TExt

Assalamualaikum W.B.T

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.

Hubungi saya jika terdapat sebarang persoalan. Insya Allah saya akan cuba menjawab.

Soalan 18: Diabetes Dan Indeks Glisemik

SOALAN:

salam.. doktor nak tanya, customer saya ada ambil vivix, esp dan lain-lain vitamin c dan e.
bacaan diabetes dia biasanya 9, tetapi meningkat kepada 13.

adakah vivix atau esp boleh menaikan paras gula?sy dah tanya apa yg dia makan, dia berpantang atau tidak, tapi dia tak memberi jawapan yg jelas,

mungkin kah faktor itu meningkatkan bsp? selain dari faktor pemakanan dan genetik?
mohon pencerahan.

sekarang dia dah takut nak mkn vivix dan esp. tapi sy minta dia stop sementara esp kerana esp bacaan gukosemik dia 39,. sesuai tak?

JAWAPAN:

Waalaikumsalam.Sebelum saya menjawab soalan ini saya ingin menerangkan secara ringkas tentang masalah diabetes atau lebih sinonim dikenali dengan kencing manis.

Diabetes adalah masalah yang berkait dengan hormon insulin. Terdapat beberapa jenis diabetes seperti DM type 1, DM type 2 ataupu gestational DM yang terjadi kepada wanita yang mengandung.

Kebanyakan pesakit yang selalu ditemui di klinik adalah mereka yang mendapat DM type 2. Secara ringkas pesakit perlu tahu, sedikit info tentang masalah mereka. DM type 2 berlaku kerana hormon insulin yang sedia ada dalam badan mereka kurang efektif berbanding dengan orang lain. DM type 2 memerlukan rawatan seumur hidup bergantung kepada tahap kawalan gula yang dilakukan di klinik.

Sebelum rawatan diberi, doktor akan melihat kepada ujian darah bukan sahaja paras gula dalam darah tetapi juga ujian darah yang dikenali sebagai HbA1c iaitu purata gula untuk 3 bulan yang lalu. Jika paras HbA1c ini lebih daripada 6.5%, bermakna diabetes pesakit tidak berada dalam kawalan yang baik.



Bacaan gula pada glucometer yang baik untuk pesakit DM adalah
Sebelum makan 4-6mmol/L
Selepas makan < 8mmol/L

Saya tidak mahu berat sebelah dalam memberikan komen terhadap sebarang produk yang ada di pasaran untuk membantu mengawal gula dalam darah. Setiap produk tidak sama tindakbalas terhadap individu. Saya selalu nasihatkan kepada pesakit saya, walau apa sekalipun produk yang pesakit ambil, jangan sesekali lupa mengambil ubat yang diberi oleh doktor di klinik. Seperti yang selalu diwar warkan, makanan tambahan hanya membantu mengawal paras gula tetapi bukan untuk merawat. Saya tidak ada hak untuk mengatakan produk itu tidak elok untuk pesakit Diabetes sedangkan ada pesakit yang mengambil produk tersebut tidak mempunyai sebarang masalah.

Saya juga tidak akan melihat kepada hanya satu bacaan glucometer kerana bacaan gula pada glucometer berubah-ubah mengikut pemakanan harian pesakit. Sebagai pegawai perubatan saya lebih banyak menggunakan bacaan HbA1c dan ujian darah dari vena untuk membuat penilaian tahap diabetes pesakit saya.

Jika HbA1c pesakit >8% bermakna kawalan gula pesakit sangat teruk barulah saya akan memberitahu kemungkinan besar boleh disebabkan oleh makanan tambahan yang pesakit ambil.

Selain dari itu faktor lain yang boleh menyumbang kepada paras gula yang tidak terkawal adalah:
1. Tidak mengawal pemakanan dan mengambil makanan berkarbohidrat lebih daripada keperluan seperti nasi, mee, roti dan lain-lain.
2. Tidak aktif.
3. Dos ubat diabetes yang tidak mencukupi.
4. Jangkitan atau sakit seperti demam panas atau demam selsema.
5. Stres.
6. Perubahan aras hormon dalam badan

Salah satu cara untuk mengawal paras gula dalam darah adalah pemilihan makanan yang mengandungi Indeks Glisemik (GI) yang rendah
• GI adalah aturan makanan mengikut kesan kenaikan gula dalam darah
• GI yang rendah : makanan yang diserap dengan perlahan dalam darah
• GI yang tinggi : makanan yang cepat diserap dalam darah
• GI yang rendah dalam makanan dapat membantu menyerap makanan berkarbohidrat dengan perlahan dan mengeluarkan gula dalam darah dengan perlahan. Seterusnya, dapat mengawal kenaikan gula dalam darah

Kebaikan GI yang rendah kepada penghidap diabetes :
i. Mengurangkan risiko penyakit lain seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung
ii. Membantu mengawal berat badan
iii. Membantu mengawal selera makan kerana anda akan rasa kenyang yang berpanjangan
iv. Membantu membaiki aras kolestrol baik (HDL)

Saya harap jawapan saya ini membantu puan memberikan maklumat kepada customer puan yang menghidap kencing manis.





 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in