TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


Taman Belia Pulau Pinang

Cuti sekolah kali ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya. Selepas luka berkhatan Hadif sembuh, saya berkesempatan membawa anak anak berkelah di

Taman Belia Pulau Pinang
10450 Georgetown, 
Pulau Pinang 


Taman Belia ini ialah taman perbandaran Pulau Pinang yang terletak tidak jauh dari Georgetown dan bersebelahan dengan Botanical Garden. Taman Belia ini dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang memberi kemudahan percuma kepada pengunjung.

Taman ini menyediakan kemudahan kolam renang bertingkat dan lanskap menarik dan dibuka secara percuma kepada orang awam. Taman ini mula dibuka sejak tahun 1972 dan menyediakan kemudahan kolam renang, kemudahan tempat letak kereta, tempat solat, bilik persalinan tandas yang dijaga dengan baik dan setaraf hotel 5 bintang.

Alhamdulillah, anak anak sangat teruja bermain air di sini sambil dapat menikmati keindahan alam semulajadi. Kebersihan sentiasa dijaga oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan terdapat pekerja pekerja yang sedang membersihkan daun daun kering yang terdapat dalam kolam renang.

Jom layan gambar gambar yang sempat saya rakamkan.













10 Perkara Kena Tahu Bila Anak Kena CHICKENPOX

Dah lama saya tak menulis tentang kesihatan. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman mengendalikan antara penyakit yang biasa dihadapi oleh kanak kanak iaitu CHICKENPOX. Ini kerana beberapa minggu ini, anak anak saya mendapat jangkitan penyakit ini. 

Selalu orang salah panggil penyakit ni sebagai campak tapi sebenarnya ia bukan campak. CHICKENPOX adalah cacar air. Ada juga yang panggil sebagai jintungan atau bertih (ikut dialek daerah). Ia disebabkan oleh Virus Varicella Zoster yang senang sangat berjangkit. Sesiapa saja boleh kena jangkitan virus ini jika belum pernah dapat. Ia jangkitan yang sering berlaku pada kanak kanak dan jangkitan boleh menjadi lebih teruk jika golongan dewasa yang mendapatnya. 

Ia berjangkit melalui sentuhan atau titisan cecair dari kulit. Masa yang paling banyak jangkitan boleh disebarkan adalah pada 48jam sebelum ruam ruam air timbul dan pada masa cacar air kering dan berkeruping. 

Selalunya jangkitan ini mengambil masa 7 hingga 14 hari untuk sembuh jika tiada komplikasi lain. Bila cacar air sembuh, virus akan tinggal dalam keadaan tidak aktif dalam sistem saraf. Ia boleh menjadi aktif sekiranya sistem pertahanan badan lemah dan jika seseorang itu terdedah kepada mereka yang menghidap chickenpox, dia boleh mendapat jangkitan KAYAP atau Shingles. 

Saya menerima pesanan dari guru tadika anak yang mendapati terdapat bintik bintik air di badannya. Pagi itu sebelum ke klinik, saya tidak perasan. Balqis juga tidak demam seperti yang sepatutnya. Saya segera mengambilnya di tadika untuk mengurangkan sebaran virus tersebut kepada kanak kanak lain.

Bintik bintik air akan tumbuh sedikit demi sedikit dari kepala hingga ke seluruh tubuh anak. Ia akan diselangi dengan demam yang turun naik. Anak akan berasa tidak selesa ketika keadaan ini berlaku.

Ini semasa hari ke3 CHICKENPOX



Bintik bintik air yang tumbuh di bahagian tangan 



Saya ingin berkongsi beberapa perkara untuk ibu yang menjaga anak yang mendapat jangkitan chicken pox. Ini adalah melalui pengalaman saya sendiri.

1. Dapatkan kepastian dari doktor di klinik tentang jangkitan yang dihadapi oleh anak. Saya harap tidak ada ibu yang membuat diagnosis sendiri di rumah. Ini kerana penyakit tangan, kaki dan mulut juga boleh menyerupai chickenpox cuma kawasan badan yang mendapat ruam ruam air adalah berbeza.

Jangan lupa dapatkan surat pengesahan untuk mendapatkan cuti kuarantin.


