Penulis: Reyna Ibrahim
Terbitan: Must Read Sdn Bhd
Mukasurat: 190
Sejak kebelakangan ini saya suka membaca buku buku motivasi. Hidup kita tak dapat lari dari ujian. Ujianlah yang memberi kekuatan kepada kita. Tak kisahlah ujian apa sekalipun, rumah tangga, kesihatan, anak anak, wang ringgit. Ada saja cara ujian yang Allah beri. Allah beri sebab Dia sayang. Saya selalu teringat kata kata ustaz Ebit bila dilanda ujian - Allah uji sebab Allah SAYANG kita.
Buku MOVE ON ini tulisan dari hati penulis Reyna Ibrahim. Bagaimana dia bangun kembali dari ujian hidup yang dilaluinya. Dia diuji dengan keruntuhan rumah tangga. Mana ada orang berkahwin ingin bercerai. Perceraian merupakan satu perkara yang takkan terlintas di hati mana mana insan yang berkahwin. Semuanya ingin bahagia hingga ke akhir usia. Perceraian akan mengubah hidup seseorang 360 darjah.
Bukan mudah untuk menerima ujian. Mulut boleh la kata "saya redha" tapi dalam hati belum tentu perasaan itu adalah sama. Reyna Ibrahim menulis dari hati, penuh puitis kata kata yang diungkapkan. Adakala air mata ini tumpah tanpa sedar ketika membaca naskhah ini.
Saya tertarik dengan cara yang diperkatakannya. Bila mana diri diuji, kembali dekatkan diri dengan Allah. Ini cara terbaik Allah panggil kita balik padaNya. Dia ingin tunjukkan kasih sayangNya lagi hebat dari manusia. Dia ingin mendengar rayuan hambaNya.
Bermula dengan istigfar, solat sunat tahajjud, zikir, doa semuanya akan membantu menenangkan jiwa yang berduka.
Saya teringat tazkirah ustaz Ebit tentang kehebatan istighfar. Semasa Imam Ahmad Ibnu Hambal keluar kota, dia ingin berehat sementara di dalam masjid, lalu dia dimarah oleh orang masjid kerana tidak boleh tidor dalam masjid. Lalu Imam Ahmad ibnu Hambal ingin berehat di kaki ruang masjid pun tak boleh. Sampai lah dia bertemu dengan seorang pembuat roti yang menawarkan Imam ibnu Hambal datang ke rumahnya. Imam Ahmad Ibnu Hambal melihat pembuat roti itu melakukan kerjanya sambil beristigfar. Sambil berbual dengan Imam Ahmad Ibnu Hambal, pembuat roti itu pun berkata, "aku dah dapat semua yang aku nak, cuma satu ja lagi aku belum dapat, yang aku nak sangat", Imam Ahmad kemudian bertanya " apa yang engkau nak sangat". Pembuat roti pun berkata " aku ingin bertemu dengan Imam Ahmad". Allahuakbar Imam Ahmad terkejut lantas berkata "rupa rupanya dengan Istighfar kamulah yang membawa aku ke sini"
Itu antara yang diperkatakan oleh Reyna Ibrahim dalam buku MOVE ON ini. Banyak lagi yang menarik. Cerita realiti, cerita hati seorang wanita kuat yang ingin bangun lepas diuji.
Apa sekalipun ujian yang datang, formula yang sama boleh diguna pakai. Insya Allah akan tersingkap hikmah di sebalik ujian apabila hati telah REDHA.
Saya bagi 5 bintang untuk buku ini. Boleh cari dekat kedai buku MPH. Pujuk lah hati yang duka. Semoga setiap ujian menjadi tiket buat kita ke syurga! 😀

0 comments:
Post a Comment