWAPAN:

Saya akan cuba bagi sedikit info tentang kelenjar thyroid terlebih dahulu.





Kelenjar thyroid adalah salah satu kelenjar endokrin yang terbesar dalam tubuh manusia. Kita mempunyai 2 kelenjar thyroid (kanan & kiri) yang bersambung antara satu sama lain dan terletak di bahagian depan leher.


Kelenjar thyroid bertugas untuk mengeluarkan hormon thyroid yang dikawal selia oleh kelenjar pituitari di otak. Antara fungsi utama hormon thyroid adalah;

1- meningkatkan metabolisme badan

2- membantu pertumbuhan dan perkembangan yang normal terutama untuk kanak-kanak

3- mengawal suhu badan

4- mengawal selia sistem dalam badan seperti jantung, sistem saraf dan peranakan.


Masalah hormon thyroid

1- HYPERthyroid - hormon thyroid adalah berlebihan dalam darah

2- HYPOthyroid - hormon thyroid kurang dalam darah


Sebab berlakunya masalah hyperthyroid mungkin disebabkan oleh:

1- Penyakit Grave's

Penyakit yang disebabkan oleh autoimmune di mana antibodi badan menyerang sel kelejar thyroid sendiri

2- Goitre - bengkak pada kelenjar thyroid

3- thyroiditis - radang pada sel-sel kelenjar thyroid

4- boleh disebabkan pengambilan ubat hormon thyroid secara berlebihan untuk rawatan hypothyroid.


Untuk pengesahan masalah ini berlaku, pemeriksaan darah akan dilakukan kepada pesakit iaitu pemeriksaan fungsi thyroid (thyroid function test)


Rawatan hyperthyroid di klinik

1- ubat propanolol - untuk mengurangkan simptom berdebar, keresahan dan menggigil

2- antithyroid - carbimazole, propythiouracil

Selepas rawatan dimulakan pesakit akan dipantau melalui pemeriksaan darah secara berkala. Selalunya selepas 8 minggu dari tarikh mula rawatan, pemeriksaan dsrah berikutnya akan dibuat untuk melihat kesan ubat terhadap hormon thyroid pesakit.

Dalam kes di atas kemungkinan besar, pesakit mengalami peningkatan berat badan disebabkan oleh kesan ubat yang dimulakan yang menyebabkan hormon thyroidnya turun dan memberikan simptom hypothyroid. Dalam keadaan ini pesakit mengalami hypothyroid walaupun pada mulanya dia mengalami masalah hyperthyroid. Untuk mengesahkan masalah ini, pemeriksaan darah untuk fungsi thyroid semula perlu dibuat. Beliau perlu berbincang dengan doktor yang merawat dan perlu diingat supaya tidak berhenti ubat tanpa arahan doktor.

Untuk pengetahuan semua, tidak semua kes rawatan thyroid memerlukan rawatan seumur hidup. Ada keadaan di mana jika hormon thyroid sudah normal dan stabil dengan ubat yang rendah selama 2 tahun, pengambilan ubat boleh diberhentikan bergantung kepada doktor yang merawat.

Ada juga kes yang selepas makan ubat masih tidak dapat dikawal hormon tersebut yang mungkin perlu dirujuk kepada doktor pakar untuk rawatan seterusnya seperti pembedahan atau radioactive iodine.


Harap penjelasan saya membantu

Soalan 15: Komplikasi Kencing Manis

SOALAN:

Askm. dr. saya ada beberapa soalan.suami saya penghidap kencing manis dr usia 31 kini berusia 44 tahun. soalan saya. kenapa kaki suami saya dari paras lutut hingga ke kaki dan tapak kakinya sakit

Adakah saraf2nya telah rosak. bila disentuh sakitnya ya Allah terjerit2 sakit. walhal kita cuma pegang sahaja.

