TExt

Assalamualaikum W.B.T

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.

Hubungi saya jika terdapat sebarang persoalan. Insya Allah saya akan cuba menjawab.

Bila Anak Lambat Bercakap

Sebelum ini saya pernah bercerita tentang anak sulung saya yang lambat bercakap. Mula-mula agak malu untuk berbicara tentang penghuni sulung rahim saya yang berbeza dari kanak kanak lain tapi sejak kebelakangan ini saya cukup bangga memilikinya.

Hadif sudah 5 tahun dan bakal menginjak ke umur 6 tahun mac depan. Sekarang Hadif dalam fasa persediaan untuk bersekolah di tahun 1 pada 2017 nanti. Saya masih berusaha untuknya malah lebih lagi tahun ini untuk menyediakan Hadif memasuki alam persekolah yang amat mencabar.



Baru baru ini saya bertemu dengan pasangan yang mempunyai anak yang bermasalah lebih kurang sama seperti hadif sewaktu membawa hadif ke terapi pertuturan. Memang tidak dinafikan pasangan ini agak tertekan dengan masalah yang dihadapi oleh anak tunggal mereka yang berumur 2 tahun. Saya sendiri telah mengalami dan melaluinya. Saya cuba berkongsi sedikit pengalaman dengan mereka dan memberi sedikit suntikan semangat untuk berusaha untuk anak kecil mereka yang masih muda.

Saya bersyukur pasangan ini sedar sewaktu usia anak itu masih awal lagi. Banyak ibu bapa yang datang ke klinik yang saya jumpa datang dengan anak yang bermasalah pada usia yang bagi saya agak lewat. Bagi saya rawatan awal perlu dimulakan seawal masalah anak diketahui. Rawatan untuk masalah anak lambat cakap bukan mengambil masa sehari dua, mungkin bertahun baru hasil yang dikehendaki dapat dilihat.

Saya sudah mengesan masalah Hadif seawal umur 2 tahun. Mungkin sedikit teliti kerana mempunyai ilmu perubatan dan dikelilingi dengan kawan-kawan yang mempunyai pengalaman untuk mendapatkan pandangan. Tidak dinafikan saya mendapat tentangan dari ibubapa saya untuk mendapatkan rawatan awal untuk Hadif. Bagi ibubapa saya, anak lelaki selalu lambat cakap berbanding anak perempuan dan tidak perlu risau dengan masalah Hadif. Masa akan membuatnya bercakap seperti kanak2 lain. Naluri keibuan saya mempunyai pandangan yang berbeza. Saya terpaksa menentang pandangan ibubapa saya demi masa depan Hadif. Biar saya lakukan yang terbaik untuk anak sulung saya. Itu janji saya untuk penghuni pertama rahim ini. Sejak itu saya mencari maklumat tentang rawatan untuk Hadif meskipun masalah sebenarnya belum diketahui.

Langkah Pertama Hadif


Langkah pertama saya adalah mendapatkan pandangan dari pakar di klinik kanak2 di hospital. Ketika ini, saya bertugas di Putrajaya, jadi hospital yang dituju adalah Hospital Putrajaya. hadif juga dirujuk kepada bahagian audiologi ( pendengaran) untuk menjalani ujian asas pendengaran dan dirujuk kepada bahagian terapi pertuturan. Dari sinilah saya mula mengenali fungsi setiap bahagian untuk masalah Yang dihadapi Hadif. Alhamdulillah Hadif lulus ujian pendengaran bererti Hadif tidak mempunyai masalah pendengaran yang boleh menyebabkan dia lambat bercakap.

Temujanji dengan pakar terapi pertuturan di hospital kerajaan agak lambat kerana pegawainya agak terhad dan mempunyai ramai pesakit. Setelah berbincang dengan suami, saya mendapatkan khidmat pakar terapi pertuturan swasta. Pakar terapi pertuturan yang pertama yang saya bawa Hadif untuk penilaian adalah di Speech Help di Petaling Jaya. Memang tidak dinafikan betapa sedih hati saya bila dinilai oleh pakar tahap pertuturan Hadif adalah kurang dari umur setahun walaupun ketika itu Hadif sudah genap umur 2 tahun. Ini ujian untuk saya sekeluarga dan saya mula belajar terima. Saya tidak putus asa untuk terus mencari solusi terbaik untuk anak sulung saya. Biarlah berapa banyak sekalipun duit yang akan dilabur tetapi yang penting Hadif akan mendapat yang terbaik.

Sejak dari situ, saya mula berjumpa pakar terapi pertuturan dari seorang ke seorang untuk mendapatkan seorang yang pakar yang boleh memberikan yang terbaik buat permata hati saya. Saya bertemu dengan En Azmarul Aziz, seorang pakar terapi pertuturan di innovative hearing, Kuala Lumpur. Setelah beberapa kali sesi Hadif bersamanya, dia mencadangkan agar Hadif dihantar untuk program intervensi awal. Dia mencadangkan sebuah tempat yang dikendalikkan oleh sahabatnya iaitu Chatterkidz Therapy di Puchong.

Alhamdulillah Hadif mula menyertai program tersebut pada june 2012. Banyak perubahan yang saya sedari sejak Hadif berada di dalam program tersebut. Cuma hadif belum dapat memanggiL ibu dan walid lagi. Hadif berada di Chatterkidz terapi untuk 6 bulan sebelum saya bersalin anak kedua dan membuat keputusan untuk menyambung rawatan hadif di pulau pinang.

