TExt

Assalamualaikum W.B.T
Untuk semua pembaca di blog Dr Shima,

Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat dari tulisan di blog ini. Teruskan menimba ilmu.


10 Tips Uruskan Masalah Depression

Alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk menulis di blog ini. Saya memang sibuk dengan tugas hakiki setiap hari di klinik dan sebagai ibu di rumah. nak mencari ruang untuk menulis sangat susah kebelakangan ini. Saya minta maaf. Ada juga saya menerima pertanyaan, bila dr nak update blog. Nah kali ini saya menulis kembali. Doakan saya terus sihat untuk berkongsi.



Saya rasa terpanggil untuk menulis saya nak berkongsi dengan semua tentang masalah kemurungan atau DEPRESSION. Baru baru ini seorang wanita muda datang kepada saya dengan simptom simptom kemurungan yang sangat teruk. Wanita tersebut sedang menghadapi masalah rumah tangga dengan suaminya. Sekarang dia tinggal berasingan dengan suami. Sudah hampir 2 bulan tidak bertemu suami dan suami juga tidak menghubunginya. Dia juga sedang mengandung 2 bulan tanpa pengetahuan suami selepas kali terakhir bertemu. Anak yang sah dari perkahwinan yang sah. Dia sangat tertekan hingga rasa diri tidak berguna dan ada perasaan ingin bunuh diri. Dia juga mengaku mendengar suara supaya menggugurkan anak dalam kandungannya.

Saya cuba mengambil masa untuk berbual dengan wanita tersebut mencari punca kenapa dia menghadapi masalah tersebut. Wanita itu pada mulanya susah untuk membuka mulut tapi saya menunjukkan usaha saya untuk membantunya.

Wanita itu berkahwin pada usia yang agak muda dan sudah hampir 3 tahun berumahtangga. Dia berkahwin atas dasar suka sama suka dengan suaminya. Pada akhir tahun pertama usia perkahwinannya, suami mula memberi tekanan padanya kerana masih belum mengandung. Suami suka memaki dan mengeluarkan pelbagai kata kata yang tidak elok kepadanya. Hampir 2 tahun dia didera secara mental oleh suami. Saya bertanya kenapa tidak bercerai atau mengadu pada pejabat agama, dia memberitahu dia diugut oleh suami sekiranya ingin bercerai suami mahu dia membayar semua perbelanjaan yang dikeluarkan ketika berkahwin dahulu sedangkan dia sendiri tidak bekerja. Mana mampu dia membayar semuanya. Wanita ini menyimpan banyak perkara di dalam dirinya secara sendirian dan tidak diceritakan kepada sesiapa.

Saya merujuk kes wanita itu terus kepada pakar psikiatri di hospital untuk rawatan lanjut kerana situasi wanita tersebut sangat membimbangkan. Walaupun dari segi luarannya nampak biasa tapi tekanan yang dihadapinya sangat berat.

Setiap manusia yang bergelar hamba tidak dapat lari dari ujian Dia. Yang paling penting bagaimana kita menerima dan menghadapinya. Saya pernah terbaca satu ayat dan ayat itu menulis kita akan diuji dengan perkara perkara yang paling kita sayang sebab Allah tidak suka ada perkara lain di hati HambaNya selain Dia. Saya sendiri tidak terkecuali untuk melalui ujian tersebut.

Walaupun bergelar doktor perubatan, saya merasakan penggunaan ubat untuk masalah depression adalah untuk membantu pesakit berada dalam keadaan tenang, untuk membantu pesakit boleh tidor, untuk mengurangkan halusinasi dan perasaan ingin membunuh diri tetapi punca masalah depression tak akan selesai selagi kita tidak dapat menerima takdir yang ditetapkan Tuhan pada kita. Kaunselor di jabatan psikiatri mahupun doktor pakar sendiri tidak dapat menyelesaikan punca masalah depression dan mereka banyak membantu untuk mendengar dan memberi pandangan bagaimana untuk menghadapi masalah itu. Pendapat saya ini memang diakui oleh sahabat baik saya yang mempunyai ibu yang menghadapi masalah major depression dengan simptom psikosis yang berpunca dari suami berpoligami dan dia tidak dapat menerima ujian tersebut.

Ini antara tips yang boleh dilakukan untuk menghadapi ujian dan untuk menguruskan simptom simptom kemurungan atau depression. Ini juga antara tips tips yang saya berikan pada wanita tersebut melalui pengalaman sendiri.

1- yang pertama dan paling utama, bangun solat malam. Solat tahajud, solat taubat dan solat hajat. Cari peluang untuk kembali padaNya. Allah kata kalau ada masalah, Dia suruh sabar dan solat. Ujian datang dari Dia dan pasti jalan keluar pun dari Dia.



