TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


10 Sebab Ibu Perlu Menyusu Anak

Salam sejahtera untuk semua. Terima kasih kerana masih sudi membaca tulisan saya. Walaupun masih mencuba untuk menulis dengan baik, harapan saya agar setiap tulisan saya mendapat manfaat dan kebaikan untuk diguna pakai bersama. Saya sendiri akan cuba memperbaiki segala kekurangan dari semasa ke semasa.

Saya sangat bersemangat untuk membicarakan tentang penyusuan susu ibu. Kalau boleh saya mahu ibu-ibu di luar sana sedar tentang kebaikan susu ibu yang tiada tolok bandingnya dan cuba untuk memberi yang terbaik untuk anak mereka. Di kala kos sara hidup makin meningkat, susu-susu formula yang ada di pasaran turut terkena tempiasnya tapi susu ibu tetap sama tidak pernah berubah harga walaupun khasiatnya jauh lebih baik dari susu formula. Cuma ibu perlu sedikit kekuatan dalam merealisasikan matlamat penyusuan.

Kali ini saya nak kupas bersama anda kebaikan menyusu anak yang sepatutnya menjadi "push factor" untuk anda menyusukan anak terutama jika anda seorang yang sedang menanti kelahiran si kecil anda ataupun tengah menyusukan anak.

Semua sebab-sebab yang saya tulis adalah berdasarkan pengalaman saya menyusukan anak saya yang kini hampir mencecah 2 tahun.



10 Sebab Ibu Perlu Menyusu anak

1- HAK SEORANG ANAK


 "Push factor" yang pertama kenapa ibu perlu menyusu kerana sebagai seorang yang beragama Islam ia adalah untuk memenuhi salah satu hak seorang anak yang baru lahir ke dunia.

Satu firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 233 yang membawa maksud " Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu..."

2- MENGERATKAN HUBUNGAN IBU & ANAK


Saya rasa setiap kali menyusu anak rasa anak itu dekat sangat kita. Dia sendiri akan rasa hangatnya kasih sayang kita bila kita peluk dia. Rasa selamat dalam pelukan ibunya. Setiap kali menyusu saya sentiasa ambil peluang cium dan membelai rambutnya sambil memberikan kata-kata positif untuknya.

Ibu-ibu patut ambil peluang yang sama supaya anak-anak akan sentiasa menghormati kita dan mendengar nasihat kita. Anak-anak yang diberikan kata-kata positif akan menbesar dengan jiwa yang positif.



3- KHASIAT SUSU IBU YANG TIADA TOLOK BANDINGNYA


Allah ciptakan susu ibu sebaik-baik ciptaanNya. Lengkap dengan nutrisi yang tidak mampu ditandingi oleh susu formula.

Kajian menunjukkan DHA dalam susu ibu sangat tinggi. DHA dalam susu ibu mempengaruhi perkembangan otak dan mata anak-anak dan memberi daya tumpuan belajar yang lebih baik.

Susu ibu boleh melindungi si manja dari sebarang masalah kesihatan seperti kolik, lelah, penyakit kulit, telinga, dan alahan.



4- SUSU IBU SANGAT MUDAH


Saya rasa memberi susu badan sendiri sangat mudah berbanding memberi susu formula berdasarkan dua pengalaman yang berbeza untuk anak sulung dan yang kedua.

Mudah dari segi penyediaannya. Jika anak mahu menyusu hanya perlu menyelak baju dan terus sedia untuk diberi kepada si kecil pada bila-bila masa. Tidak perlu risau susu sejuk atau panas kerana susu badan sentiasa berada pada suhu yang terbaik untuk anak kita.

Berbeza dengan susu formula. Ibu atau ayah kena bersihkan botol susu, kena ada air panas dan air suam, kena pastikan suhu sesuai sebelum diberikan kepada si kecil. Kalau waktu malam lagi terasa kesusahanbya sebab kena bangun dan bancuh susu. Kalau keluar berjalan memang lagi terasa kerana perlu membawa segala perkakas yang diperlukan.

Jadi ibu-ibu nak pilih yang mana yer?



5- SUSU PALING MURAH TAPI SANGAT BERKUALITI!


Kos sara hidup makin meningkat dan saya pasti tahun depan bila GST berkuatkuasa beban itu akan lagi terasa.

Kos untuk beli susu rasanya boleh dikurangkan jika ibu-ibu memilih untuk memberi susu sendiri. Para suami sepatutnya memberi galakkan untuk isteri mereka. Susu ibu tak perlukan sebarang kos cuma hanya berbekalkan sekeping hati yang cekal dan penuh dengan kasih sayang.

