TExt

Assalamualaikum W.B.T

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.

Hubungi saya jika terdapat sebarang persoalan. Insya Allah saya akan cuba menjawab.

Suka Duka BreastFeeding Journey

Petang 9 Disember 2012, seperti biasa saya menghabiskan masa bersama suami yang akan pulang ke Johor malam itu. En suami asyik membebel kerana terpaksa bertolak awal menggunakan bas dan akan terlepas perlawanan bola Malaysia menetang Thailand untuk Piala AFF 2012. Saya pula tiba-tiba teringin nak makan Subway dan meminta suami ke Giant Seri Kembangan bersama adik ipar yang datang melawat hari itu. Ketika itu kandungan saya sudah 37minggu. Rasa penat untuk berjalan jauh membuatkan saya hanya banyak berehat di rumah. Sebelum itu saya dan suami membawa Hadif ke taman di Putrajaya menghilangkan bosannya di rumah.

Tiba-tiba selepas solat Asar, ada air panas yang membasahi paha. Semakin banyak air itu keluar. Masanya dah tiba!! Saya sendiri tidak menyangka. Memang proses kelahiran penuh dengan kejutan. Kandungan lepas saya bersalin ketika 39 minggu tapi kali ini lebih awal. Anak ini tidak sabar untuk menjengah dunia. Jeritan saya meminta suami cepat membawa saya ke hospital mula kedengaran. Saya bersyukur kerana suami masih berada bersama saya dan kedua ibubapa saya ada di rumah untuk menjaga Hadif ketika itu.

Kami kemudian ke hospital yang agak jauh dari rumah dan terpaksa menempuh kesesakan jalan raya. Dalam perjalanan ke hospital, saya tidak henti-henti berdoa agar kelahiran ini dipermudahkan. Sampai di hospital, saya terus ditolak ke dewan bersalin. Ketika pemeriksaan, bukaan cervix ketika itu baru 3sm. Saya meminta untuk diberikan suntikan epidural untuk mengurangkan rasa sakit walaupun ketika itu sakit kontraksi masih boleh ditahan.

Selepas epidural diberikan saya dapat berehat sebentar untuk mengumpul tenaga walaupun kontraksi makin kerap. Suami masih menemani saya di bilik bersalin.

Jam menunjukkan pukul 12pg, graf jantung anak tiba-tiba memberikan bacaan yang tidak cantik. Jururawat yang menjaga saya terpaksa membuat pemeriksaan sekali lagi sambil membantu untuk mempercepatkan bukaan servik saya yang ketika itu baru 7-8cm. Saya berdoa dalam hati agar dapat melahirkan secara normal. Kemudian jururawat mendapatkan doctor pakar yang bertugas untuk memberitahu keadaan saya dan anak.

Pukul 1pg, pemeriksaan bukaan serviks telah sampai 10sm. Doktor pakar mula menyediakan saya untuk masuk ke fasa seterusnya. Kelahiran kali ini saya perlu dibantu dengan bantuan vacuum kerana jantung anak semakin perlahan. Ini disebabkan oleh tali pusat telah membelit leher anak.

Alhamdulillah, pukul 1.54pg, Balqis selamat melihat dunia.




DUGAAN PERTAMA


Selesai bersalin, rasa syukur tak terhingga kerana Balqis selamat berada dalam dakapan saya. Jururawat terus meletakkan Balqis ke atas tubuh saya. Ini adalah penting untuk memberi sentuhan pertama antara ibu dan anak. Awal-awal lagi saya sudah memberitahu jururawat, saya mahu memberikan susu badan untuk anak saya.

Selesai Balqis dibersihkan, terus jururawat berikan kepada saya untuk diberikan susu. Rasa bahagia bila melihat Balqis pandai menghisap puting. Saya berehat sejam di dewan bersalin sebelum dibawa ke wad. Jururawat terus meminta Balqis untuk dibawa ke bahagian nursery untuk memberi ruang kepada saya berehat selepas menggunakan tenaga semasa bersalin tadi.

Suami kelihatan sangat penat. Walaupun saya yang menggunakan tenaga untuk bersalin, tukang teman pun turut sama berasa penat kerana menunggu si kecil keluar. Ruang yang diberi untuk berehat sekejap selepas bersalin tanpa si kecil amat bermakna kepada kami.

Pukul 7pagi, jururawat menghantar Balqis kepada saya untuk menyusu. Jururawat memberitahu Balqis belum membuang air besar. Dia meminta saya memberitahunya sekiranya Balqis membuang air besar. Ini adalah salah satu rutin penting sebelum saya dibenarkan membawa Balqis pulang ke rumah.

Saya memberi susu Balqis setiap 2 jam. Kali ini, saya dapat rasakan setiap kali Balqis menyusu, rasa sakit teramat sangat di bahagian bawah perut saya. Sakit ini sebenarnya adalah sakit yang bagus untuk mempercepatkan proses pengecutan Rahim cuma saya yang kurang selesa. Kan bagus kalau semua orang tahu tentang kehebatan penyusuan susu ibu. Bukan untuk si anak sahaja, ibu turut mendapat manfaat.

Pukul 12 tghari, Balqis belum membuang air besar, hati saya mula gelisah. Jururawat sekali lagi datang bertanya tentang keadaan Balqis. Saya masih belum dapat dibenarkan pulang. Masih perlu memantau keadaan Balqis. Jururawat bertugas memberi cadangan supaya diberikan susu formula jika Balqis belum membuang air besar.


Aduhh.. hati saya mula gelisah. Doa tak henti-henti agar dipermudahkan usaha saya. Ini antara doa yang saya baca untuk membanyakkan susu saya. Saya cuba berfikiran positif. Tak sanggup rasanya melihat Balqis diberi susu formula semata-mata kerana tidak membuang air besar. Besar kemungkinan cuma ususnya lambat bergerak sahaja.




Saya mula berbincang dengan suami apa yang perlu dilakukan. Semestinya bukan susu formula yang akan menyelesaikan masalah. Suami meminta saya bertenang dan terus berdoa agar dipermudahkan. Saya pula semakin kerap menyusukan Balqis dan harapan susu yang diberi dapat dihadam, dicerna dan dikeluarkan sebagai najis.

Alhamdulillah, Allah itu Maha Mendengar. Doa kami diperkenankan. Balqis membuang air besar yang pertama pada pukul 8pm 10/12/12. Rasa syukur yang teramat sangat. Saya perlu lebih yakin dengan kemampuan yang saya ada untuk memberikan yang terbaik untuk si kecil yang tidak tahu apa-apa.

Keesokkan harinya kami dibenarkan pulang ke rumah. Rasa bahagia kerana dapat berehat di rumah sambil dapat melihat keletah anak sulung saya.

Ini baru dugaan pertama saya bersama Balqis. Ada banyak lagi yang kami tempuh bersama.

Menyusukan anak adalah ibadah yang diberi pahala. 
Bukan mudah untuk dapat pahala Allah, akan ada sedikit ujian 
untuk ibu dan anak. 
Ujian yang manis untuk tambah kesabaran kita. 






 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in