2. Dapatkan rawatan untuk anak. Selalunya di klinik kesihatan, doktor akan beri:

  Ubat demam - PARACETAMOL 
sebab suhu badan anak akan turun naik sehingga bintik bintik air keluar 
habis hingga ke bahagian kaki. 
Beri ubat demam ikut arahan yang diberikan 

 


Ubat Gatal - CHLORPHENIRAMINE 
ubat ini adalah untuk kanak kanak yang berumur 2 tahun ke atas. 
Ia boleh menyebabkan mengantuk. 
Ia akan mengurangkan ketidakselesaan pada badan anak dan mengurangkan anak menggaru



Ubat sapu - CALAMINE LOTION
Ini adalah ubat sapu yang boleh mengurangkan rasa tidak selesa pada badan anak. 
Saya menggunakan calamine lotion yang dititis bersama dengan 
essential oil LAVENDER dan TEA TREE 
untuk mencepatkan bintik bintik air kering, sebagai antiviral dan 
untuk mengurangkan parut pada badan anak saya. 


Minyak pati lavender dapat membantu proses penyembuhan bintik bintik air dan mengurangkan parut. selain daripada itu ia mempunyai bahan yang dapat mengurangkan sakit dan baunya membantu memberikan ketenangan pada anak.

Minyak pati tea tree pula bertindak sebagai bahan anti radang dan bahan antiseptic yang telah dikatakan dapat membantu masalah jerawat, jangkitan kulit impetigo, jangkitan luka dan pelbagai lagi.

3.Untuk ibu atau bapa yang berkerja di sektor awam, bermula 1 Januari 2017, menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11/2016, Penjawat awam diberi kemudahan untuk menjaga anak yang menghidap penyakit berjangkit yang perlu mendapat perakuan dari mana mana pegawai perubatan kerajaan atau swasta yang menyatakan anak perlu dikuarantin.

Tempoh yang diluluskan maksimum 5 hari 
Syarat anak dikuarantin
i. Bawah 18 tahun 
ii. Bawah 21 tahun jika masih belajar 

Senarai Penyakit Berjangkit 
1. Penyakit Tangan Kaki dan Mulut 
2. Demam Denggi atau Denggi Berdarah 
3. Campak (Measles) 
4.Chickenpox
5. Diftheria
6. Malaria





Ini contoh Surat Pengesahan dari Doktor Sebagai Perakuan yang perlu diberikan kepada Majikan


Ini borang cuti kuarantin yang perlu diisi dan diserahkan kepada majikan 
Pada saya cuti ini sangat perlu untuk ibubapa yang bekerja. Bukan sahaja dapat menjaga anak yang tidak dapat ke tadika atau sekolah tapi juga dapat memberi rehat kepada ibubapa kerana perlu menjaga anak yang sakit. Sungguh bukan mudah untuk menjaga anak yang sakit. Penat yang Allah saja yang tahu. Saya pasti penat itu akan diberi ganjaran setimpal olehNya.

4. Ubat antiviral tidak diberi di klinik kerajaan sebagai satu ubat wajib kepada pesakit yang mendapat jangkitan chickenpox. Anti viral diberikan kepada golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk seperti warga emas atau bayi yang baru lahir dan bermanfaat jika diambil dalam masa 72jam selepas demam. Anti viral boleh mengurangkan keterukan dan memendekkan masa jangkitan. Anti viral perlu diambil 5 kali sehari.

5. Elakkan menggunakan sabun ketika mandi kerana ia boleh menyebabkan kulit anak kering dan menambahkan ketidakselesaan anak. Saya guna gel pinetarsol untuk Balqis dan sabun neem dan tumeric untuk Harriz.

Gel pinetarsol diperbuat dari daun pokok pine. gunakan untuk menggantikan sabun. Masa ni saya beli sebab saya tak jumpa sabun daun mambu. Ada staff farmasi yang suggest gel ni.



