TExt

Assalamualaikum W.B.T

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.

Hubungi saya jika terdapat sebarang persoalan. Insya Allah saya akan cuba menjawab.

Soalan 48: Bolehkah Vitamin B Complex Diambil Bersama Makanan Berkafein?

SOALAN: Assalamualaikum doktor. Saya ingin bertanya, Adakah dengan pengambilan kafein boleh mengurangkan khasiat vitamin B complex yang dimakan? 



JAWAPAN:

Waalaikumsalam pn. Terima kasih bertanya tentang pengambilan kafein dan kesannya kepada pengambilan vitamin seperti b complex.

Antara contoh makanan yang mengandungi kafein adalah kopi, tea, minuman berkarbonat, coklat, koko dan minuman bertenaga. Pengambilan secawan kopi atau teh setiap hari tidak akan memberi sebarang kesan kepada kesihatan tapi pengambilan yang berlebihan boleh mengganggu kepada penyerapan nutrien yang sepatutnya pada badan.

Untuk pengetahuan pn, Kafein mempunyai kesan diuretic yang boleh menyebabkan seseorang kerap kencing. Vitamin B pula adalah vitamin yang larut air. Kesan diuretic dari pengambilan kafein boleh mengurangkan kandungan vitamin B yang diambil tadi. Kafein juga mengganggu proses metabolism vitamin B1.

Perkara ini berbeza dengan vitamin B12 di mana kafein membantu mengeluarkan asid perut yang penting untuk proses penyerapan vitamin tersebut.


Bukan setakat vitamin B, jika pn mengambil kafein bersama kalsium, zat besi atau vitamin D, ia juga memberikan kesan tidak langsung.

Pengambilan kafein bersama kalsium menyebabkan kalsium dikeluarkan melalui air kencing dan najis. Setiap 150mg kafein yang bersamaan dengan secawan kopi boleh menyebabkan kehilangan 5mg calcium melalui najis dan air kencing. Dalam satu kajian yang melibatkan wanita yang telah menopause menyatakan wanita menopause yang mengambil kafein lebih dari 300mg sehari mengalami banyak masalah tulang berbanding wanita yang kurang mengambil kafein.

Begitu juga dengan vitamin D. Kafein mengganggu reseptor untuk menyerap vitamin D.  Jika vitamin D kurang, ia akan mengurangkan mineral tulang dan meningkatkan risiko osteoporosis.

Jika seseorang mengalami masalah anaemia dan kurang darah merah disebabkan kurang zat besi, pengambilan zat besi bersama kafein sangat tidak digalakkan. Kafein mengganggu proses penyerapan zat besi yang penting untuk pembentukan sel darah merah. Sebarang minuman berkafein perlu dielakkan sekurang kurangnya sejam sebelum atau selepas mengambil makanan yang kaya dengan zat besi ataupun supplemen.



Saya harap jawapan saya ini membantu puan yang bertanya. 

Rujukan:

Coffee consumption and circulating B vitamin in healthy middle aged men and women
Ulvik A, et all Clinical Chem 2008 


Effect of cafein on health and nutrition: A review
Tsedeke Wolde
Food Science And Quality Management Vol 30, 2014

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in