TExt

Assalamualaikum W.B.T

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.

Hubungi saya jika terdapat sebarang persoalan. Insya Allah saya akan cuba menjawab.

Soalan 19: Masalah Sakit Kepala @ Migrain

SOALAN:

Saya ada seorang rakan wanita, umur lewat 20-an, belum berkahwin, mengalami migrain 3-4 kali dalam setahun. Bermula dari tahun lepas. Dalam serangan migrain terbaru, dia hanya mengambil panadol dan tidur untuk mengurangkan kesakitan. Setiap kali serangan, jika panadol tidak diambil, migrain boleh berterusan sepanjang hari.

Soalannya: 
1- Perlu tak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut? 
2- Bolehkah berjumpa doktor ketika bukan waktu migrain? 
3- Adakah migrain ada kaitan dengan penyakit gastrik?

JAWAPAN:

Terima kasih atas soalan tentang penyakit migrain.



Untuk pengetahuan semua, sakit kepala adalah masalah yang sering kali menyebabkan pesakit datang ke klinik tapi bukan semua sakit kepala adalah migrain.

Diagnosis pesakit migrain dibuat melalui sejarah sakit kepala, pemeriksaan dan kriteria yang dikeluarkan oleh International Headache Society (IHS). Untuk membuat diagnosis pesakit menghadapi masalah migrain ada beberapa kriteria yang perlu diketahui.

Antara ciri-ciri sakit kepala yang disebabkan oleh migrain adalah:

- Sakit kepala yang berulang
- Yang mengambil masa 4-72jam jika tidak dirawat
- Hanya melibatkan sebelah bahagian kepala sahaja
- Sakit yang berdenyut
- Selalunya ada simptom-simptom lain seperti loya, muntah, tidak boleh lihat cahaya atau tidak boleh dengar bising
- Kadang-kadang sesetengah pesakit mendapat aura yang melibatkan penglihatan

Punca masalah migrain kemungkinan besar adalah disebabkan oleh persekitaran dan faktor genetik. Perubahan hormon juga memainkan peranan yang tersendiri yang menyebabkan 2 dar 3 pesakit migrain adalah wanita.

Migrain dipercayai disebabkan masalah salur darah pada bahagian otak tetapi masalah sebenar tidak diketahui.

Pada pendapat saya, jika pesakit menghadapi sakit kepala yang kerap eloklah berjumpa dengan doktor untuk berbincang masalah ini. Jika kriteria sakit kepala tersebut tidak memenuhi kriteria migrain, mungkin penyiasatan lanjut perlu dilakukan. Mungkin pesakit memerlukan penyiasatan seperti pemeriksaan darah atau radiologi bergantung kepada doktor yang membuat pemeriksaan.

Bagi saya tiada masalah jika pesakit datang pada waktu yang tidak ada sakit untuk berbincang masalah beliau. Jika beliau datang pada waktu sakit, mungkin rawatan boleh diberikan untuk mengurangkan sakit tersebut.

Migrain dan gastrik adalah masalah yang berbeza. Migrain adalah melibatkan salur darah di otak (neurovascular) manakala gastrik adalah masalah yang melibatkan sistem penghadaman kita. Gastrik atau gastritis adalah keadaan di mana bahagian perut mengalami keradangan. Ia boleh disebabkan pelbagai perkara seperti merokok, pengambilan ubat tahan sakit, stress, pembedahan major, kebakaran, atau jangkitan kuman.

Beberapa tips untuk mengurangkan masalah sakit kepala:
1- Pesakit harus tahu faktor-faktor yang boleh mencetuskankan sakit kepala/ migrain contohnya stress, makanan yang mengandungi MSG, pengambilan ubat perancang
2- Pesakit boleh membuat senaman secara regular. Senaman mengurangkan tekanan.
3- Cuba kurangkan tahap tekanan/ stress
4- Cuba untuk tetapkan rutin harian. Dapatkan tidur yang cukup dan diet yang seimbang
5- Berhenti merokok dan kurangkan pengambilan kafein
6- Kurangkan kesan hormon estrogen terutama jika wanita mengambil pil perancang atau hormon replacement therapy

Beberapa makanan dan minuman yang boleh mencetuskan migrain:
- Keju
- Alcohol
- Pemanis tiruan
- Kafein
- Jeruk
- Coklat
- Beberapa sayur seperti avocados, bawang, kacang
- Kismis
- Peanut butter

menurut satu sumber, pengambilan vitamin B complex, calcium dan magnesium boleh membantu mengurangkan masalah ini.

Harap jawapan saya membantu saudari memberi maklumat kepada kawan yang mengalami masalah sakit kepala.

Semoga masalahnya dapat diatasi


 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in