Daun mambu atau neem memang dikenali sebagai daun berubat yang boleh mengurangkan ketidakselesaan akibat chickenpox. Menurut seorang pakar microbiologist, Dr Soshi Shashidaran dari USM, daun mambu boleh digunakan sebagai alas tidor untuk membantu proses penyembuhan dari chickenpox. Menurutnya lagi daun mambu mempunyai bahan antiviral yang boleh mengurangkan gatal dan parut akibat dari chickenpox.



Kalau susah nak cari daun mambu ni, boleh pergi kat kedai India. Ada jual. Kalau nak lagi senang, di farmasi ada jual sabun extract daun mambu dengan kunyit. Boleh guna waktu mandi anak untuk ganti dan untuk kurangkan gatal di badan anak.




6. Pastikan kuku jari anak pendek sebab anak anak cenderung nak menggaru. Bila menggaru, tendency untuk dapat jangkitan bakteria pada kawasan tersebut tinggi dan boleh menyebabkan jangkitan bertambah teruk.


7. Memang anak yang kena jangkitan chickenpox perlu diasingkan. Kuarantin dari pergi taska, tadika atau sekolah. Elakkan membawa anak keluar ke tempat tempat yang crowded.

Untuk kurantin dari adik beradik yang lain sangat sukar. Sebab tu bila seorang dah kena dan ada adik beradik yang lain belum kena, ibu kena ready untuk expect yang lain akan merasa juga.

Anak saya yang pertama mula dapat chickenpox pada 7/9/17 kemudian selang 2 minggu diikuti dengan anak bongsu saya. 😣

8. Vaccination untuk chickenpox memang ada tapi bukan vaccination wajib di klinik kerajaan. untuk kanak kanak bawah 13 tahun adalah satu dos manakala selepas 13 tahun perlukan 2 dos di mana selang 4 hingga 8 minggu antara dos 1 dan 2. Pelalian aktif diberikan kepada kanak kanak berisiko (1 - 5 tahun) sekiranya ada ahli keluarga yang mendapat jangkitan chickenpox.

9. Selalunya chickenpox akan sembuh tanpa sebarang komplikasi. Terdapat beberapa golongan yang berisiko tinggi mendapat komplikasi adalah

  • bayi yang baru lahir dan ibu tidak pernah dapat jangkitan chickenpox atau vaccination chickenpox. Bayi ini perlu dirawat di hospital. 
  • ibu yang mengandung yang mendapat chickenpox di trimester pertama atau trimester ketiga seminggu sebelum kelahiran.
  • golongan yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah seperti pesakit HIV, yang baru mendapat rawatan kimoterapi ataupun golongan warga emas. 
  • pesakit masalah radang kulit. 
Saya cadangkan kalau ada anak anak yang mendapat jangkitan chickenpox, ibubapa perlu jauhkan mereka dari golongan golongan di atas untuk mengurangkan risiko penyebaran virus dan menyebabkan komplikasi kepada mereka. 


 10.  Orang Malaysia khususnya orang Melayu memang banyak pantang larang yang diberikan sejak turun temurun. Pantang larang sepanjang mendapat jangkitan Chickenpox ini bukan satu perkara yang wajib diikuti dan tiada bukti saintifik mengenainya. Terpulang pada ibubapa untuk mengikut pantang larang yang ada. Oleh sebab anak anak saya masih punya nenek dan moyang, kami mengikut saja beberapa pantang larang yang diberikan. Kadang kadang bila saya fikir, pantang larang yang dipegang ada juga kebaikan.

Satu contoh yang mak saya pesan, anak yang kena chickenpox tak boleh dimarah nanti bintik bintik air tu marah dan naik lagi banyak. Hahaha rasa macam kelakar jer bunyinya. Anak dah sakit, takkan la nak dimarah. Mereka mungkin buat perangai macam macam masa ni, memang menguji ibubapa yang menjaga tapi bukan sebab sengaja. Mereka sakit, tak selesa sebab tu ibubapa kena banyak bersabar.


Ruj:

1- Portal myhealth
2- Chickenpox and Essential Oils by West Coast Institute of Aromatherapy
3- Treating chickenpox natural way with neem
the Star 4 Nov 2010
4- In Vitro antiviral activity of neem bark extract against herpes simplex type 1 infection
Vaibhav Tiwari, Nissar A Darmani, Beatrice Y. J. T. Yue, and Deepak Shukla.
Phytother Res. 2010 Aug; 24(8) : 1132-1140


Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua ibubapa πŸ˜€


Farm In The City

Baru baru ini saya ke Kuala Lumpur bersama keluarga. Tujuan utama adalah untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu di sana. Alang alang cuti sekolah, saya mengambil cuti lama untuk bersama anak anak. 