Bila jalan dua jalan menyeret kadang bila nak turun tangga terpaksa jalan menyenget takut jatuh. Kenapa ye dok. Tapak kakinya begitu teruk sekali sakit. Adakah akan ada penyakit lain pulak

Ayh dan ayh mertua juga penghidap kencing manis tp xade la plk sakit kaki sprt suami. ada ketika terlalu kebas. akhir2 ini bila bangun kakinya selalu jadi krem. kenapa ye dok. harap dok dpt menolong sya...terima kasih 

JAWAPAN:

Waalaikumsalam

Diabetes Mellitus atau lebih masyarakat kenal sebagai kencing manis adalah satu penyakit kronik yang jika tidak dikawal boleh memberi komplikasi kepada pelbagai system di dalam badan.

Komplikasi kencing manis terbahagi kepada 2 kategori besar sama ada melibatkan salur darah besar (macrovascular) atau salur darah kecil (microvascular).

Komplikasi yang melibatkan salur darah kecil adalah melibatkan mata ( diabetic retinopathy), saraf ( diabetic neuropathy) atau buah pinggang (diabetic nephropathy)

Komplikasi yang melibatkan salur darah besar adalah kepada organ-organ yang penting seperti jantung ( penyakit jantung koronari), otak ( stroke) atau salur darah periphery .

Berdasarkan gambaran sakit kaki dari paras lutut hingga ke kaki, ada kemungkinan suami puan menghadapi komplikasi yang melibatkan salur darah periphery.



Masalah ini disebabkan oleh salur darah di bahagian atas lutut yang dipanggil femoral mungkin menjadi sempit atau tersumbat disebabkan oleh arteriosklerosis.

Selain dari kencing manis antara faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan masalah salur darah periphery adalah
1- Merokok
2- Darah tinggi
3- Kolesterol tinggi
4- Obesity
5- Sejarah keluarga

Antara symptom-simptom masalah ini adalah

1- Sakit, lemah, kebas, kejang pada otot yang terlibat disebabkan oleh kurang peredaran darah terutama ketika melakukan aktiviti seperti berjalan.
2- Luka atau pembentukan ulcer
3- Pertukaran warna kulit pada kawasan yang terlibat sama ada menjadi kebiruan atau pucat
4- Pertukaran suhu pada kulit iaitu menjadi sejuk pada bahagian terlibat
5- Bulu atau kuku bahagian kaki yang terlibat turut berubah

Antara penyiasatan yang akan dibuat untuk membuat diagnosis masalah ini adalah pesakit akan diambil tekanan darah pada buku lali dan lengan. Ini adalah penyiasatan mudah yang boleh dilakukan di sesetengah klinik. Ada juga klinik mempunyai mesin Doppler yang boleh mengenalpasti sama ada nadi pada kaki ada atau tidak.

Antara yang puan boleh tolong buat masa ini pastikan kencing manis beliau terkawal, berhenti merokok, kawal darah tinggi jika ada, kawal kolesterol dan boleh lakukan senaman kerana ia boleh membuka salur darah alternative untuk membantu menghantar darah ke bahagian bawah lutut dan kaki.

Seharusnya masalah ini dibincangkan bersama dengan doctor yang merawat kencing manis suami puan kerana banyak maklumat lain yang diperlukan sebelum dibuat kesimpulan suami puan menghadapi masalah salur darah periphery.

Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan 
semoga suami puan diberi kesihatan yang baik.



Soalan 14: Cara Naikkan Berat Badan

SOALAN:

Assalamualaikum. cara paling senang nak naikkan berat badan mcm mana?

JAWAPAN:

Waalaikumsalam. Sejujurnya saya rasa soalan ini lebih bagus mendapat input dari pegawai pemakanan.


Sebelum meneruskan, rasa saya lebih elok di kira BMI encik yang bertanya. Kadang kala kita rasa kita kurus dari penampilan tapi sebenarnya berat badan kita sudah ideal, seimbang dengan ketinggian kita.