Saya juga membawa Hadif berjumpa dengan pegawai psikologi kanak2 di NASOM untuk membuat penilaian untuk memastikan masalah Hadif. Syukur kepada Allah, keputusan penilaian tersebut mendapati Hadif tidak menghadapi masalah autism. Kelewatan pertuturan yang dialaminya mungkin disebakan oleh masalah sensori.

Memang tidak dinafikan rawatan untuk anak yang bermasalah seperti Hadif banyak di ibu negara berbanding di negeri lain namun atas sebab tertentu saya terpaksa membuat keputusan tersebut. Sebelum berpindah, saya sudah mendapatkan temujanji di Pacific speech therapy untuk hadif memulakan rawatan dan mengikuti program intervensi Awal bersama guru yang berpengalaman dalam mendidik anak istimewa.

Satu lagi bidang yang perlu diberi perhatian untuk anak seperti Hadif adalah terapi carakerja. Saya sebagai pegawai perubatan tidak begitu arif tentang bidang ini sebelum mempunyai Hadif tetapi setelah dikurniakan anak syurga kesayangan ini, barulah saya tahu kepentingan bidang ini dalam membantu rawatan Hadif. Pegawai terapi cara kerja membantu untuk Hadif membina kemahiran motor kasar, motor halus dan sensori Hadif.

Rawatan Hadif Di Kedah

Di kedah, di kawasan tempat tinggal saya, masih ramai ibubapa yang kurang memberi perhatian tentang masalah anak-anak ini. Pandangan yang agak lama seperti anak lelaki memang lambat bercakap, anak akan bercakap sendiri sering kali menjadi alasan untuk mereka bila mula sedar tentang masalah ini. Mungkin kurang pendedahan dan latar belakang keluarga menjadikan rawatan anak dimulakan agak lewat.

Setelah beberapa ketika saya membuat rawatan Hadif di Pacific Speech Therapy, saya turut mencari pusat pendidikan intervensi awal di sekitar Sungai Petani. Alhamdulillah, saya bertemu dengan seorang psikologi kanak-kanak yang membuka pusat seperti Chatter Kidz yang bernama Ms Ew. Pusat yang diberi nama D'Excel Kidz sememangnya memberikan pendidikan dan intervensi awal untuk anak2 yang memerlukan perhatian lebih. Alhamdulillah Hadif mengikuti program ini setahun bersama Ms Ew.

Selepas berbincang dengan suami, saya mula menghantar Hadif mengikuti tadika di Brainy Bunch yang menggunakan cara montessori dalam mengajar ank-anak. Saya bersyukur kerana tenaga pengajar di Brainy Bunch memahami masalah yang dihadapi oleh Hadif.


Dalam masa yang sama Hadif ada mengikuti sesi terapi cara kerja di Kidzgrow, Pulau Pinang. Setelah beberapa ketika berulang alik ke Pulau Pinang, ada pusat baru yang dibuka di Sungai Petani iaitu SI World dan Hadif adalah antara yang terawal mengikuti sesi terapi di situ. Harga untuk mengikuti terapi di SI World adalah lebih murah dan mengikut taraf hidup penduduk di kawasan utara. Sehingga kini Hadif masih mengikuti terapi tersebut.

Bila bercerita soal rawatan Hadif sememangnya saya berusaha sehabis baik untuk anak kesayangan saya. Saya mahu Hadif boleh berdikari sekiranya ditakdirkan saya tidak mampu bersamanya lagi. Pasangan yang mendengar cerita saya agak terkejut mendengar pelbagai usaha yang saya lakukan untuk anak saya. Memang terasa agak berat untuk anak semuda Hadif melalui apa yang lakukan untuknya tetapi usaha ini perlu untuk masa depannya. Hasil dari usaha rawatan Hadif bukan boleh dilihata dalam sehari dua tapi mengambil masa bertahun untuk melihat hasilnya. Sebab itu saya mula dari usia Hadif seawal 2 tahun.

Take Home Message

Beberapa perkara yang saya perlu nasihatkan kepada ibubapa kerana saya sedih bila bertemu dengan anak2 yang mempunyai masalah seperti Hadif tetapi mendapatkan rawatan yang agak lewat. Ada juga ibu bapa yang datang ke klinik dengan anak bermasalah tetapi sekadar mahu mengisi borang pendaftaran orang kurang upaya. Bagi saya ia tidak adil untuk anak tersebut tanpa diberikan apa2 rawatan:

Ibubapa perlu mendapatkan pandangan dari pegawai perubatan seewaktu mendapatkan rawatan susulan anak di klinik kesihatan Sekiranya anak mempunyai masalah. Jangan terlalu mengikut pandangan2 yang agak lapuk.

Dapatkan rawatan anak seawal mungkin sama ada dari hospital kerajaan atau pusat intervensi swasta

Usaha sehabis baik untuk masa depan anak anda

Jangan malu untuk bertanya dengan ibubapa lain yang juga mempunyai anak bermasalah. Kita mungkin boleh berkongsi rasa dan usaha untuk anak kita.

Mempunyai anak yang berbeza dari anak normal adalah anugerah dari Allah. Dia akan mendidik kesabaran kita dan insya Allah pahala berlipat ganda untuk anda. Dia ladang pahala kita.

Semoga perkongsian ini membantu ibubapa diluar sana untuk memberikan yang terbaik untuk buah hati anda.



 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in