Dulu masa tinggal di Putrajaya, tak terlintas langsung nak bawa anak ke Farm In The City. Bila dah balik Kedah, baru sibuk nak datang tempat ni. Kali ini kami ke mini petting zoo yang terletak di Seri Kembangan. Belakang Giant Seri Kembangan, tempat saya selalu beli barang rumah masa tinggal di Putrajaya dulu. 

FARM IN THE CITY 
JALAN PRIMA TROPIKA BARAT 1, 
PUSAT BANDAR PUTRA PERMAI, 
43300 SERI KEMBANGAN, 
SELANGOR DARUL EHSAN 

TEL: 03 8941 2099



Caj yang dikenakan adalah seperti yang tertera dalam resit 
yang saya lampirkan πŸ˜†


Kalau ikutkan ini bukan kali pertama anak anak melihat haiwan dan binatang. Saya pernah bawa Hadif ke Zoo Negara, Balqis pernah ke Zoo Taiping dan Harriz pernah ke Wild Life Park Langkawi. Setiap tempat punya keistimewaan yang tersendiri dan begitu juga di Farm In The City. 

Setelah membuat bayaran tiket di kaunter, tempat pertama yang kami lalu adalah tempat kura kura. Ada beberapa ekor kura kura besar yang menyambut kedatangan pengunjung. Kura kura ini bebas di luar. Pengunjung boleh memberi sayur yang disediakan kepada kura kura yang ada. Anak anak sangat excited melihat kura kura yang besar ini dengan lebih dekat. Ada beberapa species kura kura dan penyu yang dibela di dalam akuarium seperti dinosaur turtle.





Sebelum sampai ke bahagian burung burung dalam sangkar, kita akan lalu bahagian reptilia yang dibela dalam sangkar. Reptilia yang ada termasuklah ular, ular sawa dan buaya.

Di bahagian burung, kena masuk dalam kawasan sangkar khas yang disediakan. Sangkar ini dibina supaya burung burung hanya terbang dalam kawasan yang disediakan.


Di kawasan burung burung ini, ada seekor burung merak yang boleh dilihat dari jarak dekat. Masa saya dan anak anak berada dalam kawasan ini, burung merak itu tidak mengembangkan ekornya yang cantik itu. Rasa rugi sangat. Kesian anak anak, kalau tidak boleh tunjuk betapa cantiknya burung merak.


Selepas itu, kami lalu kawasan binatang yang jinak jinak seperti rusa, kambing. Balqis tanpa rasa takut boleh beri rusa makan dan bergambar sebelah rusa.

Makanan makanan haiwan dijual di dalam mesin yang disediakan. Pengunjung perlu menukar duit kepada token dan membeli menggunakan token tadi. Rm 1 bersamaan 1 token.






Ini pula kawasan Longkang Fishing. Bersebelahan dengan kandang arnab dan hamster. Bazli Hadif mengambil peluang untuk mencuba menangkap ikan ikan kecil yang ada dalam longkang buatan di situ. Ia mengembalikan kenangan kenangan lama waktu zaman sekolah menangkap ikan di longkang. Jaring jaring kecil disediakan di situ. Kalau berjaya tangkap, pengunjung perlu lepaskan semula ikan ikan tersebut ke dalam longkang. Ia sekadar untuk mendapat feel tangkap ikan.

Sungguh bukan mudah nak tangkap ikan. Dengan bunyi bising, suara suara anak anak kecil mana mungkin ikan mahu terjerat dalam jaring. Hahaha. Anak sulung saya tetap bersungguh mahu menangkap ikan. Pengalaman baru buat anak bujang.


Dalam kandang arnab dan hamster, anak anak sekali lagi boleh memberi makanan. Arnab arnab di Farm in The City banyaknya yang dah terlalu kekenyangan. Dah selalu sangat disuap makanan oleh pengunjung agaknya. Hihihi.