Dari segi bidang saya, saya perlu tahu kenapa masalah kurang berat badan anda berlaku dan dari situlah saya bermula. Antara punca-punca kurang berat badan adalah masalah kurang hormone thyroid, kencing manis, jangkitan kuman seperti tuberculosis, ataupun masalah mental. Selalunya masalah kurang berat badan yang berpunca dari masalah-masalah yang saya sebutkan di atas akan datang dengan symptom-simptom lain seperti berdebar-debar, haid tidak menentu, tangan menggigil (hyperthyroid), kerap kencing, kerap dahaga (kencing manis), batuk berpanjangan, kurang selera makan ( tuberculosis), sedih yang teramat sangat, tidak dapat tidur (kemurungan)

Jika tidak pasti kenapa berat badan kurang, encik boleh mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik.
Kekurangan berat badan mungkin berpunca dari pengambilan makanan yang kurang. Pengambilan makanan yang kurang menyebabkan kalori yang didapati berkurang dari yang diperlukan.
Tiada cara senang dalam usaha menaikkan berat badan. Sama sahaja keadaan dalam menurunkkan berat badan. Semuanya perlu dilakukan secara konsisten.

Beberapa tips yang saya kongsikan berdasarkan pembacaan saya dari pakar pemakanan Kevin Zahri.

CARA UNTUK NAIKKAN BERAT BADAN

1- Kira keperluan kalori harian anda
Keperluan kalori bergantung kepada umur, jantina, berat, tinggi dan kadar aktiviti seharian.
Anda boleh meminta en Google membantu mendapatkan formula untuk mengira keperluan Kalori yang anda perlukan.
Untuk menambah 1kg berat badan = 7500kcal

2- Cuba buat pelan pemakanan anda.
Anda boleh senaraikan makanan dan minumam bersama nilai kalori setiap makanan. Anda boleh dapat senarai makanan dan minuman bersama nilai kalori yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan atau merujuk kepada fakta nutrisi pada produk-produk makanan yang anda makan.
Pastikan jumlah kalori harian anda tidak kurang dari keperluan kalori anda supaya anda mempunyai kalori surplus.

3- Penggunaan supplemen penambah berat.
Ini adalah terpulang kepada anda sendiri. Mungkin dapat membantu dalam usaha anda. Untuk dapatkan supplemen ini anda boleh hubungi saya. Insya Allah saya akan cuba memberi cadangan.

4- Senaman.
Senaman yang diperlukan adalah senaman rintangan beban @ weight training dalam menggalakkan tumbesaran otot. Bukan org obese sahaja perlu senaman, orang kurus juga perlu bersenam!

5- Konsistensi
Dengan erti kata lain harus dilakukan secara berterusan kerana ia mungkin mengambil masa yang agak lama. Sama hal nya dengan usaha menurunkan berat badan.

Tiada jalan yang senang, semuanya perlukan kesabaran dan usaha yang berterusan. Perlu ditambah juga dengan doa agar diberikan kekuatan dalam usaha tersebut

Semoga Berjaya

Soalan 13: Jerawat

Soalan:

Assalamualaikum Dr Shima.  Nama saya Luqman. Nak tanya skit la. Kawan saya pmpuan die struggle dengan acne. Macam2 da guna ubat acne tapi still lg naik. Die memang hati2 x picit2 acne tu and dah slalu minum air kosong. Tp still no improvement. Kenapa ye? sbb hormon x stabil ke. Kwn sye tu die ckp period ok je lancar. Bole mintak advise skit :

1. Factor2 acne naik dkt muka
2. Preventive or medication yang bole die try (mcm Preventac)? Pencuci muka ape yg elok?
Saya ade kasi advise kt die tp takut kan sbb bdan pmpuan ngn laki different.
Tlg advise k..tq

Jawapan:

Waalaikumsalam
Tentang Acne atau kita lebih senang kenal masalah kulit ini sebagai jerawat.



Acne memang masalah biasa di kalangan remaja dan mereka yang baru menginjak ke alam dewasa.

Acne berlaku disebabkan oleh

1- Peningkatan pengeluaran sebum pada kulit. Ini boleh disebabkan hormon androgen dalam badan seperti hormon testosterone yang mengawal gene yang
menjaga kelenjar sebacous dan pengeluaran sebum di kulit
2- Peningkatan bacteria pada kulit yang menyebabkan radang
3- Keratin kulit yang berubah
4- Radang pada kulit

Faktor risiko untuk mendapat acne
1- Faktor genetik
- Faktor sejarah keluarga telah dikenalpasti menjadi punca jerawat berlaku
2- Masalah Obesiti – obesiti berkait rapat dengan masalah peningkatan hormon androgen yang menyebabkan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan cenderung untuk mendapat acne