Susu paling murah dengan harga sebuah kasih sayang dan paling berkualiti untuk anak anda!!



6- SUSU IBU ANTIBIOTIK SEMULAJADI


salah satu kandungan susu ibu adalah antibodi yang tidak mampu dicipta oleh mana-mana syarikat susu formula. Susu yang paling kaya dengan antibodi adalah susu awal ibu iaitu kolustrum.

Antibodi yang dibekalkan oleh susu ibu dapat melindungi anak dari sebarang masalah kesihatan. Balqis sendiri hanya mula demam selepas usianya 1 tahun berbeza dengan abangnya. Dengan adanya antibodi dari ibu yang dihantar melalui susu ibu dengan harapan dapat melawan sebarang jangkitan yang boleh membahayakan kesihatannya.


7- MENYUSU BADAN MENJAGA KESIHATAN IBU



Siapa kata menyusu badan kebaikannya untuk anak sahaja. Menyusu badan turut memberi kebaikan kepada ibu. Pada awal-awal kelahiran bila anak menyusu, anda boleh rasa sedikit sakit di bahagian bawah perut kerana setiap kali anak menyusu, hormon oxytosin akn dirembes dan menolong proses pengecutan rahim.

Dengan menyusu, ibu -ibu boleh mengurangkan berat badan selepas bersalin supaya dapat mengekalkan berat badan asal sebelum mengandung! Menyusu badan juga dapat menjadi ubat perancang semulajadi untuk menjarakkan kehamilan terutama dalam masa 6 bulan pertama jika ibu menyusu anak sepenuhnya.

Yang paling penting dengan memberi susu, wanita dapat mengurangkan risiko kanser payudara yang menjadi salah satu punca utama kematian di Malaysia!

Hebatnya susu ibu! Dua dalam satu!



8- SUSU IBU MENGURANGKAN RISIKO SUDDEN DEATH INFANT SYNDROME


Semua ibu-ibu sedar kebelakangan ini banyak kes-kes kematian melibatkan anak-anak kecil disebabkan tersedak susu. dengan memberi susu ibu, risiko kematian yang disebabkan oleh "sudden infant death syndrome" boleh dikurangkan.

Anak yang menyusu ibu kurang berisiko mendapat reflux berbanding anak yang menyusu botol. gastroesophageal reflux telah dikaitkan menjadi salah satu punca yang menyebabkan kematian mengejut anak-anak kecil.

Dengan menyusu ibu, anak-anak ini boleh mengawal pernafasan dan menelan (swallowing). Anak-anak yang menyusu ibu akan menyusu lebih kerap berbanding anak yang menyusu formula. Ini akan memberi peluang kepada anak-anak ini berlatih mengawal otot pernafasan dan untuk menelan. sebarang senaman yang melibatkan otot mulut dan tekak  membantu membuka ruang pernafasan.


9- SUSU IBU TIDAK TERCEMAR


Susu ibu memang tiada risiko pencemaran kerana ia datang terus dari ibu berbanding dengan susu formula. Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Susu ibu mengandungi sel darah putih hidup yang membunuh bakteria. Antibodi yang dihasilkan oleh susu ibu mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi boleh berupaya membentuk antibodinya sendiri.


10- PAHALA MUDAH BUAT IBU


Saya rasa sebagai seorang yang beragama Islam salah satu matlamat hidup saya untuk mengumpul pahala yang banyak sebelum berangkat ke dunia Sana.

Percayalah ibu-ibu salah satu cara yang paling mudah mendapatkan pahala adalah dengan menyusukan anak sendiri.

Diberitakan wanita yang memberi minum air susu kepada anaknya dari dirinya sendiri akan mendapat 1 pahala pada tiap-tiap titis susu yang diberikannya.

Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh 2 tahun maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

Jika wanita memberi susu dirinya pada anaknya yang menangis, Allah SWT akan memberi pahala 1 tahun solat dan berpuasa.




Subhanallah hebat sungguh ciptaan Allah buat wanita bergelar ibu. Kenapa anda mahu lagi memberi susu formula buat anak anda sedangkan anda sedar susu anda lebih hebat dari susu yang dicipta oleh manusia.

Semua sebab-sebab yang saya utarakan di atas sepatutnya menjadi push factor untuk ibu-ibu memberi susu badan sendiri untuk anak anda.

Semoga ia menjadi semangat untuk ibu-ibu yang masih berjuang memberikan yang terbaik!


      

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in