TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


5 Tempat Menarik Wajib Pergi Kalau Ke Cameron Highland

Alhamdulillah, saya berkesempatan membawa anak anak bercuti ke Cameron Highland semasa cuti sekolah. Kami bercuti bersama sama dengan adik saya yang juga sedang pulang bercuti dari Johor.

Kami sampai tengah malam di Brinchang, Cameron Highlands. Memang kami tidak sempat mencari hotel sebelum itu kerana pada mulanya tidak pasti jadi atau tidak percutian bajet kami ini. Tapi akhirnya sampai juga saya dan anak anak di Cameron Highlands setelah lama merancang. Kedinginan malam di Cameron Highlands mengimbau perasaan yang sama ketika belajar di bumi Ireland. Sungguh saya rindu zaman itu. Pekan Brinchang masih riuh dengan pengunjung walaupun sudah agak lewat malam. Berbeza dengan di Galway, sudah mati bila malam tiba. Itulah beza antara Malaysia dan Ireland. 😀

Tak susah untuk mencari hotel walaupun sudah malam. Kami menginap di Hotel Rainbow untuk 2 malam. Harga untuk satu bilik adalah Rm 140 untuk bilik standard tanpa sarapan pagi. Bilik hotel sangat selesa untuk saya dan anak anak. Hotel Rainbow terletak di tengah pekan dan sangat mudah untuk akses kepada kemudahan lain seperti tempat makan.



Keesokan harinya kami mulakan perjalanan awal, kami bersarapan pagi di pasar pagi dekat dengan hotel sebelum memulakan aktiviti. Suasana pagi di Pekan Brinchang sungguh nyaman. Sungguh terasa bagai berada di luar negara. Saya tak jemu bercerita dengan anak anak tentang tempat saya belajar dulu. Saya doa satu hari nanti saya dapat bawa anak anak kembali ke Ireland.

Cactus Valley

Tempat pertama kami tuju lepas sarapan adalah Cactus Valley. Cactus Valley adalah salah satu tempat pelancongan menarik di Cameron Highlands. Tempat ini menyimpan pelbagai jenis pokok kaktus. Lebih dari 1000 jenis pokok kaktus ada di sini.

Saya membeli beberapa pasu pokok kaktus kecil untuk kenang kenangan yang kami pernah sampai di sini.

Cactus Valley dibuka seawal 8 pagi dan 
Tiket masuk adalah RM5 untuk dewasa
Rm3 untuk kanak kanak.






Big Red Strawberry Farm

Lepas dari melihat pokok kaktus, kami ke Strawberry Farm yang terletak bersebelahan Cactus Valley. Tak sah kalau tidak melihat sendiri pokok pokok strawberry dan merasa sendiri buah strawberry segar yang dipetik terus untuk di makan.

Masuk ke Big Red Strawberry Farm adalah percuma.

Pokok pokok strawberry di ladang ini ditanam secara hydroponik. Pelbagai produk dari strawberry dijual di sini dan kami mengambil kesempatan untuk menikmatinya. Aiskrim, jus, buah segar dan strawberry kering jadi pilihan saya dan anak anak.







Ladang Teh Boh Sungai Palas

Destinasi seterusnya pastilah ingin melihat sendiri ladang teh. Teh menjadi minuman kegemaran anak anak. Teh juga minuman utama di rumah saya. Pasti lah saya ingin membawa anak anak melihat pokok teh supaya mereka tahu dari mana minuman mereka datang.

Jalan ke Ladang Teh Boh Sungai Palas sangat mencabar. Satu lorong dan sangat merisaukan bila berselisih kereta. Boleh pening dibuatnya. Tapi kalau tak pergi rugi la bila dah sampai sini.

Akhirnya sampai juga ke Ladang Teh Boh yang luas itu. Saya dan anak anak Berkesempatan untuk bergambar dan memegang dan menunjukkan pokok teh kepada anak anak yang dijadikan minuman untuk mereka.






Butterfly Garden Cameron Highland

Sebelum pulang ke hotel untuk makan tengahari dan berehat, kami singgah sebentar di Butterfly Garden.

Tiket masuk ke Butterfly Garden
Dewasa RM 5
Kanak kanak RM 2

Taman ini bukan saja menempatkan pelbagai spesies rama rama, tapi terdapat pelbagai jenis serangga yang dipamerkan dalam akuarium.

Pengunjung boleh melihat jenis kumbang, mentadak dalam pelbagai bentuk dan saiz. Dalam taman ini juga ada petting zoo yang menempatkan burung dan ayam pelbagai jenis.

Anak anak saya sangat teruja melihat rama rama yang boleh dipegang dan diletakkan di atas topi dan tidak terbang.

Sebelah petang hingga ke malam, kami bersiar siar di pekan Brinchang yang dekat dengan hotel untuk membeli buah tangan sebelum pulang keesokkan harinya.






Lavender Garden Cameron Highlands

Kalau ada yang menonton Pujaan Hati Kanda, salah satu lokasi penggambaran adalah di taman ini. Sungguh saya memang sangat teruja melihat bunga bunga lavender berwarna ungu. Mendamaikan jiwa. 

Tiket masuk ke Lavender Garden
Dewasa RM10
Kanak kanak Rm 7

Saya ambil kesempatan untuk bergambar dengan anak anak di studio mini yang berlatarkan bunga bunga yang sangat cantik di taman ini. Bukan selalu nak dapat peluang begini. Alhamdulillah anak anak memberi kerjasama yang sangat baik maka gambar yang terhasil pun sangat memuaskan hati.

Taman ini memang buat kami tak henti henti ambil gambar. Penuh dengan pelbagai jenis bunga di setiap sudut.

Memang sesuailah dijadikan lokasi penggambaran!




Kea Farm 

Sebelum bergerak pulang, kami ke Kea Farm. Membeli belah buat kali terakhir di Cameron Highlands.


Seronok sungguh ibu saya membeli pelbagai jenis sayur. Tak tahu lah dia nak memasak atau seronok sebab sayur sayur murah.

Saya teruja beli bunga bunga ros segar untuk dibawa pulang. Yang paling wajib beli adalah strawberry cicah coklat yang segar dari ladang. Memang terbaik lah membeli belah di Kea Farm.

Masuk ke Kea Farm ni percuma tapi pastikan duit penuh dalam poket sebab ia akan mengalir tanpa sedar 😅😅😅



Oklah, semoga coretan kenangan saya dan anak anak di Cameron Highlands membantu anda yang ingin bercuti ke sana. Banyak lagi tempat yang boleh dikunjungi tapi sebab percutian kami singkat, ini antara tempat yang kami sempat pergi. 
Insya allah kalau ada kesempatan lagi, saya ingin pergi lebih lama. 😀



 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in