Berdekatan dengan kandang arnab dan hamster ada kolam kecil di tengah tengah kawasan. Ada dibela ikan koi dan pelbagai jenis itik dan angsa. 

Jenuh anak anak membaling makanan ke dalam kolam. seronok melihat ikan ikan yang datang dengan banyak untuk mendapatkan makanan. Anak kecil saya turut teruja melihat ikan ikan di dalam kolam.





Di ruangan berbumbung, ada diletakkan haiwan haiwan jinak yang boleh dipegang oleh pengunjung. Ada anak anak ayam, ada iguana dan cicak besar. Balqis sekali lagi ambil kesempatan untuk menyentuh cicak besar yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Memang anak dara ni suka binatang.


Dalam kawasan Farm In The City juga anak anak berpeluang rasa naik kuda padi @ pony. Hadif dan Balqis berpeluang rasa naik kuda buat pertama kali.

Harga sekali pusingan 7 Token bersamaan dengan RM7. 




Balqis ambil kesempatan tengok binatang nama Merkat yang boleh berdiri atas 2 kaki. Kagum agaknya sebab tengok dengan kusyuk.


Selain daripada itu, ada juga persembahan burung berdekatan dengan tempat naik kuda tadi. Kami tak sempat tengok persembahan burung burung. Hanya sekadar mengambil gambar.


Sebelum keluar, anak anak dihadiahkan sijil kedatangan ke Farm In The City. Kemudahan seperti tempat makan, tandas semuanya ada di dalam kawasan ini.

Saya perasan Farm In The City berbeza dengan tempat tempat lain yang pernah saya kunjungi kerana di sini pengunjung akan mengambil gambar sendiri. Tidak ada jurukamera jurukamera yang berkeliaran yang mengambil gambar untuk dijual semula. Saya suka keadaan begini kerana pengunjung bebas mengambil gambar bersama haiwan haiwan yang jinak.



Pengalaman di Farm In The City sangat menarik. Saya sangat sarankan kepada semua untuk bawa anak anak ke sana terutama warga kota yang mungkin susah untuk jumpa binatang binatang yang ada di kawasan kampung.

Semoga perkongsian ini membantu semua yang mencari maklumat tentang tempat ini. 


Kelas KUMON dan Kebaikannya

Lepas peperiksaan pertengahan tahun darjah satu, saya dapat mengesan hadif sangat lemah dalam matapelajaran matematik. Setelah meneliti dan bertanya teman teman lain tentang perkara yang dapat membantu Hadif, saya membuat keputusan untuk menghantar Hadif ke kelas KUMON.

Kaedah pembelajaran Kumon lahir dari kasih seorang ayah kepada anaknya. Toru Kumon seorang guru matematik di Jepun telah mencipta lembaran kerja matematik untuk mengembangkan kemahiran pengiraan anaknya.

Sebelum mula kelas KUMON,

πŸ“anda perlu hubungi pusat KUMON yang berdekatan untuk membuat temujanji
πŸ“pada hari temujanji, bawa anak untuk membuat ujian diagnostik untuk mengetahui tahap kemahiran awal anak. Ujian ini adalah PERCUMA
πŸ“bayar yuran pendaftaran dan yuran bulanan
    Yuran pendaftaran rm30
      Yuran bulanan  rm160 ( 4tahun hingga 12 tahun) 
                                Rm 170 ( 13 tahun hingga 17 tahun) 

Berdasarkan ujian diagnostik, Hadif perlu mula dari asas nombor. Di KUMON, semuanya ditekankan dalam bahasa inggeris. Lepas mendaftar dan membayar yuran, Hadif menerima bag cenderahati KUMON. Hadif sangat gembira dan bersemangat untuk memulakan kelas KUMON.

