TExt

Assalamualaikum W.B.T

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.

Hubungi saya jika terdapat sebarang persoalan. Insya Allah saya akan cuba menjawab.

10 Perkara Kena Tahu Bila Anak Kena CHICKENPOX

Dah lama saya tak menulis tentang kesihatan. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman mengendalikan antara penyakit yang biasa dihadapi oleh kanak kanak iaitu CHICKENPOX. Ini kerana beberapa minggu ini, anak anak saya mendapat jangkitan penyakit ini. 

Selalu orang salah panggil penyakit ni sebagai campak tapi sebenarnya ia bukan campak. CHICKENPOX adalah cacar air. Ada juga yang panggil sebagai jintungan atau bertih (ikut dialek daerah). Ia disebabkan oleh Virus Varicella Zoster yang senang sangat berjangkit. Sesiapa saja boleh kena jangkitan virus ini jika belum pernah dapat. Ia jangkitan yang sering berlaku pada kanak kanak dan jangkitan boleh menjadi lebih teruk jika golongan dewasa yang mendapatnya. 

Ia berjangkit melalui sentuhan atau titisan cecair dari kulit. Masa yang paling banyak jangkitan boleh disebarkan adalah pada 48jam sebelum ruam ruam air timbul dan pada masa cacar air kering dan berkeruping. 

Selalunya jangkitan ini mengambil masa 7 hingga 14 hari untuk sembuh jika tiada komplikasi lain. Bila cacar air sembuh, virus akan tinggal dalam keadaan tidak aktif dalam sistem saraf. Ia boleh menjadi aktif sekiranya sistem pertahanan badan lemah dan jika seseorang itu terdedah kepada mereka yang menghidap chickenpox, dia boleh mendapat jangkitan KAYAP atau Shingles. 

Saya menerima pesanan dari guru tadika anak yang mendapati terdapat bintik bintik air di badannya. Pagi itu sebelum ke klinik, saya tidak perasan. Balqis juga tidak demam seperti yang sepatutnya. Saya segera mengambilnya di tadika untuk mengurangkan sebaran virus tersebut kepada kanak kanak lain.

Bintik bintik air akan tumbuh sedikit demi sedikit dari kepala hingga ke seluruh tubuh anak. Ia akan diselangi dengan demam yang turun naik. Anak akan berasa tidak selesa ketika keadaan ini berlaku.

Ini semasa hari ke3 CHICKENPOX



Bintik bintik air yang tumbuh di bahagian tangan 



Saya ingin berkongsi beberapa perkara untuk ibu yang menjaga anak yang mendapat jangkitan chicken pox. Ini adalah melalui pengalaman saya sendiri.

1. Dapatkan kepastian dari doktor di klinik tentang jangkitan yang dihadapi oleh anak. Saya harap tidak ada ibu yang membuat diagnosis sendiri di rumah. Ini kerana penyakit tangan, kaki dan mulut juga boleh menyerupai chickenpox cuma kawasan badan yang mendapat ruam ruam air adalah berbeza.

Jangan lupa dapatkan surat pengesahan untuk mendapatkan cuti kuarantin.


2. Dapatkan rawatan untuk anak. Selalunya di klinik kesihatan, doktor akan beri:

  Ubat demam - PARACETAMOL 
sebab suhu badan anak akan turun naik sehingga bintik bintik air keluar 
habis hingga ke bahagian kaki. 
Beri ubat demam ikut arahan yang diberikan 

 


Ubat Gatal - CHLORPHENIRAMINE 
ubat ini adalah untuk kanak kanak yang berumur 2 tahun ke atas. 
Ia boleh menyebabkan mengantuk. 
Ia akan mengurangkan ketidakselesaan pada badan anak dan mengurangkan anak menggaru



Ubat sapu - CALAMINE LOTION
Ini adalah ubat sapu yang boleh mengurangkan rasa tidak selesa pada badan anak. 
Saya menggunakan calamine lotion yang dititis bersama dengan 
essential oil LAVENDER dan TEA TREE 
untuk mencepatkan bintik bintik air kering, sebagai antiviral dan 
untuk mengurangkan parut pada badan anak saya. 


Minyak pati lavender dapat membantu proses penyembuhan bintik bintik air dan mengurangkan parut. selain daripada itu ia mempunyai bahan yang dapat mengurangkan sakit dan baunya membantu memberikan ketenangan pada anak.

Minyak pati tea tree pula bertindak sebagai bahan anti radang dan bahan antiseptic yang telah dikatakan dapat membantu masalah jerawat, jangkitan kulit impetigo, jangkitan luka dan pelbagai lagi.

3.Untuk ibu atau bapa yang berkerja di sektor awam, bermula 1 Januari 2017, menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11/2016, Penjawat awam diberi kemudahan untuk menjaga anak yang menghidap penyakit berjangkit yang perlu mendapat perakuan dari mana mana pegawai perubatan kerajaan atau swasta yang menyatakan anak perlu dikuarantin.

Tempoh yang diluluskan maksimum 5 hari 
Syarat anak dikuarantin
i. Bawah 18 tahun 
ii. Bawah 21 tahun jika masih belajar 

Senarai Penyakit Berjangkit 
1. Penyakit Tangan Kaki dan Mulut 
2. Demam Denggi atau Denggi Berdarah 
3. Campak (Measles) 
4.Chickenpox
5. Diftheria
6. Malaria





Ini contoh Surat Pengesahan dari Doktor Sebagai Perakuan yang perlu diberikan kepada Majikan


Ini borang cuti kuarantin yang perlu diisi dan diserahkan kepada majikan 
Pada saya cuti ini sangat perlu untuk ibubapa yang bekerja. Bukan sahaja dapat menjaga anak yang tidak dapat ke tadika atau sekolah tapi juga dapat memberi rehat kepada ibubapa kerana perlu menjaga anak yang sakit. Sungguh bukan mudah untuk menjaga anak yang sakit. Penat yang Allah saja yang tahu. Saya pasti penat itu akan diberi ganjaran setimpal olehNya.

