TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


DENGGI; Adakah Saya Perlu Berhenti Menyusu?

Salam sejahtera semua. Semoga semua diberikan kesihatan yang terbaik untuk menjalankan tugas seharian.

Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman dan dugaan paling berat sepanjang menyusukan Balqis. Menyusu si kecil tidak pernah sunyi dari cabaran sebab susu ibu adalah yang terbaik. Bukan anak saja dapat manfaat malah ibu diberi pahala yang cukup besar jika memberi susunya. Untuk dapat yang terbaik, Allah duga si ibu untuk tahu sekuat mana ibu, setabah mana ibu dalam usahanya memberi titisan-titisan emas itu.

DENGGI 


Semua sudah sedia maklum, wabak denggi pada tahun ini telah meningkat berkali ganda dari tahun lepas. Umpama ikan todak menyerang Singapura. Kes-kes kematian melibatkan denggi juga meningkat! Kerajaan terpaksa membuat pelbagai inisiatif untuk mengawal masalah ini hingga parlimen juga bersidang membincangkan masalah Denggi.

Saya berharap tiada siapa antara kita yang akan kena Denggi. Sakitnya Allah sahaja yang tahu. Berdasarkan pengalaman melaluinya sangat memeritkan tapi mungkin itu juga sebagai kafarah dosa-dosa saya.




Kalau diingat kembali, masa itu Balqis baru 5 bulan. Hari-hari terakhir untuk mencukupkan penyusuan eksklusif 6 bulan.  Kisah bermula bila ayah dan adik saya mula demam. Saya mula rasa tidak sihat. Sekejap panas sekejap baik. Masa tu saya masih bercuti tanpa gaji dan tinggal di rumah mak. Suami pula bekerja di Johor. Mujur mak saya tidak demam. Dia yang membawa kami ke klinik. Bermula dengan adik terpaksa dimasukkan ke hospital dan diikuti dengan ayah. Mak terpaksa berulang alik.

Walaupun sakit, saya kuatkan diri untuk menjaga anak-anak. Allahuakbar, sakit demam denggi memang tak boleh nak digambarkan dengan kata-kata. Badan tak bermaya, selera makan kurang, sendi-sendi rasa nak pecah masa tu. Saya hanya banyak berbaring bersama anak-anak di dalam bilik. Suami saya hanya pulang selepas 4 hari saya demam kerana ada kerja yang perlu dihabiskan. Bila suami ada, barulah saya boleh berehat sedikit kerana dia boleh menjaga anak-anak.

Pagi 26/5/13, saya ke hospital untuk kali ke empat untuk pemantauan denggi. Sebelum itu di rumah, saya mula rasa pelik bila tiba-tiba saja bila hendak menggosok gigi, gusi saya berdarah tanpa henti, tangan saya dipenuhi bintil-bintik merah. Saya mula tidak sedap hati tapi cuba untuk tidak memikirkan yang bukan-bukan. Saya cuba melihat kembali kad pemantauan denggi saya, darah saya tidak begitu teruk, darah beku (platelet) masih atas seratus pada hari sebelumnya.

Kadang-kadang walaupun ada ilmu perubatan, bila diri sendiri jatuh sakit, tidak boleh hendak befikir dengan baik. Sebenarnya apa yang saya alami itu adalah tanda-tanda bahaya demam denggi!

Bila darah diperiksa semula pagi itu, rupanya platelet saya sudah menjunam ke 79. Dengan adanya tanda-tanda bahaya denggi,  dengan tekanan darah yang rendah pada masa itu, terus saja saya ditolak ke zon merah di wad kecemasan. Doktor mahu saya dirawat di wad untuk pemantauan lebih rapi.