2- Saya pernah dengar ceramah dari Ustazah Nor Hafizah. Salah satu tips yang dia bagi untuk bantu bila ada masalah atau tengah hadapi ujian adalah dengan berISTIGHFAR. Istighfar banyak banyak. Allah ada bagitau perkara ni dalam surah Nuh ayat 10- 12.

3- Banyakkan dengar tazkirah atau ceramah dari ustaz dan ustazah. Percayalah masa ni lah Allah sedang tarik kita kembali pada Dia. Sekarang ni zaman media sosial. Semua benda di hujung jari. Tak payah bagi alasan terlalu banyak. Kalau tak ada masa nak pi kuliah ustaz ustazah, ambil masa dengar tazkirah pendek dalam youtube ada, dalam facebook pon ramai yang berkongsi. Antara yang selalu buat kuliah, Ustaz Ebit, ustazah nor Hafizah, Prof Muhaya dan ustazah Nor Asma. Ini adalah tips yang kaunselor minta saya buat untuk bantu pulihkan saya dan ia sangat membantu. 

4- Minta pertolongan dari orang yang pakar. Pergilah berjumpa doktor di klinik jika terdapat simptom simptom depression antaranya, sedih berpanjangan, tidak ada selera makan, tidak dapat tidor, hilang mood, tidak dapat fokus pada kerja, rasa diri tidak berguna, ada keinginan untuk mencederakan diri atau membunuh diri. Niat untuk jumpa pakar psikiatri untuk dapatkan nasihat atau sebarang rawatan untuk merawat simptom simptom tadi.

5- Kaunselor adalah orang yang boleh mendengar masalah kita. Orang yang mampu memberi pandangan bagaimana untuk lalui ujian tersebut. Dia tidak akan menyelesaikan masalah. Selalunya pesakit depression hanya mahu luahkan apa yang dipendam lama. Bercerita tentang perasaaan. Dengan hanya meluahkan dapat mengurangkan beban yang ada di dalam diri. Talian BEFRIENDER pun boleh dihubungi andai ada yang perlu diluahkan. TALIAN BEFRIENDER 03 79568145. 




6- Cuba dapatkan sokongan keluarga atau rakan rakan. Alhamdulillah, ibu dan ayah saya memang tolong banyak masa saya berdepan ujian paling hebat dalam hidup saya. Saya tak ramai kawan dan saya cuma ada seorang saja kawan yang saya percaya. Sebab ramai ja kawan yang suka menjaja kisah kita. Sebab itu kena pilih kawan yang betul untuk mendengar. Kumpulan sokongan juga memang sangat membantu kalau dapat join. Kadang kadang berkongsi dengan orang yang berada dalam kasut yang sama lebih memahami apa yang kita lalui.

7- Buat perkara yang disukai contoh tulis blog dan bisnes online. Kadang kadang walaupun untung tu tak seberapa tapi rasa seronok tu yang lebih. Ada perkara perkara yang boleh buatkan kita sibuk dari fikir tentang kesedihan diri.

8- Membaca buku motivasi juga boleh dapatkan semula semangat diri. Saya suka buku buku dari tulisan Reyna Ibrahim dan Bonda Nor. Saya banyak membaca untuk sembuhkan luka di hati. Banyak yang saya belajar dari buku terutama bagaimana untuk bangun semula selepas jatuh. Jadi carilah buku yang kena dengan jiwa. Kalau tak mau baca buku, baca Al Quran pun lagi elok.

9- Bersukan atau bersenam. Jadikan diri lebih aktif dari biasa. Berlari atau membuat aktiviti yang aktif akan membantu mengurangkan stress level, memperbaiki fungsi kognitif dan meningkat mood.

10- Buat satu Journal kesyukuran. Ambil satu buku dan mula tulis 7 perkara yang anda bersyukur setiap hari. Allah cakap makin hamba dia bersyukur, lagi Dia akan tambahkan lagi rezeki. Percayalah daripada tips ni anda akan dapat pelbagai magik yang tidak anda sangka. Kita kena tengok dan bersyukur dengan semua nikmat yang kita ada dan jangan sesekali bandingkan benda yang kita tak ada dengan orang lain sebab kita tak tahu jalan cerita orang lain. 

Saya belum lagi kuat sepenuhnya. Adakala jatuh semula. Yang penting kena selalu ingat Dia. Dia yang aturkan semuanya dan pasti ada sebab kenapa dan pasti juga ada jalan keluar daripada semua masalah yang ada.

Untuk mommies dan wanita wanita di luar sana, sayang diri sendiri. Orang lain mungkin tak mampu sayang kita seperti mana kita sayang diri sendiri. Selalu ingat semuanya aturan Dia.

Semoga perkongsian ini membantu semua yang memerlukan untuk bangun semula.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in