Kaedah pembelajaran KUMON memberi fokus kepada pendidikan individu, kemahiran belajar sendiri dan kepakaran dalam ilmu pengetahuan. Dengan erti kata lain, murid yang belajar di KUMON akan bergantung kepada tahap mereka sendiri dan tidak ada sebarang tekanan. Hanya perlu buat lembaran kerja di rumah setiap hari yang akan dibekalkan oleh cikgu di kelas. Lembaran kerja tersebut hanya mengambil masa 5 hingga 10 minit sehari untuk disiapkan. Ini adalah untuk mendisiplinkan murid dalam membuat kerja sekolah. Cikgu di kelas untuk memantau dan membantu murid membuat lembaran kerja. Selalunya kelas mengambil masa 45 minit hingga sejam.

Kelas KUMON di Sungai Petani

Hari Isnin, Khamis dan Jumaat 9 pagi hingga 10.30 pg 
                                                      2 petang hingga 8 malam 
Hari selasa 2 petang hingga 8 malam

Saya pilih untuk hantar Hadif pada selasa dan khamis petang. Alhamdulillah sejak Ramadan tempohari, Hadif berjaya buat kerja rumah yang dibekalkan oleh cikgu dan konsisten membuatnya di rumah.

Kalau ada yang berminat nak hantar anak ke kelas KUMON, ada 2 subjek yang ditawarkan iaitu matematik dan bahasa inggeris.

Di Sungai Petani, boleh hubungi

                            Michelle Lim Cheng Phaik 
                            Pusat Perkembangan Minda Lagenda 
                            No 227, Tingkat 1, Jalan Legenda 8, 
                            Legenda Heights, 08000 Sg Petani
                            Telefon 0164800296

Maklumat lanjut tentang KUMON boleh layari www.kumon.com.my



Selepas 2 bulan ikut kelas KUMON dan dengan konsisten buat kerja rumah yang diberikan kepada Hadif, saya dapati

πŸ‘‰ Hadif sangat mudah untuk diurus dengan kata lain mudah untuk disuruh untuk membuat kerja rumahnya

πŸ‘‰ Hadif boleh mendisplinkan dirinya bukan sahaja untuk membuat kerja rumah KUMON malah untuk subjek lain

πŸ‘‰ Bermula dengan kemahiran asas iaitu mengenal angka dalam bahasa Inggeris, saya boleh nampak kemahiran matematiknya berubah dengan lebih baik


Mungkin mula mula anak akan terasa terbeban dan tertekan dengan latihan yang diberikan tapi latihan tersebut tidak mengambil masa yang lama. Percayalah, latihan tersebut bukan sahaja membantu untuk memantapkan kemahiran mengira tapi ia juga membantu mendisiplinkan anak juga.


Yang penting anak seronok nak belajar bukan untuk beri tekanan pada mereka. 
Hadif sangat enjoy kelas KUMON yang diikutinya.




Kisah Inspirasi Buat Ibu Tunggal

Saya pernah berkongsi kisah ini dalam personal FB saya tentang pertemuan yang Allah aturkan dengan seorang wanita yang datang buat saringan HIV untuk berkahwin. Wanita itu membuat saringan untuk berkahwin kali kedua selepas 9 tahun bercerai. Beliau mempunyai 4 orang anak yang dibesarkan tanpa seorang suami di sisi.

Saya selalu mendengar kata kata masyarakat yang melabel anak anak yang mempunyai latar belakang broken family tak akan berjaya dalam hidup. Wanita ini berjaya menidakkan kata kata tersebut. Beliau berjaya mendidik anak anak hingga berjaya dalam pelajaran.

Anak yang sulung bakal doktor grad di united kingdom. Anak kedua belajar jurusan  kejuruteraan di Korea Selatan. Anak ketiga kini sedang menyambung pelajaran di Perancis dan yang bongsu masih menuntut di MRSM.

Hebat sungguh wanita ni mendidik anak anak sendiri tanpa seorang suami. Dia nekad besarkan anak dahulu sebelum fikir untuk berkahwin lagi. Anak anak pula bukan calang calang orang. Semuanya bakal menjadi golongan professional.

Siapa kita untuk berkata anak anak dari keluarga bercerai akan jadi anak anak terbiar, anak anak yang gagal. Kalau seorang ibu atau bapa  pandai mendidik anak, elok lah anak tersebut. Tak kiralah bagaimana latar belakang ibu atau bapa sebelum itu. Tak kiralah ibu tersebut punya suami atau pun tidak. Anak anak yang punya keluarga lengkap pon belum tentu mampu berdiri setanding anak anak tadi! 

