TExt

Assalamualaikum W.B.T

Untuk semua pembaca, Alhamdulillah saya masih dapat terus menulis dan kali ini saya kongsi kedai kecil saya di blog.

Jemput follow, cuci mata, shopping dan kalau ada yang berminat untuk sertai saya, jangan malu malu untuk hubungi saya.


Kidzania Kuala Lumpur Bandar Impian Kanak Kanak

Cuti 3 hari sempena Merdeka dan Awal Muharram tempohari, saya ke Kuala Lumpur bersama anak anak. Saya sudah merancang awal untuk membawa anak anak ke Kidzania Kuala Lumpur.



Kami ke Kidzania pada pagi Sabtu 31 Ogos dan kami sampai di Kidzania dalam pukul 1130pg. Saya memilih untuk membeli tiket di kaunter berbanding membeli di atas talian. Mungkin ada juga rasa bimbang takut takut perancangan berubah dari yang sepatutnya. Memang harga tiket agak tinggi jika membelinya di kaunter berbanding atas talian. Saya menggunakan Kad kredit Maybank untuk  pembayaran dan diberikan 30% diskaun dari harga asal tiket untuk 3 dewasa, 3 kanak kanak, 1 kanak kanak kecil (3 tahun) dan 1 warga emas.

Selepas membuat pembayaran, kami dipakaikan gelang tangan istimewa oleh kakitangan Kidzania. Kemudian kami naik ke tingkat 3. Sebelum masuk, kakitangan kidzania akan membuat pemeriksaan jika anda ada membawa beg ke dalam. Sebarang makanan dan minuman dari luar adalah dilarang sama sekali untuk dibawa masuk.


Melangkah masuk ke dalam Kidzania, umpama masuk ke sebuah bandar impian setiap kanak kanak. Sedang kami terpinga pinga untuk memulakan langkah, ada perarakan sambutan hari lahir sedang berlangsung. Seorang kanak kanak dirai bagai puteri oleh kakitangan Kidzania. Bertuah sungguh wahai si anak kecil 😀


Melihat kami yang masih terpinga pinga untuk mengatur gerak, seorang kakitangan Kidzania menegur dan memberi penerangan tentang konsep permainan untuk anak anak yang dibuat di Kidzania. Dia seolah olah boleh membaca kami kali pertama menjejak kaki ke tempat itu.

10 Perkara perkara yang anda perlu tahu bila kali pertama datang ke Kidzania seperti saya dan keluarga.


1- Kidzania ada 2 tingkat dan ada pelbagai pekerjaan yang ditawarkan untuk anak anak. Ibu ayah boleh dapatkan peta taman dari Kaunter Informasi di tingkat bawah.


2- Ibubapa kena lihat papan kenyataan di tepi pintu untuk setiap pekerjaan kerana dalam papan kenyataan itu akan dipaparkan info tentang had umur yang dibenarkan untuk bermain, berapa jumlah kanak kanak yang boleh bermain dalam satu masa, tempoh masa permainan, jumlah duit yang perlu dibayar (jika perlu) untuk bermain dan jumlah gaji yang akan diterima oleh anak anak.


3- setiap kanak kanak diberikan 50 Kidzos semasa di kaunter pendaftaran masuk. Wang ini boleh digunakan sebagai modal untuk membayar sebarang pekerjaan yang ingin disertai dan perlu membuat pembayaran terlebih dahulu.


4- Anak anak boleh mengumpul duit yang diterima untuk membeli apa sahaja barang di kedai yang dikhaskan oleh Kidzania. Bergantung pada jumlah wang yang ada di tangan dan harga barang yang ditetapkan atau mereka boleh membuka akaun bank untuk menyimpan duit tersebut.


5- Bagi saya, Kanak kanak yang paling sesuai untuk dibawa ke Kidzania adalah peringkat umur 6 hingga 12 tahun. Hadif dan Balqis memang sangat teruja untuk mencuba pelbagai aktiviti di sini. Kanak kanak yang terlalu muda seperti Harriz tidak dapat menghargai permainan yang ada dan jumlah pekerjaan yang boleh disertainya juga terhad.





6- Untuk pekerjaan yang sangat popular di kalangan pengunjung cilik seperti bomba, polis, juruterbang, ibubapa perlu maklum tentang waktu pengambilan dan anak perlu beratur mendapatkan pelekat untuk layak menyertai pekerjaan tersebut pada satu satu masa. Yang paling luar biasa adalah jumlah kanak kanak di kawasan menunggu untuk merasa berada dalam kokpit kapal terbang sebagai juruterbang.




7- Kemudahan tandas dan surau di Kidzania memang terbaik. Tempat makan untuk keluarga juga banyak. Memang semua perlu sedia maklum, bila makanan dan dan minuman dari luar tidak dibenarkan, anda tidak ada pilihan lain untuk makan di dalam dengan harga yang agak mahal berbanding biasa. Nak tak nak itu sahaja pilihan yang ada untuk mengisi perut yang lapar.


8- Untuk pengetahuan ibu ayah, duit Kidzos yang diterima anak anak setelah bermain untuk setiap pekerjaan tidak mempunyai tempoh tamat. Anak anak boleh menyimpan duit tersebut dan boleh digunakan jika berkunjung ke Kidzania semula atau di mana mana Kidzania lain yang ada di dunia.




9- Semasa anak anak beraktiviti, akan ada jurugambar yang bertugas mengambil gambar anak anak untuk dibuat kenangan. Ibu ayah boleh ke kedai gambar dengan hanya scan gelang tangan anak anak untuk melihat gambar gambar yang diambil oleh jurugambar Kidzania. Ibu ayah boleh juga membeli gambar gambar tersebut.


10- Dalam banyak banyak perkara di Kidzania, saya cuma tidak puas hati dengan masa operasi sahaja. Kidzania mula beroperasi pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 5 petang atau 7 malam pada hari cuti umum dan cuti sekolah. Aktiviti sangat banyak dan waktu operasi agak singkat. Dalam satu hari mungkin, tidak mungkin dapat sertai semua aktiviti di situ. Saya dan anak anak pilih aktiviti yang tidak ramai orang tapi masih menyeronokkan untuk anak anak kerana ingin mengurangkan masa menunggu.






Mesej utama saya untuk membawa anak anak ke Kidzania adalah untuk membuka fikiran anak anak tentang adanya pelbagai jenis perkerjaan di dalam masyarakat dan mereka boleh memilih pekerjaan mengikut minat yang mereka ada. Selain daripada itu saya mahu anak anak tahu tentang nilai duit yang mereka dapat setelah selesai melakukan pekerjaan mereka dan mereka perlu hargai apa yang saya lakukan untuk mereka sekarang. Bukan senang untuk dapat duit dan setiap pekerjaan ada susah dan senang.

Insya Allah kalau ada peluang dan masa memang saya akan membawa anak anak
sekali lagi ke sana. Anak anak masih belum puas menikmati 
aktiviti aktiviti yang banyak di situ. 


0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Dr Shima Mat Saad | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in