Faktor yang menyebabkan acne bertambah teruk
- Merokok
- Stress
- Terapi muka
- Urutan muka di salon

Peranan diet dan supplement

1- Makan makanan yang tinggi glycaemic load boleh meningkatkan risiko mendapat acne.
Contoh makanan yang tinggi glycaemic load adalah nasi putih, roti putih, sandwich sardin, kentang, bihun goreng, makaroni goreng, pulut
2- Susu dan produk dari susu
Dari kajian tempatan mendapati risiko untuk mendapat acne meningkat 4 kali ganda bila penggunaan susu meningkat dari seminggu sekali kepada setiap hari
3- Coklat, kacang dan bahan berminyak
Dalam kajian mendapati, tiada perbezaan ketara di antara pengambilan coklat dan kacang kepada mereka yang mendapat acne ataupun tidak.

Rawatan Acne

Rawatan acne bergantung kepada tahap keterukan masalah kulit itu. Saya sarankan teman encik tadi mendapatkan pandangan pegawai perubatan di klinik berhampiran untuk mengetahui tahap keseriusan masalah kulit beliau.

Rawatan acne bukan sahaja melibatkan rawatan luaran sahaja, jika tahap yang serius beliau mungkin memerlukan rawatan antibiotic yang perlu diambil dalam jangka masa yang agak panjang.

Ada juga rawatan yang menggunakan pil hormon untuk merawat masalah acne.
Kesemua bentuk rawatan ini perlu mendapatkan prekripsi dari doktor.

Harap jawapan ini membantu anda.





Soalan 12: Kebas Tangan

Soalan:

Assalam dr, saya mengalami kebas-kebas di tangan kanan. saya sudah berjumpa dr di klinik dan sudah membuat pemeriksaan darah. Alhamdulillah saya tidak ada kencing manis. Dr hanya memberikan saya vitamin saraf. 

Boleh dr tolong berikan penjelasan mengenai masalah saya ini?

Jawapan:

waalaikumsalam.

Kemungkinan besar masalah encik yang bertanya ini adalah Sindrom Terowong Carpal (Carpal Tunnel Syndrom)




Sindrom Terowong Carpal adalah penyakit yang menyakitkan dan berlaku pada tangan dan pergelangan tangan.

Terowong Carpal adalah terowong yang sempit dan terbentuk daripada tulang dan tisu pada pergelangan tangan. Saraf median yang memberi deria rasa kepada ibu jari, jari tengah, jari telunjuk dan jari manis juga melalui terowong ini. Jika tisu-tisu di dalam terowong ini membengkak, ia akan member tekanan kepada saraf median tersebut dan menyebabkan rasa sakit dan kebas pada tangan.

Punca-punca sindrom terowong carpal
- Pergerakan yang menggunakan tangan yang sama seperti menaip, bermain piano, memotong daging
- Cedera pada pergelangan tangan
- Diabetes
- Rheumatoid arthritis
- Penyakit thyroid
- Pada wanita hamil terutama pada trimester ketiga

Symptom-simptom sindrom terowong carpal
- Kebas pada tangan dan jari
- Sakit pada pergelangan tangan. Lengan hadapan dan tapak tangan
- Symptom adalah lebih teruk pada waktu malam
- Lemah ibu jari
- Masalah mencengkam objek

Rawatan Sindrom Terowong Carpal
- Rehatkan pergelangan tangan yang sakit
- Menukar cara penggunaan tangan
- Pemakaian bidai pada pergelangan tangan
- Meletakkan ketulan ais pada pergelangan tangan
- Ubat tahan sakit ataupun suntikan steroid ke dalam terowong carpal untuk mengurangkan bengkak dan sakit
- Dalam sesetengah kes, memerlukan pembedahan. Memotong ligament yang menekan saraf median

Tips legakan Sindrom Terowong Carpal
- Elakan penggunaan tangan yang kerap
- Cari cara baru bagi menggantikan penggunaan tangan – guna alatan
- Gunakan tangan yang tidak sakit
- Elakkan daripada membengkokkan pergelangan tangan untuk jangka masa lama

