TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


10 Tips Ajar Anak Berpuasa

Alhamdulillah, hari ini hari ke 9 Ramadan. Saya harap semua masih dalam kesihatan yang terbaik untuk meneruskan ibadah berpuasa.

Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman dan tips tips yang saya gunakan untuk mengajar Hadif, anak sulung saya berpuasa. Saya ibu yang selalu teruja dengan setiap kejayaan perkembangan anak sulung saya. Saya tahu ramai ibu di luar sana yang ada anak dapat berpuasa yang jauh lebih muda dari Hadif yang kini berumur 7 tahun.



Mungkin dengan perkongsian ini akan membantu ibu ibu yang ingin melatih anak berpuasa. Saya bukan cakap saya pandai didik anak tapi ini adalah antara yang saya lakukan bersama Hadif untuk ajar dia tentang berpuasa di bulan Ramadan. Melengkapkan rukun Islam ketiga.

📍 TERANGKAN KEPADA ANAK TENTANG PUASA DAN BULAN RAMADAN
   
 Beberapa minggu sebelum masuk bulan Ramadan, saya sudah mula bercerita tentang bulan Ramadan kepada Hadif, tentang puasa. Apa itu puasa? Kenapa kena puasa? Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika puasa? Memang ibu akan terima banyak soalan dari anak dalam sesi ini. Soalan yang berulang ulang. Ibu perlu sabar untuk melayan soalan anak. Ini untuk memberi kefahaman kepada mereka yang puasa adalah perkara wajib untuk seorang Muslim.

📍 SOLAT LAGI PENTING DARI PUASA
 
Tahun lepas Hadif mula ke surau untuk bersolat. Bila tiba bulan puasa, dia gagal untuk belajar berpuasa walaupun setengah hari. Ia mungkin kerana punya adik yang masih kecil dan dia tewas ajakan si adik bila tiba waktu makan. Pada mulanya saya agak kecewa, bila tengok anak anak lain dapat berpuasa tapi bila saya banyak mendengar ceramah, ustaz ada tekankan tentang pentingnya solat dahulu dan anak akan berpuasa dengan sendirinya nanti. Jadi jangan tergopoh gapah mengajar anak berpuasa sedangkan masih belum solat.

📍BUAT TARGET UNTUK ANAK 
 
Saya letakkan matlamat untuk Hadif berpuasa. Saya hanya target untuk Hadif berpuasa setengah hari, sekurang kurangnya sampai Zohor. Saya ada cetakan reward chart untuk Ramadan kali ini untuk memberi semangat pada Hadif. Hadif sangat teruja melihat saya memberi tanda ✅ untuk setiap hari yang dia berpuasa dan solat. Tak susah untuk menambat hati anak dan memberi semangat padanya.

Ini contoh reward chart Hadif untuk Ramadan 1438H
Boleh download DI SINI

📍 TIDUR AWAL
 
 Menjelang hari pertama Ramadan, saya meminta Hadif untuk tidur lebih awal. Lepas terawikh di surau, saya pastikan semua anak anak telah berada di bilik untuk tidur. Jangan lupa untuk ajar anak niat untuk berpuasa. Tidur awal untuk bangun sahur pagi esok. 😀

📍 SELALU INGATKAN ANAK YANG DIA BERPUASA
 
alhamdulillah, hari pertama puasa, saya bercuti jadi dapatlah saya bersama anak anak. Saya akan sentiasa ingatkan Hadif yang dia puasa. Kalau dia ke dapur, saya akan cakap " abang puasa. Puasa tak boleh makan, tak boleh minum". Bila dia faham, dia akan kembali ke ruang tamu bermain.

📍 SELALU TANYA KEADAAN ANAK
 
Untuk hari pertama, kali pertama anak berpuasa, saya agak risau. Hampir setiap masa saya akan bertanya keadaan Hadif, sama ada dia ok atau tidak. Jangan memaksa jika anak tidak mampu lagi bertahan.

📍 MINTA ANAK YANG LAIN HORMAT ORANG YANG BERPUASA
 
Untuk mengurangkan dugaan Hadif, saya akan minta Balqis dan Harriz makan di dapur sebagai tanda hormat kepada Hadif yang berpuasa.

📍 SEDIAKAN MAKANAN KEGEMARANNYA
 
Permintaan untuk berbuka buat Hadif tidak sukar. Hadif suka makan spaghetti dan satey bersama air sirap. Dengan adanya makanan kegemarannya, ia akan menambah selera makan Hadif dan teruskan semangat untuk berpuasa kerana permintaannya ditunaikan.



📍 WAJIB BANGUN SAHUR 
 
 Saya akan bangunkan Hadif untuk sahur setiap hari. Ini sangat penting untuk pastikan Hadif ada tenaga untuk berpuasa pada hari tersebut. Selepas sahur, dia akan ke surau untuk solat subuh.

📍 KURANGKAN AKTIVITI LASAK
 
Mujurlah bulan puasa kali ini bermula dalam cuti sekolah. Sekurang kurangnya Hadif banyak masa di rumah dan berehat. Saya tidak galakkan Hadif membuat aktiviti fizikal yang akan membuatnya letih.

Sebenarnya banyak lagi tips untuk ajar anak berpuasa kali pertama. Tidak kisah cara bagaimana yanga ibubapa ingin gunakan yang penting anak faham tentang ibadah puasa, apa yang perlu dibuat dan tidak memudaratkan anak.

Beri pujian setiap kali anak berjaya untuk puasa tak kiralah puasa sentengah hari ataupun puasa penuh. Anak anak kecil masih putih dan sangat mudah untuk menambat hati mereka. Bayangkan Hadif membawa ke hulu ke hilir reward chart yang saya cetak untuk menanda hari hari yang dia puasa. Saya sendiri terharu melihatnya.



Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua yang membaca.
Saya masih belajar untuk mendidik anak anak syurga saya. 
Saya doakan yang terbaik buat semua yang membaca tulisan saya.  

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in