Alhamdulillah, Harriz anak bongsu saya dah menginjak umur 3 tahun. Alhamdulillah juga sebab saya diberikan kesihatan yang baik untuk memberi Harriz susu badan hingga umurnya 3 tahun. Sudah tiba masa untuk Harriz berhenti menyusu. Saya memang takut untuk melalui fasa ini. Saya tak pasti bagaimana anak kecil seperti Harriz yang selalu tertidur selepas menyusu akan menerima keadaan ini.
Sebelum ini, dengan anak kedua saya, fasa berhenti menyusu terjadi sendiri semasa umurnya 2 tahun setengah. Mungkin susu saya tidak ada lagi ketika saya hamilkan Harriz. Perkara ini tidak sangat memberi kesan pada Balqis dan diri saya sendiri.
Pernah saya cuba untuk tidak memberi susu pada Harriz pada satu malam dan Harriz menangis yang sangat meruntun hati saya sebagai ibu dan akhirnya percubaan pertama untuk berhenti susu masih gagal.
Saya cuba mencari solusi, mencari ilmu dan sumber untuk melalui fasa ini tanpa sebarang tekanan pada saya dan Harriz.
Kenapa tekanan pada saya? Hampir 3 tahun, Harriz mendampingi saya untuk menyusu, sudah pasti dia terlalu rapat dengan saya. Untuk memisahkan dia dengan berhenti menyusu menyebabkan saya sedih. Fasa yang pasti dirindui satu masa nanti. Bagaimana setiap tangisan Harriz akan berhenti bila dia berada dalam dakapan saya. Bagaimana dia datang kepada saya meminta susu. Bagaimana dia membesar di depan mata saya dengan susu badan saya. Allahuakbar, rindu sungguh momen itu.
Pastinya tekanan banyak pada Harriz bila berhenti menyusu. Sebelum ini, dia akan tertidur selepas menyusu dalam dakapan ibu. Sebelum ini, susu ibu mengeyangkan perutnya. Sebelum ini, dakapan ibu mententeramkan dirinya. Sebelum ini, susu ibu penuh dengan pelbagai rasa.
Sebab itu, saya mahu Harriz benar benar bersedia untuk melalui fasa ini.
Mak saya dah bagi pelbagai cara untuk saya cuba pada Harriz. Contoh letak pencelup atau sapu asam pada payudara. Saya tak cuba cara tu sebab saya mahu Harriz berhenti dengan semulajadi dan tiada sebarang unsur tekanan padanya.
Antara perkara perkara yang saya buat dengan Harriz.
1- Saya cuba tidak lagi menawarkan susu saya kepadanya.
Sebelum ini, saya akan panggil Harriz untuk menyusu selepas balik kerja dan sebelum tidur.
Saya tidak lagi menawarkan susu saya sebagai satu taktik untuk menghentikan tangisannya.
Dengan mengurangkan tawaran menyusu kepada anak, dia akan terlupa masa untuk menyusu dan akan lebih banyak bermain bersama abang dan kakaknya.
Sebolehnya waktu malam pon saya cuba tidak akan memberi Harriz menyusu.
2- Cuba lengahkan masa bila dia minta untuk menyusu. Masa ni boleh alih perhatian dia untuk terus bermain atau berikan dia snek sebagai ganti kepada susu yang diminta.
3- Saya akan cuba untuk pendekkan masa menyusu dengan Harriz. Saya sedar, susu saya sudah tidak banyak seperti dahulu dan Harriz cuma ketagih untuk mengisap dan seronok berada dalam keadaan panas dalam dakapan ibu untuk tidur lena.
4- Ini bahagian yang saya rasa paling mujarab dan menyebabkan Harriz berhenti menyusu dengan mudah.
Setiap kali Harriz menyusu, ada satu skrip yang saya akan cakap pada dia. Cakap dengan tenang. Cakap dengan suara yang lembut.
"Harriz dah besar. Harriz dah kena berhenti susu ibu. Susu ibu dah sikit untuk Harriz"
Ada juga saya cakap.
"Harriz, Harriz dah besar. Dah tak boleh nenen ibu lagi. Malu la"
"Nenen ibu dah busuk la Harriz"
Ada kala saya terima balik jawapan dari mulut anak kecil ni yang buat saya geram sangat.
"Nenen ibu tak usuk. Nenen ibu wangi"
"Harriz tak besar"
Aduh, bila dapat jawapan dari anak macam ni, memang gayanya gagal lagi.
Alhamdullillah lebih kurang dua minggu lepas saya cakap dengan Harriz waktu dia menyusu secara konsisten, Harriz seolah olah faham dan tidak meminta lagi untuk menyusu.
Otaknya seolah olah diprogram dengan skrip yang saya cakap kepadanya sebelum ini. Saya yakin skrip yang saya gunakan terpahat dalam minda separa sedar Harriz.
Alhamdulillah, saya dan Harriz berjaya lalui fasa ini tanpa sebarang tekanan. Tanpa sebarang alatan untuk berhenti menyusu.
Selain daripada tu, ibu juga kena doa banyak banyak agar dipermudahkan usaha untuk berhenti menyusu bila dah sampai waktu yang sesuai.
Bagi saya, yang paling penting untuk berhenti menyusu, ibu perlu ada sekeping hati yang cukup kental. Untuk menolak permintaan anak untuk menyusu. Untuk mendengar tangisan anak meminta untuk menyusu. Ini part yang paling getir untuk seorang ibu dan seringkali menjadi punca utama gagal untuk berhenti menyusu.
Apa pun cara yang ibu guna tiada masalah. Bila sudah tiba masanya, penyusuan susu ibu perlu diberhentikan.
Semoga berjaya wahai ibu ibu yang hebat 😍

0 comments:
Post a Comment