Harap penjelasan ini membantu encik yang bertanya dan saya harap masalah encik akan bertambah baik



Soalan 11: Alahan Kulit

Soalan:

selamat pagi doctor. Sy ingin tahu. Anak sy berumur 3 bln mengalami tanda seperti eczema di pipi (kiri kanan). Semasa sy mengandung, sy mengalami alergi kulit tp sy berpantang makan seperti tidak makan sebarang kekacang, soya sbb pegalaman mengandung sebelum ini anak sy eczema sehingga berumur 4 thn( masih lagi sekarang dalam pemantauan dr segi makanan) 

soalan sy, apa yang perlu sy titik beratkan selain dr faktor2 yg doctor senaraikan di atas? perlukan ujian darah di lakukan untuk mengetahui bb sy alahan dr segi apa?

Jawapan:

Selamat sejahtera puan.

Saya berharap puan telah membaca maklumat tentang eczema yang telah saya jawab sebelum ini dan sudah faham serba sedikit tentang masalah kulit yang sering dihadapi oleh bayi dan kanak-kanak.



Selain dari factor-faktor persekitaran yang telah saya jelaskan, saya perlu terangkan sedikit lagi tentang matlamat utama rawatan eczema.
1- Menyembuhkan kulit
2- Mengelakkan masalah berulang
3- Menyembuhkan symptom bila ia terjadi

Puan perlu tahu asas yang ringkas tentang penjagaan kulit anak tersebut. Cuba gunakan satu jenis sabun dan pelembab sahaja. Menggunakan banyak jenis sabun, losyen, pewangi dan pelbagai produk kulit yang lain boleh menganggu kulit yang sensitive.

Penyembuhan kulit dan mengekalkan kesihatannya adalah sangat penting dalam mengelakkan kerosakan pada kulit yang kronik.

Antara yang boleh dititik beratkan adalah semasa mandi dan menggunakan pelembab kepada kulit selepas mandi.

Semasa mandi, cuba elakkan menggunakan air panas. Cuba kurangkan penggunaan sabun buku atau pembersih kerana ia boleh mengeringkan kulit. Mandian bijirin (oatmeal bath) juga boleh membantu.

Selepas mandi, selalu sapukan pelembap tanpa perlu lap dengan tuala. Ini akan mengekalkan kelembapan kulit, mengurangkan pengewapan air dari kulit dam meningkatkan proses penyembuhan dan memberikan penghalang kepada kulit dari terus menjadi kering dan rosak. Penggunaan losyen adalah tidak digalakkan kerana kandungan nya yang tinggi air atau alcohol yang mudah meresap ke udara.

Selain dari itu, adalah penting untuk mengurangkan jangkitan kuman pada bahagian kulit tersebut. Ibu perlu ada sedikit pengetahuan tentang jangkitan ada kulit anak dan perlu mendapatkan rawatan segera.

Perkara-perkara yang ibu boleh buat di rumah yang boleh membantu mengurangkan masalah ini adalah:

- Pilih baju yang lembut dari kain kapas yang nipis

- Pastikan kuku anak pendek untuk mengelakkan luka jika mereka menggaru

- Pastikan anak tidak panas; cuba elakkan situasi yang panas yang boleh menyebabkan mereka berpeluh

- Belajar untuk kenal masalah jangkitan kulit yang mungkin boleh berlaku

- Elakkan pemakaian emas, nickel atau metal yang boleh melukakan kulit anak

- Jauhkan anak dari binatang peliharaan seperti kucing, anjing, burung atau arnab

- Jika anak masih kecil boleh dipakaikan sarung tangan dan sarung kaki untuk mengurangkan mereka menggaru dan boleh menyebabkan luka

- Ibu boleh mempertimbangkan penggunaan ubat antihistamin untuk mengurangkan masalah gatal pada kulit yang kering. Untuk mendapatkan ubat ini, ibu perlu bawa anak ke klinik untuk mendapatkannya.

Pemeriksaan darah untuk mengesan masalah allergic saya tidak pasti ada dibuat di Malaysia ataupun tidak tetapi ia mungkin tidak membantu.

