TExt

Assalamualaikum W.B.T

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.

Hubungi saya jika terdapat sebarang persoalan. Insya Allah saya akan cuba menjawab.

Soalan 11: Masalah Alahan Kulit

Soalan:

selamat pagi doctor. Sy ingin tahu. Anak sy berumur 3 bln mengalami tanda seperti eczema di pipi (kiri kanan). Semasa sy mengandung, sy mengalami alergi kulit tp sy berpantang makan seperti tidak makan sebarang kekacang, soya sbb pegalaman mengandung sebelum ini anak sy eczema sehingga berumur 4 thn( masih lagi sekarang dalam pemantauan dr segi makanan) 

soalan sy, apa yang perlu sy titik beratkan selain dr faktor2 yg doctor senaraikan di atas? perlukan ujian darah di lakukan untuk mengetahui bb sy alahan dr segi apa?

Jawapan:

Selamat sejahtera puan.

Saya berharap puan telah membaca maklumat tentang eczema yang telah saya jawab sebelum ini dan sudah faham serba sedikit tentang masalah kulit yang sering dihadapi oleh bayi dan kanak-kanak.



Selain dari factor-faktor persekitaran yang telah saya jelaskan, saya perlu terangkan sedikit lagi tentang matlamat utama rawatan eczema.
1- Menyembuhkan kulit
2- Mengelakkan masalah berulang
3- Menyembuhkan symptom bila ia terjadi

Puan perlu tahu asas yang ringkas tentang penjagaan kulit anak tersebut. Cuba gunakan satu jenis sabun dan pelembab sahaja. Menggunakan banyak jenis sabun, losyen, pewangi dan pelbagai produk kulit yang lain boleh menganggu kulit yang sensitive.

Penyembuhan kulit dan mengekalkan kesihatannya adalah sangat penting dalam mengelakkan kerosakan pada kulit yang kronik.

Antara yang boleh dititik beratkan adalah semasa mandi dan menggunakan pelembab kepada kulit selepas mandi.

Semasa mandi, cuba elakkan menggunakan air panas. Cuba kurangkan penggunaan sabun buku atau pembersih kerana ia boleh mengeringkan kulit. Mandian bijirin (oatmeal bath) juga boleh membantu.

Selepas mandi, selalu sapukan pelembap tanpa perlu lap dengan tuala. Ini akan mengekalkan kelembapan kulit, mengurangkan pengewapan air dari kulit dam meningkatkan proses penyembuhan dan memberikan penghalang kepada kulit dari terus menjadi kering dan rosak. Penggunaan losyen adalah tidak digalakkan kerana kandungan nya yang tinggi air atau alcohol yang mudah meresap ke udara.

Selain dari itu, adalah penting untuk mengurangkan jangkitan kuman pada bahagian kulit tersebut. Ibu perlu ada sedikit pengetahuan tentang jangkitan ada kulit anak dan perlu mendapatkan rawatan segera.

Perkara-perkara yang ibu boleh buat di rumah yang boleh membantu mengurangkan masalah ini adalah:

- Pilih baju yang lembut dari kain kapas yang nipis

- Pastikan kuku anak pendek untuk mengelakkan luka jika mereka menggaru

- Pastikan anak tidak panas; cuba elakkan situasi yang panas yang boleh menyebabkan mereka berpeluh

- Belajar untuk kenal masalah jangkitan kulit yang mungkin boleh berlaku

- Elakkan pemakaian emas, nickel atau metal yang boleh melukakan kulit anak

- Jauhkan anak dari binatang peliharaan seperti kucing, anjing, burung atau arnab

- Jika anak masih kecil boleh dipakaikan sarung tangan dan sarung kaki untuk mengurangkan mereka menggaru dan boleh menyebabkan luka

- Ibu boleh mempertimbangkan penggunaan ubat antihistamin untuk mengurangkan masalah gatal pada kulit yang kering. Untuk mendapatkan ubat ini, ibu perlu bawa anak ke klinik untuk mendapatkannya.

Pemeriksaan darah untuk mengesan masalah allergic saya tidak pasti ada dibuat di Malaysia ataupun tidak tetapi ia mungkin tidak membantu.

Ujian kulit (skin test) boleh dilakukan di klinik dermatologi di hospital. Bergantung kepada pakar sama ada perlu ataupun tidak dan sama ada ujian itu boleh membantu kepada rawatan pesakit. Ujian ini tidak perlu dilakukan secara rutin untuk setiap pesakit kerana ia mahal, tidak membantu, dan boleh memberikan keputusan yang salah. Sesetengah makanan yang dielakkan dari pemakanan anak jika mengikut ujian ini yang mungkin penting untuk pembesaran anak tersebut.

Harap jawapan saya membantu puan.

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in