TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


Rawatan Kecemasan Bila Hidung Berdarah

Beberapa malam lepas, selepas Isyak, tiba-tiba Balqis datang kepada saya, "ibu, hidung". Saya melihat hidungnya, Allahuakbar, darah merah meleleh dari lubang hidung sebelah kanan. Terus saya picit hidung tersebut dan menundukkan kepalanya. Saya memanggil si abang dan bertanya sama ada Balqis ada jatuh atau si abang ada memukul si adik . Alhamdulillah selepas beberapa minit, darah dari hidung Balqis berhenti sendiri. Saya cuba memeriksa hidung Balqis, memang susah untuk merawat anak sendiri. Balqis tidak jatuh atau bergaduh dengan abangnya. Mungkin cuaca panas pada waktu malam kebelakangan ini membuatkan salur darah kecil di dalam hidungnya mengembang dan pecah dengan sendiri.

Hidung berdarah (epistaxis) memang salah satu aduan biasa yang membuatkan pesakit datang mendapatkan rawatan di klinik. Beberapa perkara yang akan di tanya oleh doktor terutama jika terdapat masalah-masalah lain yang turut dialami oleh pesakit seperti senang lebam, senang berdarah di bahagian badan yang lain, masalah hidung berdarah berulang-ulang, masalah sinusitis, ada kemalangan sebelum hidung tersebut berdarah ataupun terdapat pengambilan ubat-ubat. Ini adalah untuk mengetahui punca hidung berdarah tersebut datang dari masalah hidung itu sendiri atau masalah sistemik seperti leukaemia, masalah hati, kekurangan vitamin ataupun tumor.

Kebanyakan kes hidung berdarah berlaku di bahagian depan hidung. Bahagian ini kaya dengan salur darah dan bahagian ini dinamakan 'Little's area'. Pendarahan dari belakang hidung juga boleh berlaku dan selalunya pendarahan yang melibatkan bahagian belakang hidung lebih lama dan susah untuk dikawal. Pendarahan pada belakang hidung selalunya melibatkan kedua-dua belah lubang hidung dan darah boleh mengalir ke dalam mulut.






Antara punca-punca yang boleh menyebabkan hidung berdarah

  • trauma - kena tumbuk
  • benda asing - korek hidung
  • sinusitis, rhinitis
  • pengambilan ubat spray hidung
  • masalah darah - leukaemia, anaemia
  • masalah pada hati

Bila hidung berdarah, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah bertenang, jangan panik. Memang mudah untuk diungkapkan tapi bila berhadapan situasi sebenar apatah lagi jika ia melibatkan ahli keluarga sendiri, susah untuk kita bertenang.

Kemudian cuba untuk hentikan pendarahan tersebut.


  • picit bahagian bawah hidung yang lembut untuk menutup lubang hidung
  • kekalkan tekanan pada hidung paling minimum selama 5 minit
  • tunduk kepala ke bawah untuk mengelakkan darah memasuki bahagian mulut (jangan dongak ke atas kerana ini boleh menyebabkan darah mengalir ke dalam mulut)
  • bernafas melalui mulut
  • boleh letak ais di kepala atau di dalam mulut untuk membantu mempercepatkan kesan pengecutan salur darah


Jika pendarahan masih belum berhenti, perlu dapatkan rawatan segera di hospital.

Saya berharap info ringkas ini membantu 
anda sekiranya menghadapi situasi ini.


Bagaimana Memberi Ubat Kepada Anak Kecil?

Sebagai seorang ibu, saya tidak dapat lari dari masalah memberi ubat kepada anak-anak saya. Setiap kali anak demam atau sakit, saya akan jadi sangat gelisah. Saya rasa setiap ibu juga mempunyai perasaan yang sama. Pelbagai benda yang bermain di kepala terutama bagaimana untuk memujuk anak untuk makan ubat.

Antara Hadif dan Balqis, saya rasa agak sukar untuk memujuk Balqis si adik makan ubat. Mungkin sebab abang Hadif sudah besar dan faham kenapa ibu memberinya ubat. Cukup untuk saya menerangkan kepentingan untuk dia makan ubat dan memberi sedikit jus untuk mengurangkan rasa ubat yang tidak disukainya. Berbeza dengan Balqis yang agak cerewet. Kali terakhir Balqis demam adalah pada awal Januari lepas. Masa itu, bermula dengan Hadif yang tiba-tiba demam, berjangkit kepada saya dan seterusnya dengan Balqis.

Balqis tidak suka ubat air paracetamol yang saya sentiasa sediakan dalam peti sejuk di rumah. Oleh sebab itu, saya terpaksa menyediakan ubat demam dalam bentuk tablet yang dibeli di farmasi untuk si kecil ini. Dos ubat ini sama dengan ubat cecair dari klinik cuma ia dalam bentuk tablet yang boleh dikunyah, berperisa strawberi. Balqis sangat suka.



