TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


THE TOP KOMTAR

Cuti hari pertabalan Agong tempohari saya berkesempatan membawa anak anak meluangkan masa di Kompleks Tun Abdul Razak - KOMTAR.

KOMTAR sewaktu saya zaman sekolah merupakan satu tempat yang sesak dan seringkali dikungjungi ramai. Bukan saja menempatkan pejabat kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi ia menempatkan pelbagai kedai kedai yang menjual barangan termasuklah cenderahati bagi pelancong yang berkunjung ke Pulau Pinang. KOMTAR menjadi suram apabila kompleks membeli belah baru yang wujud di kawasan sekitarnya.

Untuk saya, berkunjung ke KOMTAR kali ini dapat mengimbas kembali kenangan kenangan lalu zaman persekolahan. Saya masih ingat lagi kawasan kedai buku POPULAR, kedai Sinma yang kini sudah tiada lagi. Malah saya hampir tersesat dalam kawasan KOMTAR ketika membawa anak anak dan mencari tempat yang dituju.

Saya dan anak anak menuju ke tingkat 5 KOMTAR untuk melihat perubahan yang telah dilakukan beberapa tahun kebelakangan ini. Tempat yang kami tuju adalah THE TOP KOMTAR! saya telah membaca beberapa info tentang tempat ini sebelum ke sini. Bagi saya idea perubahan yang dibuat di tingkat 5 KOMTAR sangat menakjubkan. Memang menguntungkan kerajaan negeri Pulau Pinang!

Di kawasan ini, terdapat pelbagai tempat menarik untuk keluarga pilih. Antaranya adalah
👉 Jurassic Research Centre - yang saya pilih
👉 Ocean Explorer
👉 7D motion theatre
👉 Mirror Maze
👉 Dragon Regatta
👉 Musical Corousel

Saya pilih untuk masuk Jurassic Research Centre kerana tempat tempat yang lain tidak sesuai untuk membawa Harriz yang masih kecil. Ini turut dinasihatkan oleh pekerja kaunter tiket sewaktu membeli tiket.

Untuk masuk setiap tempat yang ada di The Top KOMTAR memang agak mahal tapi pihak yang menyelia sangat bijak dengan memberikan pakej dengan bayaran Rm 88 untuk dewasa dan pemegang MyKad, anda dapat menikmati kesemua tempat yang disediakan.

Ini saya sediakan harga tiket yang dikenakan kepada pengunjung The Top KOMTAR. Agak mahal tapi bagi saya berbaloi setelah mengunjungi dan melalui pengalaman dalam Jurassic Research Centre.



Jurassic Research Centre menawarkan pengalaman seolah olah berada dalam filem Jurassic Park. Anda boleh melihat pelbagai jenis dinosaur yang wujud pada zaman dahulu. Dinosaur karnivor dan herbivor. Boleh tengok replika telur dan fossil dinosaur yang disediakan yang hampir sama dengan yang sebenar. Bila masuk ke setiap stesen, ada pekerja yang akan memberi penerangan tentang dinosaur. Masuk JRC macam masuk zoo tengok dinosaur cuma dinosaur ni tidak bergerak. sekali sekala terdengar juga bunyi bunyi dinosaur yang dibuat.

Ini kali kedua anak anak melihat dinosaur. Kali pertama ketika kami ke Muzium Negeri Kedah tahun 2014. Bezanya kali ini, dinosaur yang dibuat berada dalam habitatnya. Dalam hutan rekaan manusia. Alhamdulillah ketika kami sampai cuaca sangat cantik untuk menikmati kawasan luar JRC. Bukan anak anak saja yang teruja, saya pun sangat kagum dengan idea yang dicetuskan.

Lepas anak anak melihat dinosaur, saya memberikan peluang kepada Hadif dan Balqis membuang tenaga tenaga berlebihan di DINO GYM. Ini adalah indoor playground yang ada di The Top KOMTAR. Dino gym tidak termasuk dalam pakej yang disediakan tadi. Jadi kena bayar asing jika anak anak ingin masuk.

Tiket masuk untuk Hadif dan Balqis RM30 seorang dan jika ibubapa ingin menemani anak akan dicaj RM10 seorang. Saya tidak menemani Hadif dan Balqis ke dalam DINO GYM kerana ada pekerja yang memantau anak anak di dalam. Saya dan Harriz menunggu di luar sambil meninjau tempat sekitarnya.

Kawalan keselamatan di DINO GYM agak ketat jika ada antara ibubapa yang ingin tinggalkan anak. Anda perlu menyimpan resit bayaran tiket anak untuk mengambil anak anda. Anak anda tidak boleh keluar selagi dia tidak scan tiket yang dipakaikan di pergelangan tangan mereka.

Sementara Hadif dan Balqis di dalam Gym, saya mengambil kesempatan melihat kemudahan lain yang ada di The Top KOMTAR. Saya puji kemudahan tandas di kawasan ini. Sangat mewah dan bersih. Sesuai dengan harga yang anda bayar. Begitu juga ruang solat yang disediakan. Tidak terlalu besar tapi sudah cukup memberi keselesaan kepada pengunjung.

Lepas sejam lebih berada dalam DINO GYM, anak anak sudah bersedia ingin pulang. Letih melompat, berlari, bergelongsor, memanjat dan sesuai untuk anak anak melepaskan tenaga berlebihan setelah penat belajar.

Kami sampai di Sungai Petani lebih kurang pukul 4 petang.

Saya pasti akan bawa anak anak lagi ke sini untuk menikmati tempat tempat lain apabila Harriz sudah bersedia.

Saya bagi 10 bintang untuk The Top KOMTAR - Jurassic Research Center dan Dino Gym!

Kalau ada yang datang ke Pulau Pinang, masukkan The Top KOMTAR dalam senarai untuk melawat. Saya pasti ia tidak akan mengecewakan anda dan keluarga. 















 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in