Ujian kulit (skin test) boleh dilakukan di klinik dermatologi di hospital. Bergantung kepada pakar sama ada perlu ataupun tidak dan sama ada ujian itu boleh membantu kepada rawatan pesakit. Ujian ini tidak perlu dilakukan secara rutin untuk setiap pesakit kerana ia mahal, tidak membantu, dan boleh memberikan keputusan yang salah. Sesetengah makanan yang dielakkan dari pemakanan anak jika mengikut ujian ini yang mungkin penting untuk pembesaran anak tersebut.

Harap jawapan saya membantu puan.

Soalan 10: Anaemia; Kurang Sel Darah Merah

Soalan:

Assalamualaikum..
umur saya 22 tahun. masa kecil saya ada asma. bila besar dah tak ada. saya cepat letih. bila saya pergi check doktor kata saya ada darah rendah. lepas tu dah lama dah, saya pergi check kesihatan di klinik kerajaan. Doktor cakap saya dah tak ada dah darah rendah.
Darah saya okey ja. Tapi saya tetap juga mudah letih, bila saya baring atau duduk. Saya boleh rasa jantung saya berdegup kuat. Bila saya lari dalam beberapa pusingan dada saya rasa macam sesak. Kenapa ya?

Jawapan:

Waalaikumsalam

Ada beberapa point penting dari sini
- Sejarah asthma
- Cepat letih
- Darah rendah
- Jantung berdegup kencang
- Dada sesak

Masyarakat umum sering menggunakan penyata darah rendah.Sebagai pegawai perubatan, pernyataan ini memberi 2 makna samaada tekanan darah yang rendah atau paras sel darah merah yang rendah.

Tekanan darah yang rendah dipanggil hypotension
Paras sel darah merah yang renda dipanggil anaemia

Symptom-simptom yang saudari alami banyak menunjukkan kemungkinan besar menghadapi masalah kurang sel darah merah atau anaemia.

ANAEMIA


Paras sel darah merah yang dipanggil haemoglobin untuk lelaki dan wanita adalah berbeza.
Paras Hb lelaki normal – 13g/dl
Paras Hb wanita normal – 12g/dl

Haemoglobin bertugas untuk mengangkut oksigen dari paru-paru ke seluruh badan. Membawa oksigen kepada sel-sel penting termasuklah jantung dan otak.

Jika paras haemoglobin yang mengangkut oksigen ini tidak cukup, ia akan memberikan symptom-simptom kurang darah merah. Antaranya
Mudah letih, susah bernafas, jantung laju, pucat dan pening.

Anaemia boleh berlaku disebabkan 3 faktor utama:
1- Kehilangan darah seperti semasa kemalangan, datang haid yang banyak
2- Pembentukan darah yang terganggu seperti kekurangan zat besi, kekurangan vitamin B12
3- Peningkatan kemusnahan darah merah seperti sickle cell anaemia, kekurangan enzim G6PD

Banyak yang anaemia yang ditemui di klinik adalah disebabkan kekurangan zat besi.

Untuk membuat diagnosis seseorang itu mangalami anaemia, ujian penting adalah melalui pemeriksaan darah Full Blood Count.

Rawatan anaemia bergantung kepada tahap anaemia dan symptom-simptom anaemia. Jika anaemia adalah teruk, rawatan untuk menyelamatkan nyawa adalah melalui pemindahan darah.

Jika paras haemoglobin tidak terlalu teruk >8g/dl, ubat tambahan seperti tablet iron akan membantu. Ini adalah selepas dipastikan anaemia berpunca dari kekurangan zat besi. Jika disebabkan oleh masalah lain seperti Thalassaemia, tablet zat besi tidak akan memberi apa-apa kesan kepada pesakit.

Selain dari itu diet yang kaya dengan zat besi sangat penting. Saya telah sertakan sekali diet tersebut untuk membantu saudari.

Saya harap penjelasan ini jelas. Jika saudari masih belum membuat pemeriksaan darah, mungkin boleh mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik dan berbincang dengan pegawai perubatan di klinik tentang masalah saudari.



Saya doakan yang terbaik dan berharap masalah saudari akan dapat diselesaikan.

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in