Satu insiden kecil berlaku disebabkan kesedapan ubat itu dan kecuaian saya. Saya masih ingat, pagi itu, suhu badan Balqis tiba-tiba naik semula. Saya cuba memberi ubat untuk dimasukan melalui dubur untuk menurunkan suhu badan Balqis tetapi Balqis melawan. Saya terpaksa mengejutkannya untuk bangun makan ubat pagi itu. Selesai memberi ubat dan membasahkan kepalanya, saya meninggalkannya untuk membersihkan diri dan mendirikan solat. Rupanya saya terlupa untuk menyimpan semula ubat paracetamol yang saya beri kepada Balqis. Bila saya datang semula ke katil, ubat yang sepatutnya masih berbaki 2-3 biji lagi sudah kosong. Allahuakbar! Saya masih belajar menjadi ibu yang terbaik tetapi tidak dapat lari dari membuat kesilapan dan kecuaian.

Terlebih mengambil ubat paracetamol boleh merosakkan hati. Pagi itu juga, saya mendapatkan nasihat dr pakar di klinik tempat saya bertugas dan kemudian merujuk anak saya ke hospital. Balqis dimasukkan ke wad untuk pemerhatian. Alhamdulillah, keputusan darah fungsi hati Balqis normal dan level toksikologi untuk paracetamol dalam darah Balqis tidak tinggi. Dua hari di dalam wad bersama Balqis sungguh membuatkan saya berendam air mata memikirkan kecuaian sendiri sebagai ibu. Walaupun saya seorang doktor, bila si pesakit adalah darah daging sendiri, mahu saja diri ini dijadikan pengganti dari terus melihat si kecil dicucuk dan terus sakit. Namun apakan daya.

Kisah kecuaian saya ini patut dijadikan pengajaran buat semua agar tidak melakukan yang sama. Sekiranya berlaku di luar kawalan anda, dapatkan terus rawatan di hospital.

Saya juga ada dapatkan sedikit tips yang saya rasa berguna untuk ibubapa dalam usaha merawat si kecil sekiranya perlu mengambil ubat. Tips-tips ini adalah dari KKM.



1. Beri hak memilih kepada anak

Contoh sekiranya anak tidak boleh mengambil ubat dalam bentuk tablet, boleh minta doktor bagi dalam bentuk cecair atau pujuk anak "nanti ibu potong kecil2 untuk abang makan"
Ada juga anak-anak yang memilih perisa ubat. Di klinik kesihatan,  tiada perisa yang boleh dipilih.
Hadif dulu saya pernah cuba paracetamol dalam perisa oren.
Atau ibu boleh pujuk dengan memberi ganjaran sekiranya anak sudah sembuh. Tapi kala berjanji beri ganjaran, make sure ibu tunaikan.

2. Guna alat yang sesuai untuk beri ubat. 

Kebanyakan ibu bapa beri ubat menggunakan picagari. Hadif dan Balqis saya beri dalam bentuk cawan kecil yang bersukat yang kadang-kadang disertakan sekali bersama ubat.

3. Senyum dan wujudkan suasana positif.

Ini adalah untuk memberi dorongan kepada si kecil.

4. Terangkan kepada anak kepentingan mengambil ubat

Saya suka untuk memberitahu anak2 kenapa dia perlu makan ubat supaya dia faham. Saya mahu mereka rasa kita sayang pada mereka sebab itu kita tak mahu mereka sakit.

5. Berbincang dengan doktor tentang jumlah ubat dan kekerapan pengambilannya

Sebagai pegawai perubatan, saya akan memastikan jumlah kekerapan pengambilan ubat adalah jumlah yg sedikit tetapi berkesan untuk merawat anak kecil ataupun memberi satu ubat yg boleh merawat satu atau dua masalah sekali.

6. Masukkan ubat ke arah dalam pipi untuk mengelak rasa pahit

Ini adalah untuk ibubapa yang menggunakan picagari dalam memberi ubat kepada si kecil.

7. Campur ubat dalam makanan 

Perkara ini boleh dibincang dengan doktor atau pegawai farmasi sekiranya dibenarkan
Sejujurnya saya tidak berapa setuju dengan cara ini. Contoh, jika ibu mencampurkan ubat dengan susu yang selalu diminum oleh anak, saya bimbang ini akan memberi kesan seterusnya anak tidak mahu minum lagi susu kerana takut rasanya berbeza dari sebelumnya.

8. Puji anak jika berjaya mengambil ubat

"Good boy/ girl" itu yg selalu buat untuk Hadif dan Balqis

9. Pujuk dengan sabar

Memang bila anak sakit, ibu dan bapa perlu ada kesabaran yang tinggi, bukan saja untuk memberi ubat tetapi juga sewaktu melihat mereka berada dalam kesakitan. Sehingga saya rasa sebagai ibu, mahu saja saya yang menanggung sakit itu dari terus melihat tubuh kecil menanggung kesakitan.

10. Untuk ibu yang kreatif boleh bermain doktor dengan anak patung.

Pujuk anak dengan bermain dan bercerita.



Semoga tips- tips dan cerita pengalaman ini membantu semua.



 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in