Allahuakbar! Masa itu saya cuma teringatkan anak-anak saya saja. Banyak perkara yang bermain di kepala. Teringat kes kematian yang disebabkan oleh Denggi semasa bertugas di HUSM yang melibatkan wanita muda yang masih mempunyai anak-anak kecil. Saya begitu takut andaikata suami datang membawa balik jenazah saya. Air mata tak henti-henti menitis memohon Allah panjangkan usia saya untuk bertemu semula dengan anak-anak. Andaikata ajal menjemput, saya tinggalkan Balqis dengan stok-stok susu saya agar dia membesar dengan air susu ibunya sendiri.

Rawatan di dalam wad untuk kes denggi adalah dimasukkan air secara terus ke dalam badan melalui branula yang dipasang di tangan. Memang tiada rawatan khusus untuk demam denggi. Ketika ini lah saya rasa sedikit segar dan bila mengepam susu tiada masalah susu berkurang kerana badan cukup air.


BAHAYAKAH MENYUSU SEMASA DENGGI?


Saya mengambil kesempatan di dalam untuk mengepam susu saya setiap 4-6 jam. Masa itu, susu saya sentiasa penuh. Rezeki Balqis sentiasa murah. Ada yang menegur "tak bahaya ka bagi susu bila kena Denggi?". Jawapan saya mudah bila kita faham bagaimana Denggi merebak.





Denggi adalah masalah yang disebabkan oleh nyamuk Aedes. Bila nyamuk menggigit tubuh manusia ia akan mengeluarkan virus dengue. Virus denggi akan memberi mesej kepada sistem pertahanan badan kita untuk mengeluarkan antibodi untuk melawan jangkitan ini. Denggi tidak berjangkit antara manusia jadi menyusukan Balqis bukan sesuatu yang membahayakannya malah akan memberi manfaat kepada anak tersebut. Ini kerana antibodi yang dihasilkan dapat diberi kepada anak melalui susu ibu. Alangkah bertuahnya Balqis ketika itu.



BILA IBU TIDAK BOLEH MENYUSUKAN ANAK


Ada beberapa keadaan yang tidak membenarkan ibu menyusukan si anak. Alasan ini adalah berdasarkan status kesihatan kedua-duanya. Garis panduan ini telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2009.

Antara masalah ibu yang tidak membolehkan menyusu anaknya sama sekali adalah ibu yang mengidap HIV positif. Ini adalah satu cara untuk mengurangkan penyebaran virus tersebut kepada bayi melalui susu ibu itu.


 Ada juga keadaan di mana ibu mempunyai masalah kesihatan tetapi perlu mengelak memberi susu ibu sementara waktu. Antaranya jika ibu menghadapi jangkitan Herpes Virus Simplex 1 yang lebih dikenali sebagai cacar air/chickenpox, ataupun jika ibu mempunyai masalah  kesihatan yang memnyebabkan dia tidak mampu untuk memegang anaknya. Ibu-ibu yang sendang mengambil ubat seperti ubat sawan, ubat penenang untuk masalah psychiatri, ataupun ubat-ubat kimoterapi adalah dinasihatkan untuk berhenti sementara dari menyusukan si kecil.




Keadaan bayi yang tidak membenarkannya menerima susu ibu atau susu formula adalah bayi yang didiagnos mengidap "classic galactosaemia" keadaan di mana anak ini memerlukan susu yang tidak mengandungi galaktos, ataupun bayi yang menghidapi penyakit metabolic seperti "maple syrup urine" atau "phenylkonuria".

Ada juga bayi yang memerlukan tambahan susu selain dari susu ibu untuk sementara waktu contohnya bayi yang lahir tidak cukup berat (< 1500gm), bayi yang lahir kurang dari 32 minggu atau bayi yang berisiko mengalami masalah kurang gula dalam darah (hypoglycaemia).

Jadi selain dari masalah-masalah yang saya ceritakan di atas tiada sebab untuk tidak menyusu si kecil anda.

 Semoga ibu-ibu di luar sana sentiasa berusaha walau dalam keadaan apa sekalipun. Sesungguh susu ibu adalah yang terbaik! Penawar buat si kecil =) Semoga pengalaman ini menjadi inspirasi buat ibu-ibu yang masih menyusu. 



0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in