Paling penting jangan jadikan kekurangan itu sebagai satu kelemahan. Allah tu sentiasa ada.

Saya  sempat korek rahsia cara wanita ini didik anak anaknya hingga berjaya.



luang masa kat anak anak sebanyak mungkin

tekankan bab agama

solat sangat penting. Dengan solat, anak anak tahu baik buruk setiap perkara yang mereka lakukan. solat tiang agama.

✅ ajar anak perempuan tutup aurat dari kecil.

pastikan anak anak kawan dengan orang yang elok elok. Perlu kenal kawan anak anak.

✅ rajin peluk anak supaya anak anak sentiasa ingat kita.

ajar sentiasa anak jujur dengan kita.

✅kalau bagi anak kepada orang mengasuh, pastikan pengasuh tu org yang jaga solat dan jaga mulut

✅malam malam ajar baca surah lazim dan doa

✅rajin amal zikir fatimah

✅ajar anak anak tidor ikut sunnah nabi

✅ dia amal kalau mandi dgn anak kecik, air mandi kita bagi kena kat anak.

✅pi mana pun bawa anak anak sekali.

✅kalau anak anak belajar jauh, bekalkan kain batik mak untuk anak supaya anak ingat mak. itu petua orang tua katanya.

Jangan lihat dan sibuk bertanya kenapa dia bercerai. Banyak orang bila ada wanita bercerai, sibuk tanya kenapa, salahkan wanita tak pandai jaga suami. itu ujian buat dia. ujian hidup kita berbeza.

cuba lihat dari perspektif lain, lihat kejayaan wanita ini mendidik anak anaknya tanpa suami. 

semoga rahsia dari wanita hebat ini menjadi inspirasi buat kita semua. 

Allah sebaik baik penolong kita.
Doa ibu itu tiada hijab!  



Aquarium Tunku Abdul Rahman Pulau Pinang

Baru baru ini saya berkesempatan membawa anak anak ke salah satu tempat menarik di Pulau Pinang. Sebenarnya hajat untuk ke sini sudah dipasang lama tapi baru kali ini berkesempatan untuk melaksanakannya.

Aquarium Tunku Abdul Rahman terletak di Institut Penyelidikan Perikanan di Batu Maung Pulau Pinang. Sebenarnya akuarium ini telah ada sejak tahun 1968 dan beberapa kali diubahsuai. Maksudnya saya sendiri sebagai anak Pulau Pinang hanya baru kali ini berpeluang ke sini bersama anak anak.


Masa lawatan: 
Dibuka setiap hari kecuali Rabu
10 pg hingga 5 petang
Bayaran masuk
dewasa rm5
kanak kanak 7-12 tahun rm2
masuk percuma untuk kanak kanak bawah 7 tahun, orang kurang upaya dan warga emas

Aquarium ini tak lah sehebat Aquaria KLCC tapi cukup untuk memperkenalkan hidupan laut untuk anak anak dan memberi kesedaran tentang hidupan laut.

Kali ini saya teruja melihat kuda laut. ada beberapa species kuda laut yang dipelihara dalam akuarium.

Saya dan keluarga berehat sebentar di dalam mini auditorium yang mempunyai aquarium besar. Pelbagai hidupan ada dalam aquarium besar tersebut termasuklah penyu. Sungguh mengasyikan.

Bahagian luar bangunan, terdapat beberapa kolam ikan,  penyu dan kura kura. Di sini, anda boleh membeli makanan ikan yang ada dijual untuk diberi kepada ikan ikan yang ada. Anak anak saya sungguh seronok dengan aktiviti ini. Di bahagian luar ini juga, saya berpeluang melihat penyu dengan sangat dekat. Tak payah ke Terengganu nak tengok penyu. hihihi.

Secara keseluruhannya,  akuarium Tunku Abdul Rahman adalah tempat bajet untuk memperkenalkan anak anak dengan hidupan laut. walaupun tak sehebat Aquaria KLCC tapi ia tetap menyeronokan.


Jom layan gambar gambar hasil lawatan saya dan anak anak ke sini.















 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in