4. Ubat antiviral tidak diberi di klinik kerajaan sebagai satu ubat wajib kepada pesakit yang mendapat jangkitan chickenpox. Anti viral diberikan kepada golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk seperti warga emas atau bayi yang baru lahir dan bermanfaat jika diambil dalam masa 72jam selepas demam. Anti viral boleh mengurangkan keterukan dan memendekkan masa jangkitan. Anti viral perlu diambil 5 kali sehari.

5. Elakkan menggunakan sabun ketika mandi kerana ia boleh menyebabkan kulit anak kering dan menambahkan ketidakselesaan anak. Saya guna gel pinetarsol untuk Balqis dan sabun neem dan tumeric untuk Harriz.

Gel pinetarsol diperbuat dari daun pokok pine. gunakan untuk menggantikan sabun. Masa ni saya beli sebab saya tak jumpa sabun daun mambu. Ada staff farmasi yang suggest gel ni.



Daun mambu atau neem memang dikenali sebagai daun berubat yang boleh mengurangkan ketidakselesaan akibat chickenpox. Menurut seorang pakar microbiologist, Dr Soshi Shashidaran dari USM, daun mambu boleh digunakan sebagai alas tidor untuk membantu proses penyembuhan dari chickenpox. Menurutnya lagi daun mambu mempunyai bahan antiviral yang boleh mengurangkan gatal dan parut akibat dari chickenpox.



Kalau susah nak cari daun mambu ni, boleh pergi kat kedai India. Ada jual. Kalau nak lagi senang, di farmasi ada jual sabun extract daun mambu dengan kunyit. Boleh guna waktu mandi anak untuk ganti dan untuk kurangkan gatal di badan anak.




6. Pastikan kuku jari anak pendek sebab anak anak cenderung nak menggaru. Bila menggaru, tendency untuk dapat jangkitan bakteria pada kawasan tersebut tinggi dan boleh menyebabkan jangkitan bertambah teruk.


7. Memang anak yang kena jangkitan chickenpox perlu diasingkan. Kuarantin dari pergi taska, tadika atau sekolah. Elakkan membawa anak keluar ke tempat tempat yang crowded.

Untuk kurantin dari adik beradik yang lain sangat sukar. Sebab tu bila seorang dah kena dan ada adik beradik yang lain belum kena, ibu kena ready untuk expect yang lain akan merasa juga.

Anak saya yang pertama mula dapat chickenpox pada 7/9/17 kemudian selang 2 minggu diikuti dengan anak bongsu saya. 😣

8. Vaccination untuk chickenpox memang ada tapi bukan vaccination wajib di klinik kerajaan. untuk kanak kanak bawah 13 tahun adalah satu dos manakala selepas 13 tahun perlukan 2 dos di mana selang 4 hingga 8 minggu antara dos 1 dan 2. Pelalian aktif diberikan kepada kanak kanak berisiko (1 - 5 tahun) sekiranya ada ahli keluarga yang mendapat jangkitan chickenpox.

9. Selalunya chickenpox akan sembuh tanpa sebarang komplikasi. Terdapat beberapa golongan yang berisiko tinggi mendapat komplikasi adalah

  • bayi yang baru lahir dan ibu tidak pernah dapat jangkitan chickenpox atau vaccination chickenpox. Bayi ini perlu dirawat di hospital. 
  • ibu yang mengandung yang mendapat chickenpox di trimester pertama atau trimester ketiga seminggu sebelum kelahiran.
  • golongan yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah seperti pesakit HIV, yang baru mendapat rawatan kimoterapi ataupun golongan warga emas. 
  • pesakit masalah radang kulit. 
Saya cadangkan kalau ada anak anak yang mendapat jangkitan chickenpox, ibubapa perlu jauhkan mereka dari golongan golongan di atas untuk mengurangkan risiko penyebaran virus dan menyebabkan komplikasi kepada mereka. 


 10.  Orang Malaysia khususnya orang Melayu memang banyak pantang larang yang diberikan sejak turun temurun. Pantang larang sepanjang mendapat jangkitan Chickenpox ini bukan satu perkara yang wajib diikuti dan tiada bukti saintifik mengenainya. Terpulang pada ibubapa untuk mengikut pantang larang yang ada. Oleh sebab anak anak saya masih punya nenek dan moyang, kami mengikut saja beberapa pantang larang yang diberikan. Kadang kadang bila saya fikir, pantang larang yang dipegang ada juga kebaikan.

Satu contoh yang mak saya pesan, anak yang kena chickenpox tak boleh dimarah nanti bintik bintik air tu marah dan naik lagi banyak. Hahaha rasa macam kelakar jer bunyinya. Anak dah sakit, takkan la nak dimarah. Mereka mungkin buat perangai macam macam masa ni, memang menguji ibubapa yang menjaga tapi bukan sebab sengaja. Mereka sakit, tak selesa sebab tu ibubapa kena banyak bersabar.


Ruj:

1- Portal myhealth
2- Chickenpox and Essential Oils by West Coast Institute of Aromatherapy
3- Treating chickenpox natural way with neem
the Star 4 Nov 2010
4- In Vitro antiviral activity of neem bark extract against herpes simplex type 1 infection
Vaibhav Tiwari, Nissar A Darmani, Beatrice Y. J. T. Yue, and Deepak Shukla.
Phytother Res. 2010 Aug; 24(8) : 1132-1140


Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua ibubapa 😀


 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in